Kuala Lumpur, 7 April 2025 – Satu langkah strategik yang membanggakan telah diambil oleh SumiSaujana Group Berhad (“SumiSaujana”) apabila memeterai perjanjian pelesenan dan pengkomersialan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk memanfaatkan teknologi polyol berasaskan sawit bagi kegunaan industri kimia global.

Perjanjian yang ditandatangani di Hotel Marriott, Putrajaya ini membuka jalan ke arah pengilangan dan pengkomersialan bahan perantara, polyol dan polyol poliester berasaskan bio yang dibangunkan melalui penyelidikan MPOB. Teknologi ini menawarkan alternatif mampan kepada bahan kimia petroleum, seterusnya menyokong penggunaan polyurethane dalam pelbagai industri termasuk automotif, pembinaan, salutan, pelekat dan barangan pengguna.Menurut laporan pasaran, industri polyurethane global dijangka mencecah nilai USD86.28 bilion menjelang 2024, manakala pasaran bahan perantaraan berasaskan sawit pula bernilai kira-kira USD17 bilion pada tahun 2022. Angka ini menyerlahkan potensi besar untuk inovasi-inovasi berasaskan sawit Malaysia.

Kerjasama ini juga adalah sebahagian daripada strategi MPOB untuk memperkukuh nilai tambah minyak sawit melalui aplikasi hiliran, selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta Malaysia 2030 (PIKAS 2030) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi bio mampan bertaraf dunia.Encik Norazlam Bin Norbi, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, berkata:”Kami amat berbangga dapat menjalin kerjasama ini bersama MPOB. Ia bukan sahaja memperluas portfolio produk kami dengan elemen kelestarian, malah membolehkan kami meneroka pasaran baharu secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar.”Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, menyifatkan usaha ini sebagai lebih daripada sekadar pemindahan teknologi.

Beliau menegaskan, “Ia memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta, serta membuka peluang kepada pemain industri untuk menjana pertumbuhan dalam kimia hijau yang mampan dan kompetitif.”Usaha sama ini turut memperlihatkan potensi sebenar minyak sawit Malaysia yang kini melangkaui penggunaan makanan, dengan penekanan kepada kelestarian, inovasi dan nilai ekonomi sejagat. MPOB dan SumiSaujana bersatu dalam visi untuk membawa teknologi tempatan ke peringkat global.