YESUNG MEMUKAU PEMINAT DI KONSERT SOLO PERTAMA DI KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur, 13 April 2025 – Vokalis utama kumpulan popular Super Junior, Yesung, telah berjaya memukau lebih seribu peminat Malaysia menerusi konsert solo sulungnya, 2025 YESUNG CONCERT [It’s Complicated], yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam tadi.

Konsert yang dinantikan sekian lama ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah Asia Yesung, yang turut meliputi bandar-bandar utama seperti Seoul, Bangkok, Hong Kong, Singapura, Macau, Taipei, dan Tokyo.

Membuka persembahan dengan lagu-lagu dari album terbaharunya It’s Complicated, Yesung mempersembahkan seleksi lagu seperti “There She Goes Again”, “Easy”, “Beautiful Paradox” dan “Curtain” dengan penuh emosional, memperlihatkan keunikan vokalnya yang matang dan bertenaga. Penonton turut dihiburkan dengan lagu-lagu ikoniknya termasuk “It Has To Be You” dan “Gray Paper”, yang membangkitkan kenangan serta emosi mendalam dalam kalangan peminat.

Sepanjang konsert, Yesung berinteraksi dengan penuh mesra, mempamerkan keprihatinan terhadap peminat tempatan dengan beberapa ucapan ringkas dalam Bahasa Melayu seperti “Saya rindu kamu” dan “Terima kasih kerana menunggu saya”. Keakraban yang terjalin jelas mencipta suasana hangat, menjadikan setiap momen terasa lebih peribadi dan bermakna.

Suasana dalam dewan dipenuhi cahaya biru daripada lightstick peminat, membentuk lautan biru yang indah sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada artis kesayangan mereka. Projek peminat turut diadakan dengan menaikkan sepanduk bertulis mesej penuh kasih sayang, mengukuhkan lagi hubungan erat antara Yesung dan para E.L.F. Malaysia.

Konsert di Kuala Lumpur ini sekali lagi membuktikan keupayaan Yesung sebagai artis solo yang versatil dan mampu menguasai pentas dengan karisma tersendiri. Persembahan malam tadi bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah perjalanan emosi yang menghubungkan muzik, kenangan dan kasih sayang tanpa sempadan.

Dengan sambutan hangat daripada peminat tempatan, 2025 YESUNG CONCERT [It’s Complicated] di Kuala Lumpur pastinya akan dikenang sebagai satu malam yang penuh magis dalam sejarah karier solonya.

Check Also

UNIVERSAL MUSIC GREATER CHINA LANTIK VIVIAN XU SEBAGAI KETUA PEGAWAI OPERASI

BEIJING , 26 Mac 2025 – Universal Music Greater China (UMGC), cabang kepada Universal Music …

NABILA RAZALI KEMBALI CERIAKAN AIDILFITRI DENGAN ‘RAYA MANA’ VERSI KELANTAN BERSAMA DEN MANJO

Kuala Lumpur, 26 Mac 2025 – Penyanyi popular tanah air, Nabila Razali, kembali mencuri tumpuan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *