Petaling Jaya, 27 April 2025 – Idea Live Arena, arena tertutup terbesar di Malaysia dalam sebuah pusat beli-belah dan kedua terbesar di negara ini secara keseluruhan, kini rasmi membuka tirainya di 3 Damansara. Majlis pembukaan yang gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, serta dihadiri oleh ramai pemain industri hiburan, tetamu kehormat dan peminat setia.
Dengan kapasiti sehingga 5,000 tempat duduk atau 7,000 tetamu dalam susunan duduk dan berdiri, Idea Live Arena dibangunkan melalui pelaburan sebanyak RM40 juta melibatkan kerja-kerja naik taraf struktur, pengubahsuaian serta pemasangan sistem teknikal terkini. Lengkap dengan sistem audio, pencahayaan dan visual bertaraf dunia, arena ini direka untuk menjadi lokasi pilihan utama bagi konsert, persembahan langsung dan pelbagai acara berskala besar. Antara kemudahan eksklusif yang tersedia termasuk ruang legar sambutan yang luas, bilik persalinan artis yang serba lengkap, dan lima kotak VIP mewah.

Majlis pelancaran diserikan dengan persembahan ikonik daripada Dato’ Sheila Majid, yang memukau para hadirin dengan seleksi lagu malar segar beliau, sekali gus memperlihatkan keunggulan sistem akustik dan visual Idea Live Arena. Pelancaran ini turut menandakan komitmen arena tersebut dalam memperkasa infrastruktur hiburan negara dengan menyediakan ruang acara bertaraf antarabangsa.

Kehadiran Idea Live Arena dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi setempat, menarik lebih ramai pelawat, pelabur serta pelancong ke kawasan Petaling Jaya. Terletak secara strategik di dalam 3 Damansara, arena ini bersedia menghidupkan kembali suasana bandar sambil meningkatkan trafik pelawat dan aktiviti ekonomi setempat.

Dalam ucapannya, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib menyatakan bahawa kemudahan seperti Idea Live Arena adalah penting untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau industri kreatif. Beliau menekankan bahawa arena ini bukan sahaja akan menjadi tarikan kepada produksi antarabangsa, malah membuka peluang lebih besar kepada bakat tempatan termasuk pembikin filem, pemuzik dan penggiat budaya untuk menyerlah di pentas global.
Menambah kepada usaha memperkasa sektor acara langsung, Dato’ Azmir turut mengumumkan bahawa Kementerian Komunikasi akan memperkenalkan Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) bermula 15 Mei 2025, dengan peruntukan tahunan sebanyak RM10 juta untuk menyokong penganjuran acara berskala besar yang mampu menarik lebih 15,000 pengunjung dan melibatkan penyertaan artis tempatan serta antarabangsa.

Pembukaan Idea Live Arena ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuhkan Malaysia sebagai destinasi budaya dan pelancongan bertaraf dunia, selari dengan matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Dengan fasiliti canggih dan kemampuan menganjurkan acara bertaraf dunia, arena ini diyakini mampu menarik pelancong serantau dan antarabangsa, sekaligus menjadi pemangkin kejayaan kempen VM2026.

Dengan pelancaran rasmi ini, Idea Live Arena melakar satu lagi pencapaian penting dalam landskap hiburan negara, membawa sinar baharu kepada industri hiburan dan pelancongan Malaysia.