EMPAT LIVE IN KUALA LUMPUR 2025

Kuala Lumpur, 1 Mei 2025 – Industri hiburan Malaysia akan menyaksikan detik bersejarah apabila empat tokoh seni tanahair yang mempunyai hubungan kekeluargaan bergabung untuk pertama kalinya dalam konsert tunggal. Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse berbangga mengumumkan penganjuran “Empat Live In Kuala Lumpur 2025” yang bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Konsert ini menampilkan gabungan istimewa adik-beradik ternama Anuar Zain dan Ziana Zain bersama anak saudara mereka Ernie Zakri serta suaminya Syamel. Penganjuran konsert ini memenuhi permintaan ramai peminat yang telah sekian lama menanti kolaborasi keluarga berbakat besar ini.

“Projek ini amat menggembirakan kerana tidak pernah terlintas di fikiran kami bahawa suatu hari nasib akan menghimpunkan saya, kakak saya Ziana, anak saudara kami Ernie dan suaminya Syamel dalam industri yang sama sebagai penghibur di atas satu pentas,” ujar Anuar Zain.

Beliau menambah, “Konsert ini sebenarnya telah dirancang sejak beberapa tahun lalu, namun kami terpaksa mencari masa yang sesuai memandangkan jadual kerja dan komitmen keempat-empat penyanyi yang terlibat. Alhamdulillah tahun ini menyaksikan hasrat ini akhirnya menjadi kenyataan.”

Ziana Zain pula menyifatkan konsert ini sebagai sebuah temasya meraikan cinta antara beberapa generasi bersama para peminat. “Kami tidak menjanjikan sesuatu yang luar biasa, tetapi hadirlah dan nikmatilah Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan sebaik-baiknya. Saya mahu peminat pulang dengan kenangan indah dari konsert penuh magis ini,” jelasnya.

Bagi Ernie Zakri, peluang bekerjasama dengan Ziana dan Anuar Zain dalam skala besar merupakan pencapaian yang membanggakan. “Saya menangis selepas diundang untuk menyertai konsert ini bersama ibu dan bapa saudara yang sangat saya kagumi. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah impian saya yang akhirnya menjadi kenyataan,” katanya dengan penuh emosi.

Syamel turut berkongsi pandangan serupa, menganggap penyertaannya dalam konsert ini sebagai peluang keemasan untuk kerjaya seninya. “Ziana Zain, Anuar Zain, dan Ernie Zakri masing-masing adalah legenda. Dengan gabungan tenaga kami berempat, konsep persembahan yang menarik pasti akan terhasil,” kata Syamel.

Jennifer Thompson telah dilantik sebagai pengarah konsert manakala Sze Wan bertindak sebagai pengarah muzik. Jennifer menyatakan, “Kami telah merancang konsert ini sejak tiga tahun lalu dan sangat gembira ia akhirnya menjadi realiti. Keempat-empat mereka bukan sahaja penyanyi hebat, tetapi masing-masing mempunyai gaya tersendiri yang istimewa.”

Para peminat dijamin bakal menyaksikan banyak momen eksklusif termasuk kolaborasi dan peluang menyanyi bersama lagu-lagu pop terbesar merentasi empat dekad yang hanya boleh dinikmati di persembahan ini.

Tiket konsert berharga:

  • RM288 (Bronze)
  • RM388 (Silver)
  • RM488 (Gold)
  • RM688 (Platinum)
  • RM888 (Diamond)
  • RM1,088 (VIP)
  • RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket)

Penjualan tiket bermula pada 25 April 2025, jam 10.00 pagi melalui laman web rasmi: https://www.ticket2u.com.my/empatkl

Khas untuk golongan kelainan upaya (OKU), talian khas disediakan di +6011-1190 0518 untuk pembelian tiket.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sejarah hiburan tanah air ini dan bermomen bersama artis-artis kesayangan anda. Inilah masanya untuk bersama melakarkan kenangan berharga di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2025.

MAKLUMAT RINGKAS

Acara: Empat Live In Kuala Lumpur 2025
Artis: Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri, Syamel
Tarikh: 18 Oktober 2025
Lokasi: Mega Star Arena, Kuala Lumpur
Penganjur: Anuar Zain Network
Penganjur Bersama & Pengurusan: Altus Prohouse
Laman Web Tiket: https://www.ticket2u.com.my/empatkl
Tarikh Jualan Tiket: 25 April 2025, 10.00 pagi
Talian OKU: +6011-1190 0518

Check Also

PESTA MUZIK LIMA ARTIS BERLAINAN GENRE, MUSICA FEST TAMPILKAN NIDJI, GEISHA, D’MASIV, SHAKIRA JASMINE DAN STEVEN PASARIBU

Kuala Lumpur, 21 April 2025 – Pemilihan nama “Musica Fest” untuk acara ini merupakan keputusan …

PELANCARAN FILEM “KULIT WAYANG” DIADAKAN SEMASA FESTIVAL KEBUDAYAAN

Kuala Lumpur, 13 April 2025 – Pelancaran Rasmi Filem Kulit Wayang, Tayangan Perdana Treler dan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *