PUTRAJAYA, 5 JUN 2025 – Tealive, jenama teh gaya hidup terkemuka Asia Tenggara, melakar sejarah baharu apabila secara rasmi memasuki pasaran FMCG dengan pelancaran sachet 3-dalam-1 pertamanya yang menampilkan minuman teh susu, kopi dan coklat. Rangkaian baharu ini membolehkan pengguna menikmati kenikmatan rasa berkualiti kafe di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Pelancaran rasmi telah berlangsung meriah di IOI City Mall dan turut disempurnakan oleh bekas Menteri dan personaliti podcast popular, Khairy Jamaluddin. Beliau menyifatkan inovasi ini sebagai simbol kebangkitan jenama tempatan yang bukan sekadar menjual produk, tetapi mencipta budaya dan identiti Malaysia.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo, produk sachet ini menandakan permulaan baharu buat Tealive dalam memudahkan pengguna menikmati minuman kegemaran mereka secara praktikal dan fleksibel. “Kini anda boleh bawa Tealive ke mana saja — sama ada ke pejabat, rumah atau semasa melancong,” ujar Loo.
Sachet Tealive 3-dalam-1 akan dijual bermula 15 Jun secara eksklusif di AEON dan cawangan Tealive seluruh negara serta platform e-dagang terpilih. Ia ditawarkan pada harga RM12.90 sekotak dengan kandungan lima hingga enam sachet, menggunakan bahan premium demi mengekalkan rasa kaya, berkrim dan autentik seperti di cawangan.

Antara pilihan perisa termasuk:
- Teh Susu: Signature, Matcha, Teh Tarik
- Kopi: Signature, Caramel Macchiato, Hazelnut
- Coklat: Signature, Coklat Gelap, Hazelnut
Menurut Loo, kelebihan utama produk ini terletak pada kepercayaan jenama, profil rasa yang inovatif, bahan berkualiti tinggi serta hubungan emosional yang kukuh dengan pengguna. “Ini lebih daripada produk – ia adalah pengalaman gaya hidup,” katanya.

Khairy turut menzahirkan sokongan terhadap usaha Tealive, menyatakan jenama ini sebagai contoh terbaik bagaimana inovasi tempatan mampu mencipta impak global. “Sokong jenama tempatan bukan sekadar patriotik – ia adalah pilihan pintar,” katanya.
Sebagai pelengkap kepada pelancaran produk, Tealive turut memperkenalkan menu baharu termasuk kategori teh susu ringan dan reformulasi siri Bang Bang. Turut diperkenalkan ialah minuman premium seperti Da Hong Pao dan siri Snowy, memenuhi citarasa pelbagai lapisan pelanggan dari indulgent hingga sihat.

Selain itu, kolaborasi eksklusif dengan jenama tempatan turut diumumkan untuk menghasilkan barangan edisi terhad — meraikan kreativiti dan warisan Malaysia dalam gaya moden.
Dengan lebih 950 cawangan di seluruh dunia dan kehadiran di 10 negara, Tealive terus memimpin pasaran dengan inovasi berterusan, menjangkau lebih 5 juta pengguna sebulan di Malaysia sahaja.