KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2025 – Pasukan perlumbaan Malaysia, Viper Niza Racing, akan kembali ke litar ikonik Paul Ricard di Perancis hujung minggu ini bagi menyertai perlumbaan 12 Hours of Paul Ricard 2025, menandakan kepulangan mereka ke lokasi tersebut selepas tujuh tahun.
Diterajui oleh Douglas Khoo selaku Prinsipal Pasukan dan pemandu utama, Viper Niza Racing membawa harapan besar selepas prestasi cemerlang di beberapa pusingan musim ini, walaupun mengalami kegagalan teknikal di 12 Hours of Misano bulan lalu. Pasukan kini menduduki tempat ke-4 dalam kedudukan keseluruhan GT3-AM, dan bakal berentap demi kedudukan podium musim 2025.
Kali ini, mereka akan memandu Mercedes-AMG GT3 EVO bersama pemandu Dominic Ang dan Melvin Moh, membawa semangat baharu selepas isu pam stereng, roda tidak dipasang kemas dan keretakan pada enjin yang menghampakan mereka di Misano.
“Kami jadikan insiden di Misano sebagai motivasi. Kereta sudah melalui servis penuh, dan kami bersedia sepenuhnya untuk memberikan saingan sengit di Paul Ricard,” ujar Khoo.
Sebelum Misano, pasukan ini telah menunjukkan prestasi luar biasa termasuk:
Tempat ke-6 keseluruhan dan ke-4 dalam kelas GT3 di 12 Hours of Spa Francorchamps,
Kemenangan dalam kelas GT AM Masters dan naib juara GT AM di Motul 12 Hours of Sepang.
Litar Paul Ricard, yang dibuka sejak tahun 1970, terkenal dengan 15 selekoh teknikal dan aspek keselamatan tinggi. Ia juga pernah menjadi tuan rumah kepada FIA Formula 1 French Grand Prix sehingga 2022. Kini ia menjadi lokasi bagi kejuaraan antarabangsa seperti European Le Mans Series, GT World Challenge Europe dan International GT Open.
Viper Niza Racing disokong oleh penaja utama seperti Motul, Endless, Momentum Autoparts, serta IWC dan Jen Orchard Gateway Hotel, Singapura.
Dengan semangat juang dan dedikasi penuh dari pasukan 100% Malaysia, perlumbaan kali ini menjadi penentu momentum mereka menuju penamat podium keseluruhan dalam siri Michelin 24H 2025.