Kuala Lumpur , 22 September 2025 – Dunia hiburan Malaysia dan Indonesia disatukan melalui single terbaharu berjudul Bawang Merah Bawang Putih yang dilancarkan oleh dua nama besar, Eira Syazira dan Nabila Maharani. Lagu ini boleh didapati di semua platform digital serta saluran rasmi YouTube Trisna Music bermula hari ini.

Projek ini membawa sentuhan eksklusif daripada Trisuaka sebagai pencipta lagu, manakala susunan muzik diolah oleh Ardy Goliath. Proses rakaman berlangsung di Studio Trisna Music, Jogjakarta – menandakan gabungan kreatif antara pemuzik hebat Nusantara.
KERJASAMA DUA NEGARA
Kolaborasi ini dijayakan oleh ES Arjuna Management (Malaysia) bersama Positif Art Entertainment (Indonesia), melambangkan jalinan erat Malaysia-Indonesia dalam industri hiburan. Menurut pengurus projek, Azad Jazmin, kerjasama ini bukan sekadar duet, malah menjadi jambatan budaya yang menyatukan kedua-dua negara melalui muzik.
“Kolaborasi ini bukan sahaja mempertemukan dua suara hebat dari dua negara, malah menjadi jambatan budaya yang menyatukan Malaysia dan Indonesia melalui muzik,” – Eira.
KONSEP MUZIK VIDEO & JALAN CERITA
Muzik video turut dirakam di Jogjakarta dengan mengetengahkan kisah klasik Bawang Merah Bawang Putih. Naratifnya menonjolkan watak Bawang Putih yang tabah menghadapi penindasan ibu tiri serta saudara tirinya, sebelum menemui keadilan. Visual sinematik yang penuh emosi ini dijangka mampu menyentuh hati penonton.
Menurut Eira dalam sesi temu bual, konsep video muzik ini dekat dengan masyarakat Malaysia dan Indonesia kerana kisahnya serupa – antara kezaliman dan keberanian. Beliau menegaskan kolaborasi ini lahir secara ikhlas tanpa agenda mengejar viral, sebaliknya demi berkongsi karya seni.
KENAPA NABILA?
Eira mengakui beliau merupakan peminat Nabila sejak awal kemunculannya bersama Trisuaka. “Saya memang ikut perkembangan mereka sejak zaman viral di jalanan Yogyakarta. Nabila seorang ibu yang fokus pada keluarga, profesional, dan berbakat besar. Itu yang membuatkan saya yakin untuk bekerjasama dengannya,” jelas Eira.
Eira juga menolak dakwaan menunggang populariti artis Indonesia. Baginya, kolaborasi ini adalah opportunity sharing – peluang untuk berkongsi bakat dan peminat di dua negara.
HARAPAN UNTUK NUSANTARA
Nabila pula menyifatkan projek ini sebagai sesuatu yang bersejarah:
“Semoga Bawang Merah Bawang Putih menjadi kolaborasi dua negara yang diterima ramai, bukan hanya di Indonesia tetapi juga Malaysia. Tujuan kami hanya untuk menghibur dan memberi pengalaman baharu kepada peminat,” kata Nabila.
SOKONGAN PENAJAAAN
Projek ini turut mendapat sokongan penuh Candyta selaku penaja utama produk penjagaan rambut, selain rakan strategik lain seperti Batik Air, Le Méridien Putrajaya, Kaki Jersey, dan Perabot Jati Awish.
PROFIL ARTIS
Eira Syazira – Pelakon, penyanyi dan personaliti TV Malaysia sejak awal 2000-an. Popular dengan drama serta filem tempatan, beliau juga aktif dalam bidang nyanyian dengan single seperti Say, Kau Yang Ku Sayang, dan Jebakan (duet bersama Dodhy Kangen Band). Eira kini pengasas jenama rambut terkenal Candyta.
Nabila Maharani – Penyanyi muda berbakat dari Indonesia, mula mencuri perhatian melalui kolaborasi dengan Tri Suaka. Hits popularnya termasuk Bila Nanti dan Ayang yang mencecah jutaan tontonan di YouTube. Dengan vokal merdu dan emosi yang kuat, Nabila kini dianggap antara bintang generasi baru paling berpengaruh di platform digital.