Kuala Lumpur, 25 September 2025 – Nor Hisham bin Md Yusof dan Osman bin Yahya bakal membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila kedua-duanya dipilih sebagai wakil rasmi ke Karaoke World Championship (KWC) 2025 di Bangkok, Thailand pada bulan November ini.

Sidang media khas turut menampilkan Kamsari bin Jalil daripada My Muzik Entertainment, yang mengesahkan pelantikan Nor Hisham dan Osman sebagai duta rasmi BTA Global X, sekali gus mengangkat jenama tempatan ke peringkat global.
Perjalanan Ke Final
Osman mendedahkan peluang ini hadir selepas mereka menjuarai saringan di Layar Farm Golf. Bermula dengan penyertaan kecil, akhirnya mereka berjaya menempah tiket ke pentas dunia.
“Kami tak sangka boleh ke final. Sekarang fokus kami adalah latihan vokal, rehat cukup dan pemilihan lagu terbaik,” jelas Osman.

Nor Hisham pula menambah bahawa walaupun beliau sinonim dengan genre pop dan balada, pemilihan lagu akan bergantung pada kekuatan vokal semasa. Kedua-duanya memilih untuk merahsiakan lagu yang bakal dipersembahkan, namun mengesahkan bahawa lagu Melayu wajib ada dalam pertandingan tahun ini.
Cabaran Dan Harapan
Pertandingan KWC 2025 bakal menghimpunkan lebih 30 negara dengan hadiah utama kategori solo bernilai €5,000 (RM25,000). Semua kos penerbangan dan penginapan ditanggung oleh Mana Cafe, namun cabaran utama adalah kekangan masa latihan kerana kedua-dua peserta turut bekerja sendiri.

“Kami ke Bangkok bukan sekadar nak sertai, tapi nak menang. Ini peluang sekali seumur hidup,” kata Nor Hisham penuh bersemangat.
Sokongan Rakyat Malaysia
Menurut Kamsari, platform ini bukan sahaja mengangkat bakat tempatan tetapi juga menjadi medium memperkenalkan budaya dan bahasa Melayu ke mata dunia.
“Ini bukan sekadar pertandingan karaoke, tapi peluang mengangkat jenama Malaysia,” jelas beliau.
📲 Ikuti perjalanan mereka di TikTok:
- Nor Hisham: @mr_nasibiryani
- Osman: @mansha