KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2025 – Rocketfuel Entertainment kembali mencipta momen bermakna apabila semua finalis program realiti popular Raise The Star Malaysia kini tampil dengan EP khas berjudul “EP Raise The Star Malaysia”, menghimpunkan lima single baharu hasil kolaborasi bersama lima komposer terkenal tanah air.
EP ini menandakan kesinambungan perjuangan para peserta selepas tamatnya pertandingan, sekaligus membuka lembaran baharu buat industri muzik tempatan yang semakin rancak dengan bakat baharu.
Format Unik: Protege & Komposer Berganding Bahu
Tidak seperti pertandingan lain, Raise The Star Malaysia memperkenalkan format unik apabila setiap peserta akhir dibimbing secara eksklusif oleh seorang komposer yang turut menggubah lagu khas untuk mereka.

Antara nama besar yang terlibat termasuk Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatanna – lima figura penting dalam industri muzik Malaysia yang telah melahirkan pelbagai karya hit.
Kerjasama istimewa ini melahirkan karya segar, moden dan penuh jiwa — menjadikan setiap lagu dalam EP ini mewakili keunikan tersendiri bagi setiap peserta.
Didie Shazry Dinobat Juara Dengan “Peganglah Hati”
Muncul juara, Didie Shazry menawan hati juri dan peminat dengan lagu balada berjudul “Peganglah Hati” ciptaan Aina Abdul.

Lagu ini menyerlahkan kekuatan vokalnya dengan susunan muzik bernafas Nusantara yang menyentuh emosi.

Naib juara Zuana pula tampil dengan “Hantaran Cinta” ciptaan Ajai, manakala tempat ketiga Rayme mempersembahkan lagu “Gergasi” hasil karya Audi Mok yang menggabungkan elemen pop, rock dan rap.
EP Lengkap Lima Lagu Pelbagai Genre
Selain tiga lagu utama, EP ini turut memuatkan “Lara Bertahan” nyanyian Hariz Fayahet ciptaan Ikhwan Fatanna, serta “Cinta Dusta” nyanyian Keka hasil garapan Shila Amzah.

Kesemua lagu boleh didengarkan dalam versi konsert di YouTube @RocketfuelNetwork dan versi studio di platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 25 September 2025.

EP ini membuktikan kesungguhan Rocketfuel Entertainment dalam memperkukuh ekosistem muzik tempatan dan memperkenalkan bintang baharu ke arus perdana.