Kuala Lumpur, 18 Oktober 2025 – Malam yang dinanti akhirnya tiba. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 berlangsung megah di Mega Star Arena, menyatukan empat nama besar – Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel – dalam persembahan yang menggamit jiwa seluruh penonton.

Lebih daripada sekadar konsert, Empat Live menjadi lambang kasih sayang dan kekeluargaan dalam industri seni tempatan. Dengan konsep yang belum pernah dilakukan, konsert ini diiktiraf sebagai konsert keluarga pertama di Malaysia, menandakan detik bersejarah yang memperlihatkan keharmonian dalam muzik dan hubungan manusia.
Satu Keluarga, Satu Jiwa, Satu Sejarah
Sepanjang dua jam persembahan, lebih 21 lagu termasuk medley dilantunkan dengan penuh emosi. Dari “Madah Berhelah” hingga “Sedetik Lebih”, setiap nota membawa nostalgia tersendiri. Sokongan padu 4,500 penonton menjadi nadi utama kejayaan malam itu, membuktikan cinta peminat terhadap Empat bukan sekadar di pentas, tetapi di hati.

Turut hadir memeriahkan acara ialah barisan artis ternama seperti Misha Omar, Dato’ Hattan, Noryn Aziz, Edry KRU, Dato’ Yusry Abdul Halim dan Datin Lisa Surihani, menjadikan suasana semakin meriah dan eksklusif.

Persembahan Penuh Emosi & Tenaga
Dibimbing oleh Sze Wan selaku Pengarah Muzik dan Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert, setiap susunan muzik diolah dengan rapi. Antara lagu yang menjadi sorotan termasuk “Hamba Cinta”, “Aku Cinta”, “Gundah”, “Lelaki Ini” dan “Perpisahan” — disampaikan dengan tenaga dan penghayatan luar biasa oleh setiap ahli Empat.

Barisan pemuzik profesional turut memainkan peranan besar dalam menghidupkan magis pentas ini, termasuk Lee Sze Wan (Musical Director/Keyboards), Ken Chung (Bass), Derrick Siow (Drums), Wan Gigi dan Marcus Leong (Gitar) serta persembahan menggetar jiwa daripada string section dan penyanyi latar Jad Lobo, Baby Akmal, dan Widy.

Empat: Legasi Yang Diteruskan
Konsert Empat Live In Kuala Lumpur bukan sekadar persembahan — ia adalah kenangan kolektif dan manifestasi cinta terhadap seni. Ia menandakan permulaan era baharu dalam penganjuran konsert tempatan yang menekankan nilai kekeluargaan, keikhlasan dan perpaduan dalam muzik.

Dengan sambutan hangat dan sold-out crowd, Empat telah mengukir satu lagi sejarah dalam dunia hiburan Malaysia. Satu keluarga, satu jiwa – Empat menjadi bukti bahawa muzik mampu menyatukan hati tanpa batas generasi.
Kredit Foto : ANUAR ZAIN NETWORK