KUALA LUMPUR – Kumpulan Monosterio melangkah ke satu lagi fasa penting dalam perjalanan dua dekad mereka dalam industri muzik tanah air dengan pelancaran album terbaru bertajuk Tari Warna. Majlis pelancaran diadakan di BEKL, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, disertai persembahan showcase eksklusif bersama para peminat setia mereka.

Album ini diterbitkan di bawah label Asia Empire Record dan memuatkan 10 lagu utama serta 5 lagu bonus — menjadikan keseluruhan 15 buah lagu penuh warna dan emosi. Antara yang menjadi tumpuan ialah dua single utama, Boneka dan Tari Warna, masing-masing hadir dengan muzik video rasmi yang diarahkan oleh Pit Hassan (Pitto) dari Sosial Project Empire.
MAKNA DI SEBALIK TARI WARNA
Menurut Anep, setiap corak dan tulisan yang dipaparkan pada latar belakang album membawa makna mendalam — menggambarkan perjalanan hidup, jatuh bangun dan spiritual mereka sebagai pemuzik.

“Corak di belakang tu semua ada maksud. Ia menggambarkan kehidupan seharian kami — ada yang sukar, ada yang indah. Setiap tulisan ada cerita di sebaliknya. Tapi ada juga perkara yang kami tak boleh kongsi sepenuhnya sekarang. Semuanya akan kami jelaskan dalam buku khas nanti,” ujar beliau.
DILANCARKAN SERENTAK DI MALAYSIA & INDONESIA
Menariknya, pelancaran Tari Warna bukan sekadar disambut di Malaysia, malah diraikan secara serentak di Indonesia apabila lebih 50 stesen radio di negara itu memutarkan single utama mereka pada hari yang sama.

“Kami ucap terima kasih kepada rakan media dan radio di Indonesia. Walaupun kami tak dapat hadir, lebih 50 radio memutarkan lagu kami serentak hari ini. Itu satu penghargaan besar,” tambah vokalis lagi.
Album ini turut mendapat sokongan MyCreative Ventures serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, menerusi sokongan padu YB Dato’ Fahmi Fadzil, sekali gus menandakan pengiktirafan penting terhadap karya tempatan.
PENGHASILAN BERNILAI RM100,000 & PERJALANAN 20 TAHUN
Untuk menjayakan projek ini, kumpulan Monosterio memperuntukkan hampir RM100,000, termasuk dua muzik video rasmi, lima hingga enam video lirik dan keseluruhan proses rakaman penuh produksi. Mereka mengakui ini kali pertama mendapat bantuan penaja selepas 20 tahun berkarya secara berdikari.

“Sebelum ini semua hasil titik peluh sendiri — daripada rakaman hingga promosi. Kali ini kami gunakan peluang ni untuk hasilkan sesuatu yang terbaik,” jelas mereka.
Monosterio mula dikenali sejak era kumpulan RiverMonk dan OTwo, dengan karya mereka pernah tercalon di Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) dan memenangi pelbagai anugerah VIMA Awards. Karya mereka juga menghiasi OST filem dan drama terkenal seperti XX Ray 2, Banglo Seksyen 12 dan Kembar Sado.
HARAPAN DAN PESAN BUAT PEMINAT
Menutup bicara, Monosterio menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong mereka, termasuk media, penaja, dan peminat yang digelar Para Para Bunyian.

“Lambakan band bukan ancaman, tapi kekuatan untuk besarkan industri muzik tempatan. Kami bukan sekadar keluarkan album, tapi bawa cerita hidup kami. Semoga Tari Warna menjadi perjalanan jiwa yang dikongsi bersama semua,” ujar mereka penuh harapan.
Album Tari Warna kini boleh didapati di laman rasmi www.monosterio.com serta semua platform penstriman digital utama.
Selebriti Online Portal Hiburan Dan Gaya Hidup Malaysia