Tahun 2012 merupakan tahun produktif buat Metrowealth (MIG) dalam usaha untuk merealisasikan sasaran untuk menerbitkan 29 buah filem. Dengan itu, MIG terus mengatur langkah bagi merealisasikan sasaran tersebut dengan menerbitkan sebuah lagi filem iaitu Sumpahan Kum Kum. Filem ke-54 terbitan MIG ini menampilkan Ismail Bob Hasim sebagai pengarah melalui Skim 10 Pengarah Muda yang diperkenalkan MIG. Sekali lagi, genre seram menjadi taruhan beliau setelah berjaya menghasilkan Ngangkung yang mencipta rekod box office dalam kutipan melebihi RM 8 juta. Walaupun Sumpahan Kum Kum merupakan genre seram pertama arahan beliau namun ianya bukanlah sesuatu yang janggal kerana sebelum ini, beliau turut membantu dalam menghasilkan drama yang bergenre sama.
MIG percaya penerimaan penonton terhadap genre seram sememangnya ditunggu-tunggu peminat kerana ianya mempunyai jalan penceritaan yang menarik serta adakalanya berkisarkan kisah benar. MIG juga sentiasa positif dalam menghasilkan genre-genre yang terbaik untuk dihidangkan kepada penonton masa kini. Faktor itu juga memberi keyakinan kepada MIG untuk terus merealisasikan sasaran menerbitkan 29 buah filem untuk tahun 2012 ini selain percaya genre seram mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.
Filem ke-5 arahan beliau ini menjalani pengambaran di sekitar Ijok, Selangor. Pemilihan lokasi ini dibuat berdasarkan konsep penceritaan dan latar cerita filem yang bergenre seram serta kesesuaian dalam penghasilannya untuk membantu membangkitkan mood lakonan kepada para pelakon. Selain itu, filem ini juga diperkuatkan lagi dengan lakonan mantap pelakon dibawah Unit Talent MIG iaitu Fezrul Khan, Shima Anuar dan Wawa Zainal. Ia juga turut dibantu oleh Maimon Mutalib, Lydiawati, Razak Ahmad, Kaza, Ct Chubby, Adib (The Fabulous Cats), Putri Mardiana serta pelakon cilik Farisya Fatin Faizal dan ramai lagi.
SINOPSIS
Mengisahkan Mila (Shima Anuar) yang mempunyai masalah kulit pada mukanya. Keadaaan ini menyebabkan dirinya malu untuk berdepan dengan orang sekeliling terutamanya rakan sekerjanya. Tertekan dengan masalah itu, Mila berjumpa dengan seorang dukun untuk mendapatkan rawatan bagi memulihkan keadaan mukanya itu. Ketika menjalani proses pemulihan itu, Mila perlu mengikuti pantang larang yang telah ditetapkan. Antaranya ialah Mila tidak boleh melihat cermin selama 44 hari. Sejak mendapatkan rawatan tersebut, Mila mula menjadi perhatian ramai. Mila merasakan tidak sabar untuk melihat wajah sebenarnya lalu melihat cermin. Perbuatannya itu mengundang musibah apabila wajahnya yang cantik itu bertukar menjadi hodoh.
Untuk memulihkan keadaan wajahnya itu, Mila berjumpa semula dengan dukun yang sama untuk merawat wajahnya itu. Setelah dipujuk dan dirayu, akhirnya Mak Tom ( Lydiawati ) bersetuju untuk membantu namun hanya ada satu cara untuk mengembalikan wajahnya ke asal. Mila perlu meminum darah 9 gadis sunti, itu diantara syarat yang ditetapkan. Mila menuruti kehendak Mak Tom dan usahanya bermula dengan mangsa pertama iaitu Shima (Wawa Zainal) yang juga anak kepada Mak Tom.
Mak Tom menjadi marah terhadap tindakan Mila itu lalu bertekad untuk membunuh Mila. Mak Tom merancang pembunuhan Mila dan segalanya bermula ketika Mila bersumpah yang dia akan turut membunuh anak-anak sunti keturunan Mak Tom. Keadaan ini menyebabkan Mak Tom gusar kerana beliau mempunyai cucu yang bernama Tini (Farisya Fatin) anak kepada Adi (Fezrul Khan) dan Nurul (Putri Mardiana).
Sejak kematian Mila, rohnya sentiasa tidak aman dan sering merayau mengganggu penduduk kampong. Begitu juga dengan keluarga Adi yang sering menjadi gangguan Mila. Setelah Mak Tom meninggal, pelbagai kejadian serta peristiwa berlaku.
Apakah kaitannya sumpahan Mila dengan kematian Mak Tom dan juga keluarga Adi?Jom Saksikan di pawagam sekarang..
[nggallery id=36]