ALUNAN MUZIK BERGELORA…AJL 26 Cecah Rekod 6.5 Juta Penonton!

Dibawakan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil semalam, Anugerah Juara Lagu 26 telah sekali lagi berjaya membuktikan satu penanda aras acara terbesar bukan saja bagi TV3 tetapi bagi sesebuah produksi dan acara hiburan di Malaysia apabila berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 5 juta (24.9 TVR) atau 71.6% (sumber: Nielsen Audience Measurement). Secara pukal, kadar tontonan keseluruhan Anugerah Juara Lagu 26 telah mencipta rekod baru dengan tontonan sebanyak 6.5 juta.

Sememangnya keunggulan Anugerah Juara Lagu sebagai acara berprestij pembuka tirai tahunan tidak perlu disangkal lagi kerana kemunculannya yang sentiasa dinantikan para peminat muzik tempatan. Bukan saja di kaca televisyen, Anugerah Juara Lagu 26 juga dipancarkan menerusi laman web rasmi ajl.tv3.com.my, di mana penonton disajikan dengan siaran keseluruhan majlis anugerah serta kandungan eksklusif seperti acara Karpet Biru dan Di Sebalik Tabir.

Jumlah tontonan secara online mencecah 118,884, sekaligus memecahkan rekod AJL 25 tahun lepas iaitu 83,764 dengan peningkatan sebanyak 42%! Tontonan live streaming mencapai angka tertingginya pada pukul 10.55 malam dengan 20,768 hits berbanding 8,334 pada jam 11.20 malam di AJL 25 menjadikan Malaysia sebagai penyumbang utama kepada jumlah tontonan sebanyak 106,514, diikuti negara-negara lain seperti Singapura (3,271), Brunei (1,998), United Kingdom (1,790) dan Indonesia (1,032).

Laman web rasmi Anugerah Juara Lagu 26 pula berjaya mendapat 440,254 page views dengan unique views sebanyak 113,356. Ini menunjukkan jumlah peningkatan sebanyak 37% dari jumlah AJL tahun lalu sebanyak 82,512. Manakala di laman sosial media Twitter, #AJL, Sheila Majid dan #Yuna merupakan tiga kata kunci tertinggi pada malam itu. Sebanyak 94,000 tweets telah dikongsi menggunakan kata kunci #AJL26 dari 21,700 pengguna Twitter.

Menurut En. Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Perancangan rapi ternyata membuahkan hasil yang lumayan, hasilnya bukanlah boleh dikira dengan wang ringgit akan tetapi melalui kepuasan menjadikannya satu acara di luar jangkaan. Bukan mudah untuk mencapai kadar jumlah tontonan keseluruhan mencecah lebih daripada 6.5 juta, segala keringat dan penat lelah tenaga kerja menjadi bukti bahawa tanggungjawab sebagai sebuah stesen TV dikongsi bersama menjadikannya sebuah acara gilang-gemilang. Saya bagi pihak TV3, juga berbangga dengan kerjasama dari semua pihak yang terlibat, produksi, pengurusan jenama, kreatif, finalis, program-program terbitan dalaman, stesen radio rasmi Hot FM, rakan penaja Celcom & SilkyGirl, para media yang sentiasa menyokong usaha kami ini dan Anugerah Juara Lagu 26 keseluruhannya.”

Untuk sekian kalinya, malam kemuncak kali ini menampilkan gandingan pengacara popular yang tidak asing lagi iaitu Cheryl Samad dan Faizal Ismail yang menjadi nadi penggerak mewarnai majlis gilang-gemilang ini. Manakala sidang produksi Anugerah Juara Lagu 26 diketuai oleh Muhamad Sufian Che Isa selaku Penerbit Eksekutif sementara Nurhul Huda Haji Khalid bertindak sebagai Penerbit. Selain Celcom sebagai penaja rasmi, AJL 26 turut menampilkan Silkygirl selaku penaja bersama, Hot FM selaku radio rasmi dan Bentley Music sebagai penaja lokasi sidang media. Layari laman web rasmi www.tv3.com.my/ajl26 untuk maklumat lanjut.

 

 

Check Also

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *