Masih ingatkah lagi lagu ‘Zombie’, ‘Dreams’, ‘Ode To My Family’, ‘Salvation’, ‘Linger’ dan‘Animal Instinct’? Dengan jualan album melebihi 30 juta unit di seluruh dunia, menduduki carta Top 20 Billboard menerusi empat buah lagu serta lebih daripada lapan lagu mereka mengungguli carta mega popular membuatkan kumpulan The Cranberries menjadi satu fenomena dalam dunia hiburan antarabangsa sekitar era penghujung tahun 90-an. Kini selepas sekian lama kita dihiburkan dengan lantunan vokal unik penyanyi utamanya, Dolores O’Riordan, kumpulan dari Ireland ini bakal membuat persembahan di Malaysia sempena konsert jelajah dunia yang bakal diadakan pada 4 April 2012 bertempat di Stadium Negara, jam 8.30 malam.
Diuruskan bersama oleh The WonderLand+ dan Sevent Media, The Cranberries Live In Malaysia 2012 sememangnya sebuah konsert kemunculan semula salah satu daripada band terbesar dunia dan tidak harus dilepaskan oleh peminat mereka. Untuk peminat kumpulan yang dianggotai empat ahli ini, tiket untuk menyaksikan konsert itu dibahagikan mengikut kategori iaitu RM110 dan RM170 untuk tempat duduk bebas, tempat tiket bernombor pula dijual dengan harga RM230 dan RM280 (VIP).Manakala harga RM220 dan RM300 pula masing-masing adalah untuk kategori Rock Zone dan juga The Pit.
Bersempena dengan kehadiran Hari Valentine yang bakal disambut 14 Februari ini, satu promosi khas untuk pembeli awal akan diadakan mulai 13 Februari hingga 19 Februari. Potongan sebanyak 15% akan diberikan kepada pelanggan yang membeli secara eksklusif melalui internet di www.ticketcharge.com.my dan juga melalui tempahan telefon dengan menghubungi talian 03-92228811.