‘Detik Tragik’ – Rangkuman Tragedi Di Malaysia

‘Detik Tragik’ menampilkan gabungan wartawan berpengalaman dan muka baru, mereka ialah Zakiah Anas, Harris Mohd Farok Alex, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, Mohd Raziff Zulkafli, Siti Hajar Rozli, Nurul Syafikah Abd. Masri dan Syazwan Syuwari Nordin yang bakal membuka semula kisah peristiwa-peristiwa penting, antaranya, letupan kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buloh, Selangor, kebakaran di Terminal 1, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Ribut Greg di Keningau, Sabah, Tsunami di Pulau Pinang dan Kedah, banjir lumpur di Pos Dipang, Perak, terminal feri runtuh di Butterworth, pesawat terhempas di Tanjung Kupang, Johor serta tanah runtuh di Genting Sempah, Pahang.

Episod pertama Detik Tragik memaparkan kisah letupan kilang mercun dan bunga api Bright Sparklers yang terletak di Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor pada 7 Mei 1991 yang meragut 26 nyawa manakala 83 cedera. Letupan dasyat itu turut digelar ‘Hiroshima Sungai Buloh’ berikutan gegaran ledakan seakan-akan bom atom. Berpunca daripada 200 tan belerang, gegaran ledakan tersebut dapat dirasai sehingga 7 kilometer dari lokasi tragedi.

Pada 26 Disember 1996, Ribut Tropika Greg telah melanda Sabah, kawasan paling teruk terjejas adalah Keningau manakala Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Tuaran dan Beaufort hanya mengalami kerosakan kecil. Ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam, bermula jam 1.00 pagi dan berakhir sekitar 6.30 pagi itu telah mencatatkan lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang, menjadikan ia rekod mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia pada waktu itu.

 

Terbaru, pada 26 Disember 2004, satu gempa bumi besar telah berlaku di Lautan Hindi yang mengakibatkan berlakunya ombak besar Tsunami yang melanda kawasan-kawasan pantai di selatan Asia, Sumatera Utara, Thailand dan Malaysia. Gempa bumi tersebut merupakan yang keempat terbesar di dunia sejak tahun 1900 dan pertama kali melanda Malaysia. Kuala Muda, Kedah adalah antara beberapa tempat yang teruk dilanda tsunami. Di Malaysia sahaja, seramai 68 orang disahkan maut dan lebih 70 orang lagi dikhuatiri maut manakala lebih 5,000 telah hilang tempat kediaman akibat bencana alam yang dasyat ini. Selain letupan kilang mercun Bright Sparklers, Ribut Greg dan Tsunami, Detik Tragik bakal menyiarkan 10 siri peristiwa lagi yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar dikalangan penonton.

Detik Tragik diterbitkan oleh Primeworks Studio yang diterajui oleh Mohd. Said Abdullah Thani sebagai Penerbit Eksekutif, Harris Mohd Farok Alex sebagai Pembantu Penerbit dan Faizal Bakhtar sebagai Penyunting. Saksikan Detik Tragik setiap hari Rabu jam 9.00 malam bermula 2 Mei 2012 selama 13 episod, selama 30 minit hanya di TV3. Penonton yang terlepas menyaksikannya, boleh menonton menerusi www.tonton.com.my.

 

 

Check Also

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *