‘Adam & Hawa’ Eksklusif Di Astro Mustika HD (Saluran 134) ~ Gandingan mantap Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa

Buat julung-julung kalinya, saluran Mustika HD selaku gedung pilihan program-program terbaik dalam bentuk definisi tinggi dengan bangganya mempersembahkan sebuah drama bersiri berjudul Adam & Hawa terbitan Global Station Sdn Bhd. Drama bersiri 80 episod yang diadaptasi daripada novel cinta terlaris hasil nukilan penulis Aisha Sofea terbitan Alaf 21 yang amat popular ini bakal menemui para penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam bermula 27 Ogos 2012 secara eksklusif  hanya di saluran 134.

Drama bersiri Adam & Hawa adalah berkisarkan tentang kisah cinta yang diarahkan oleh Mohd Feroz Kader ini dibintangi oleh gandingan mantap  Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa selaku teraju utama yang masing-masing memegang watak sebagai Adam Muhkriz dan Ain Hawani. Turut menjayakan drama ini termasuklah barisan pelakon baru dan lama seperti Anzalna Nasir selaku Dee, Elfaeza Ul Haq selaku Azie, Dazrin Kamarudin selaku Johan, Norman Hakim selaku Zul, Amyza Adnan selaku Cikgu Zawyah, Aznah Hamid selaku Maria dan Rozie Rashid selaku Kak Zah.

Drama Adam & Hawa mengisahkan tentang Ain Hawani; seorang remaja lepasan SPM dan bekerja di sebuah tadika yang dimiliki oleh kakak kepada Adam Muhkriz kerana menggantikan guru yang bersalin. Ain hanya bekerja sementara sahaja, kerana dia ingin menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.Sewaktu Ain bekerja di tadika tersebut, dia telah bertemu dengan Adam dan mula timbul rasa suka. Adam pula merupakan seorang jejaka kacak yang berpewatakan ‘playboy’ dan bekerja sebagai juruterbang.

Cita-cita Ain Hawani bagaikan terhenti di tengah jalan apabila berlaku peristiwa hitam dalam hidupnya yang mana dia telah ditangkap basah kerana dituduh berkhalwat dengan Adam. Ain telah dipaksa untuk berkahwin dengan Adam bagi membersihkan nama baik keluarga walaupun tidak rela.Sejak itu timbullah perasaan benci Ain terhadap Adam kerana sikap  Adam yang mendiamkan diri seolah benar mereka berkhalwat sedangkan mereka rupanya difitnah oleh bekas teman wanita Adam yang cemburukan hubungan mereka sebagai kawan.

Mereka berdua akhirnya berkahwin tetapi hubungan itu tidak seperti pasangan suami isteri yang lain kerana Ain masih membenci Adam dan tidak boleh menerima Adam sebagai suami walaupun sudah bernikah secara sah.Ain Hawani kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negeri lalu mereka berpisah selama 8 tahun. Walaupun begitu, Adam masih menganggap Ain sebagai isterinya yang sah namun tidak bagi Ain yang menganggap sebaliknya.

Akhirnya mereka telah bertemu kembali di depan pintu Masjidil Haram di Kota Mekah. Adam mengharapkan Ain kembali kepadanya tetapi Ain masih lagi ego dan enggan menerima kehadiran Adam dalam hidupnya. Apakah kesudahan kisah cinta antara Adam & Hawa ini? Sama-sama kita saksikan kelak.

Check Also

Bekas Anggota Dolla, Syasya Selamat Bernikah

Susulan pengumuman pengunduran Syasya daripada kumpulan DOLLA, Universal Music Malaysia dengan sukacitanya berkongsi khabar gembira …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *