Anugerah Skrin 2012 Meraih 4 Juta Penonton

Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012), anugerah paling berprestij dekad ini  telah menyaksikan kemenangan besar drama ‘Di Telapak Kaki Bonda’ terbitan Filmscape Sdn Bhd di bawah arahan Kabir Bhatia yang menggondol 4 anugerah utama iaitu Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon TV Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di samping meraikan Bunohan sebagai Filem Terbaik.

Belum pun reda bahang kehangatan ASK 2012 yang berlangsung pada Jumaat malam lalu, stesen televisyen swasta nombor satu Negara, TV3 berjaya meraih jumlah penonton tertinggi (peak) sebanyak 4 juta (17.1 TVR) atau 54% syer penonton (sumber: Nielsen Media Research) sewaktu tayangan ASK 2012 secara langsung, bermula dari jam 9.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Program ‘Fantasi ASK 2012’ yang memaparkan detik-detik persiapan Anugerah Skrin 2012 dan kemeriahan Jelajah ASK 2012 pada 9 November 2012 dari jam 4.30 petang hingga 5.00 petang juga mencecah kadar tontonan sehingga 1 juta penonton sewaktu bersiaran.

Utuh memasuki musim yang ke-14, Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) merupakan antara majlis terunggul di dalam lipatan sejarah industri tanah air yang sentiasa ditunggu-tunggu penganjurannya saban tahun. Tahun ini, ASK 2012 telah mengangkat ‘Selami Dunia Fantasi Kami’ (Fairy Tale) dan menyuntik elemen teater dalam konsep persembahan malam anugerah itu.

Bukan saja cemerlang meraih kadar tontonan tinggi di kaca televisyen, malah ASK 2012 juga dipancarkan menerusi laman web rasmi www.tv3.com.my/ask2012. Rekod menunjukkan seramai 64,000 menonton ASK2012 dan ’esklusif Red Carpet’ secara langsung menerusi online. Jumlah ini juga merupakan kenaikan sebanyak 28% berbanding dengan tahun 2011. Antara aplikasi menarik tahun ini, penonton boleh memilih skrin mana yang ingin ditonton untuk mengikuti suasana pada sebelum dan sewaktu Anugerah Skrin berlangsung sama ada ’Video Streaming di pintu masuk’, ’Red Carpet’, ’Malam Anugerah’ atau ’Thank You Cam’. Dengan itu, hampir 20% penonton dicatatkan terdiri daripada pelayar-pelayar web dari luar negara seperti Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan Brunei Darussalam.

ASK2012 juga berjaya mendapat hampir 200,000 pelayar mengikuti perkembangan terkini melalui laman rasmi hanya pada malam Anugerah tersebut. Laman sosial Twitter dengan #ASK2012 bukan sahaja ’trending’ di Malaysia malah ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga berjaya mendapat tempat ke 8 secara global (worldwide). Sehingga hari ini, hampir 40,000 telah menonton catch up ASK2012 di www.tonton.com.my.

 

Check Also

Artis terkenal <NIGHT DANCER> imase akan datang ke Kuala Lumpur Untuk 1st Asia Tour “Shiki”

“𝘋𝘰𝘶 𝘥𝘦𝘮𝘰 𝘪𝘪 𝘺𝘰𝘶 𝘯𝘢 𝘺𝘰𝘳𝘶 𝘥𝘢𝘬𝘦𝘥𝘰”, anda pasti pernah mendengar lagu ini! Lagu popular …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *