“BECOMING A BILLIONAIRE” ~ Lucu, Cinta dan Romantis DRAMA KOREA TERBARU ntv7

Apakah agaknya perasaan menjadi seorang yang mewah dan kaya? Pernahkah anda membeli belah tanpa perlu melihat label harga atau memiliki segala yang anda inginkan tanpa memikirkan kosnya? Yang pasti ada satu caranya, iaitu dengan menjadi kaya raya. Itulah antara salah satu elemen yang diselitkan dalam sebuah lagi drama korea terbaru ntv7, berjudul Becoming A Billionaire yang bakal menemui penonton setianya bermula 29 Februari ini, setiap Isnin hingga Jumaat jam 12 tengah hari.

Bersiaran selama 30 episod, drama lucu dan romantis ini mengisahkan Seok-bong (lakonan Ji Hyun-woo) yang percaya bahawa dia sememangnya adalah pewaris kepada seorang jutawan Korea. Masalahnya ialah dia sendiri tidak mengenali siapakah ayahnya. Apa yang lebih merumitkan adalah ayahnya juga tidak mengetahui kewujudan Seok-bong dalam hidupnya. Dia yang berusaha untuk mencari ayah kandungnya menerima tawaran kerja sebagai budak tukang angkut di sebuah hotel ternama hanya untuk menyediakan dirinya untuk belajar menjadi golongan kaya dengan memerhati gelagat tetamu di situ. Semua usahanya ini untuk memastikan suatu hari nanti, dia dapat bertemu dengan ayahnya yang jutawan. Namun, pada suatu hari, Seok-bong mengetahui bahawa dia perlu segera bertemu dengan ayahnya kerana dia telah disahkan menghidapi penyakit kanser testikel dan hanya mempunyai peluang 50 peratus sahaja untuk terus hidup. Seok-bong yang tidak mampu membiayai kos rawatan, kini mengharapkan keajaiban di mana mungkin ayahnya akan muncul akhirnya.

Sementara itu, dia hanya mampu berharap kepada pewaris kaya Hotel O-sung, Lee Sun-mi (Lee Bo-young) yang juga seorang yang suka berkira dan tangkai jering. Walaupun Lee Sun-mi adalah anak orang berada, sifatnya lebih bersederhana dan amat komited dalam tugasnya. Bagi Sun-mi, pendapat ayahnya bahawa wanita hanya perlu menguruskan rumah tangga sahaja adalah salah. Sifat mereka yang jauh berbeza membuatkan Seok-bong dan Sun-mi sering bertelagah dan dalam diam mula menimbulkan bibit-bibit kisah cinta yang bakal membuatkan anda ingin bersama bergelak ketawa dengan pelbagai kerenah dan ragam mereka berdua.

Turut sama dalam penceritaan drama korea ini adalah Bu Tae-hee (Lee Si-young) yang merupakan anak keluarga kaya “Chaebol” yang hampir memiliki segalanya namun sering membawa masalah. Manakala Chu Woon-seok (Nam Gung-min) yang mempunyai pakej lengkap dan menjadi idaman setiap wanita akan meletakkan Sun-mi dalam kisah cinta tiga segi.

Menemani anda setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 12 tengah hari, Becoming A Billionaire pasti akan membuat anda rasa terhibur dengan lakonan watak-wataknya yang lucu dan menarik. Kisah yang bakal disulami dengan kisah cinta tiga segi ini juga bakal membuat anda terpesona dengan wajah jelita dan tampan para pelakonnya. Saksikan gelagat Seok-bong dalam pencarian ayahnya yang jutawan hanya di Saluran Ceria Anda, ntv7.

 

Check Also

MASING MASING VERSI TRADISIONAL,ERNIE ZAKRI DI KELAS TERSENDIRI

Lagu Masing Masing nyanyian penyanyi terkenal Ernie Zakri terus mendapat sambutan hangat bukan saja dalam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *