Filem edaran Apparat Sdn Bhd ni dibintangi barisan para pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim juga dibantu oleh Bront Palarae, Soffi Jikan, Na Ron, Wan Hanafi Su dan satu-satunya bunga dalam filem ni, Tengku Azura sebagai Mek Yah. Filem ini diarah oleh Daid Said. Ia akan mula ditayangkan pada 8 Mac 2012.
Dengan rekod kejayaan tersendiri, BUNOHAN telah ditayangkan di acara-acara berprestij antarabangsa. Misalnya sempena tayangan perdana yang berlangsung di Festival Filem Antarabangsa Toronto, pada September tahun lalu dan di anugerah NETPAC di Festival Filem Taipei Golden Horses, pada Oktober 2011. Serta Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) yang menayangkan filem mini sebagai tayangan perdana Eropah pada Januari lalu.
Bunohan diolah dan berkisar mengenai penipuan, pengkhianatan dan perhubungan kekeluargaan yang disemarakkan dengan darah dan mitos.
Sinopsis
BUNOHAN adalah kisah tragis kasih sayang yang hilang di antara tiga beradik bersama bapa mereka yang sedang uzur.Cerita ini dilakarkan di sebuah bandar terpencil berdekatan dengan sempadan Malaysia danSiam. ‘Bunga Lalang’ atau Adil ialah seorang peninju tomoi yang mendapati dirinya berjuang untuk nyawanya dalam sebuah pertarungan maut demi maruah. Tetapi Muski, rakannya sejak kecil lagi, mempunyai pemikiran berlainan – dia menyelamatkan Adil dan secara tidak sengaja terlibat sama dalam pergolakan peristiwa di sepanjang cerita ini.
Ilham, seorang pembunuh upahan yang kejam diarahkan untuk menjejaki Adil dan dengan tidak disengajakan mereka tiba ke kampung asal mereka di Bunohan. Seperti Adil, Ilham juga dilahirkan di Bunohan, di mana beliau sendiri tidak pernah pulang, sungguhpun ketika ibunya meninggal dunia.Sementara itu, abang Adil bernama Bakar, juga dengan tidak semena-mena kembali ke Bunohan dari kota, kononnya untuk menjaga bapanya Pok Eng yang uzur. Pok Eng seorang tok dalang Wayang Kulit. Di sebalik wajah seorang anak yang bertanggungjawab, Bakar merupakan seorang ahli perniagaan bercita-cita tinggi, oportunis dan perebut kuasa.
Di Kampung Bunohan, Ilham terpesong daripada tujuan asalnya ke sana dan menghabiskan masa untuk cuba mencari kubur ibunya. Dia mengabaikan tugas utamanya. Akibat daripada itu, seorang samseng Siam dihantar untuk menyelesaikan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh Ilham.
Adil menyembunyikan dirinya bersama mentor merangkap jurulatihnya bernama Pak Wah. Adil juga terbabit dalam usaha menyelamatkan kelab tomoi lama milik Pak Wah. Adil sibuk mempersiapkan dirinya untuk perlawanan akhir untuk menyelamatkan kelab tomoi gurunya.
Bakar yang memerhati dari jauh pula telah membuat perancangan untuk menghapuskan sahaja sehingga bertumpah darah.
[nggallery id=53]