‘Cromok Reunion Live in KL 2012’ ~ Bakal Gegarkan KL LIVE Pada 8 April 2012

Berita gembira buat peminat setia band metal rock terkemuka Malaysia, Cromok. Selepas 15 tahun tidak beraksi di pentas muzik, band otai ini akan kembali bersatu menggegarkan industri seni tanah air dalam satu persembahan khas, ‘Cromok Reunion Live in KL 2012’, pada 8 April 2012, di KL Live, Jalan Sultan Ismail.

“Kami sangat teruja untuk beraksi pada persembahan ini nanti. Kali terakhir kami beraksi bersama ialah pada tahun 1996 dan bagi yang ingin melihat original line up Cromok, inilah masanya untuk anda datang ke persembahan kami,” ujar Karl mewakili anggota kumpulan Cromok yang lain.

Selain Karl selaku gitaris, Cromok juga turut dianggotai oleh Miji (pemain drum) dan Sam (vokalis dan pemain bass). ‘Cromok Reunion Live in KL 2012’ diadakan bersempena dengan ulangtahun ke-25 Cromok. Menariknya, band yang ditubuhkan pada 1987 di Australia ini bakal menghiburkan komuniti metal rock tempatan dengan lagu-lagu popular mereka selama satu setengah jam.

Apabila ditanya mengapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk kembali beraksi, mereka menjawab, “Kami semua masing-masing ada komitmen. Kami sibuk membesarkan keluarga kerana bagi kami keluarga yang paling utama. Selain itu, masa untuk jamming juga terbatas malah nak berkumpul antara kami pun agak susah.

“Tapi, sekarang anak-anak pun dah besar, jadi bolehlah kami kembali bersatu semula. Lagipun, kami pun bukan muda lagi. Selepas dah berehat lama, inilah masanya untuk kami meluangkan masa pada hobi kami dan juga bagi sesuatu untuk peminat. Bagi kami, alang-alang nak buat sesuatu, biarlah yang bagus dan bukan tangkap muat saja,” ujar Cromok ketika ditemui di Club 63, petang semalam.

Ditanya mengenai harapan mereka untuk persembahan itu nanti, Cromok menjawab, “Susah nak jangka sebab dah lama kami tak main sekali. Kami tahu peminat kami masih ada, tapi tak tahu sambutan malam itu macam mana. Kami juga tak tahu macam mana persepsi peminat nanti.

“Apa yang kami boleh katakan, kami bakal menjanjikan satu persembahan yang hebat untuk peminat semua. Harap mereka akan datang kerana bukan senang untuk melihat kami bersatu kembali. Lagipun, persembahan ini khas untuk peminat semua.”

Selain persembahan dari Cromok, peminat turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan dari band Nuclear Strikes, Metalasia dan Langsuyr. ‘Cromok Reunion Live in KL 2012’ dibawa khas oleh Clockwork Events dan Uncang Tiga.

Bagi peminat muzik metal rock semua, apa tunggu lagi, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket berharga RM98 dan RM138 menerusi www.ticketpro.com.my atau di talian 03-78807999. Tiket ‘Cromok Reunion Live in KL 2012’ juga boleh didapati di Rock Corner dan Victoria Music Centre.

Istimewanya, pembelian tiket berharga RM138 turut disertakan sekali dengan barangan eksklusif Cromok.

*credit to GUA

Check Also

KOPI SAIGON MEMPERKENALKAN DARK SYSTEM SERIES KOLABORASI BERSAMA SOLOZ DAN XK PENJAHAT

Kopi Saigon dengan bangganya mengumumkan pelancaran Dark System Series, hasil kolaborasi eksklusif bersama dua personaliti …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *