‘Dari Jauh’ Buah Tangan Terbaru ALYPH

ALYPH, penyanyi dan bintang rap kelahiran Singapura yang pernah tular dengan lagunya “Swipe” dahulu baru sahaja melancarkan lagu terbaharunya berjudul ‘Dari Jauh’.

Melalui karya “Dari Jauh”, ALYPH meneroka rona-rona irama R n’B yang lebih perlahan, semestinya jauh beza dengan apa yang pernah beliau paparkan dalam karya-karya terdahulunya yang sarat dengan nuansa hip-hop.

ALYPH menjelaskan bahawa “Dari Jauh” merupakan sebuah lagu putus cinta yang menyakitkan, mengisahkan seseorang yang tidak pernah memberikan waktu dan perhatian terhadap hubungannya dengan kekasih sendiri. Sehinggalah kekasihnya mendapat peluang yang besar dan terpaksa melangkah pergi darinya, barulah dia sedar tentang kesilapannya.

Daripada menunjukkan rasa sedih, dia memilih untuk menyembunyikan perasaannya dan menunjukkan betapa bangga dan gembiranya dia dengan kejayaan kekasihnya itu, sambil memberitahu bahawa yang dia sentiasa akan menyokongnya walaupun mereka sudah putuskan hubungan cinta.

“Jadi, ilham untuk lagu ini datang dari kita yang tidak bersyukur dengan apa yang kita ada sehinggalah sesuatu berubah,” kata ALYPH tentang kisah di balik lagu “Dari Jauh”.

Semasa proses menyiapkan lagu “Dari Jauh”, ALYPH juga mendedahkan bahawa pada mulanya dia ingin menghasilkan sebuah lagu yang dia tidak mungkin mampu hasilkan secara biasa, jadi dia meminta Kenny Gabriel selaku penerbit untuk membuat beberapa penambahbaikan pada kord lagu dengan penuh jiwa.

“Sebaik sahaja kami bersetuju, emosi lagu itu pun mengalir keluar. Teddy Adhitya. (penulis lirik) bertanya pada saya apa perasaan saya tentang lagu dan hala tuju karya ini. Selepas saya menyampaikan cerita di atas, dia memasukkan baris pertama secara spontan berserta irama untuk korus. Kami berlegar-legar di dalam studio kerana sukar mempercayai bahawa lagu itu siap dalam jam berikutnya. “Lagu itu dicipta dan diterbitkan pertama kali di Indonesia,” kata ALYPH.

Sementara itu, untuk bahagian bunyi pula, seperti yang dijelaskan di atas, ALYPH menekankan rona-rona muzik Rn’B dengan menghidupkan kord muzik yang penuh jiwa, menjadikannya satu karya yang sedap didengar.

“Saya tahu saya ingin membuat sesuatu yang romantis, dan inilah hasilnya,” kata ALYPH.

Selain dari bentuk audio, ALYPH juga telah melancarkan lagu “Dari Jauh” dalam bentuk video muzik yang menarik dan unik. Ia diterbitkan oleh Nocturnal Projects dan diarah oleh Bobby Adrian Vitra serta Jessy Sylviani. ALYPH mengambil keputusan untuk membuat sesuatu yang lebih ringan, menampilkan dua orang yang jatuh cinta namun kalah dengan ketua saingan mereka. Dengan latar belakang sebuah kedai baju, video muzik ini kelihatan ringan namun penuh makna.

Ini membolehkan kami untuk menterjemah lagu ini dengan pelbagai cara, mungkin dengan mengingatkan kita pada sesuatu atau membenarkan kita mencipta babak-babak tertentu dengan pengalaman unik hidup kita sendiri, menjadikan lagu ini sesuatu yang lebih peribadi buat kita.

Penerbitannya dilakukan di Indonesia dengan pembabitan ALYPH sebagai salah seorang pelakon. “Ia memerlukan waktu selama satu hari untuk penggambaran dan saya juga terpaksa berlakon sama. Ia menarik dan menyeronokkan, berbeza dengan proses pembuatan lagu yang sering saya lakukan,” katanya lagi.

ALYPH turut menyatakan bahawa mencipta lagu di Jakarta dengan para pemuzik berbakat merupakan salah satu impiannya. Lagu “Dari Jauh” sendiri adalah cerminan tentang muzik terhadap dirinya.

“Ia seperti mengumpul semua kenangan kegemaran anda dan mengabadikannya di dalam satu wangian, kemudian dimasukkan ke dalam botol minyak wangi,” tambahnya.

Melalui lagu terbaharu ini, diharap lebih ramai akan mendengar ALYPH serta merasai maksudnya di samping memahami rasa cinta yang terkandung sehingga mungkin tular sekali lagi.

Check Also

“ BINTANG JALANAN- KOLABORASI ALBUM PEMUZIK JALANAN “

Satu album kompilasi bertajuk “ BINTANG JALANAN- KOLABORASI ALBUM PEMUZIK JALANAN “ telah diterbitkan menampilkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *