Detik 12 Malam kini kembali dengan musim ketiga

Detik 12 Malam kini kembali dengan musim ketiga yang telah mula bersiaran pada 10 Oktober 2017. Musim ini adalah kesinambungan kepada musim yang lepas di mana pihak produksi Detik 12 Malam terus mencari dan merungkai beberapa pekerjaan dan juga aktiviti yang dilakukan pada waktu malam.

Bersiaran pada setiap Selasa jam 11 malam di TV3, program berdurasi 30 minit ini menyajikan variasi aktiviti dan pekerjaan yang dilakukan terutamanya melewati jam 12 malam

Menurut Penerbit Detik 12 Malam, Abdul Ghani Mokhtar, “Objektif program ini bukanlah untuk mencari makhluk halus atau hantu semata-mata, tetapi lebih kepada memberi pendedahan kepada orang ramai tentang cabaran dan dugaan pekerjaan yang dilakukan pada waktu malam dari sudut mistik dan misteri disamping merasai sendiri pengalaman mereka melalui pengacara, Azmi Jamsari. Konsep dan idea asal program ini masih dikekalkan cuma terdapat beberapa segmen diberikan sentuhan baharu yang pastinya memukau sanubari penonton.”

Pada episod pertama, pihak produksi membawa penonton menyelongkar upacara Pati Geni permainan Kuda Kepang. Di majlis-majlis keramaian, tarian Kuda Kepang dipersembahkan bagi memeriahkan acara. Sebagai budaya dan warisan adat melayu, tarian Kuda Kepang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya agar tidak hilang ditelan arus kemodenan.

Namun disebalik 1001 kisah dari mana asalnya tarian unik ini, pihak produksi membawa anda menulusuri ritual unik ini. Kebiasaannya, mereka yang berhajat untuk menuntut ilmu kuda kepang perlu melepasi peringkat ini kerana ritual ini akan menjadi penentu sama ada pemain kuda kepang tersebut akan diberi ‘semangat’ haiwan yang mereka hajatkan seperti kuda, monyet, harimau mahupun gajah. Tiga orang jurulatih telah ditemui bagi berkongsi pengalaman misteri sepanjang mereka berkecimpung dalam aktiviti ini. Azmi selaku pengacara turut mencabar diri melalui proses pati geni untuk merasai sendiri pengalaman sebagai seorang pemain kuda kepang.

Umumnya aktiviti paranormal bukanlah menjadi pilihan orang ramai, namun segelintir peminat aktiviti mistik tetap berani melakukannya kerana mahukan sesuatu yang mencabar adrenalin. Episod Dua Detik 12 Malam menampilkan kisah disebalik kegiatan sebuah kumpulan paranormal yang masih aktif menjejaki tempat-tempat yang menyeramkan dan misteri. Kumpulan-kumpulan paranormal yang semakin bertambah dari masa ke semasa membuatkan aktiviti “mencari hantu” semakin popular disamping kemajuan teknologi dan media sosial memudahkan mereka berkongsi pengalaman kepada masyarakat.

Aktiviti mendaki gunung dilihat semakin popular dalam kalangan peminat sukan lasak di Malaysia akhir-akhir ini. Pelbagai lapisan bangsa menjadikan aktiviti riadah ini sebagai pengisi masa lapang. Alam semulajadi yang masih terpelihara di Malaysia membuatkan setiap pendaki mengimpikan untuk menawan gunung-gunung yang ada di Malaysia. Pihak produksi telah mendapatkan beberapa orang yang berpengalaman untuk bercerita mengenai pantang-larang dan pengalaman misteri mereka semasa berada di dalam hutan. Dalam episod tiga: Pendaki Gunung, ilmu hutan yang berguna akan turut dikongsikan bersama penonton untuk dijadikan panduan semasa pendakian.

Episod Empat, Pemikat Burung Wak-Wak. Jika dilihat secara kasar, burung wak-wak atau nama saintifiknya Amaurornis Phoenicurus tidak ubah dari burung-burung lain. Namun, terdapat pelbagai kisah misteri di kalangan pemikat burung wak-wak mengaitkan burung yang dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 ini. Fokus episod ini adalah teknik menangkap burung wak-wak itu sendiri. Difahamkan cara tradisional iaitu meniup seruling khas hanya dilakukan oleh mereka yang pakar kerana tiupan yang sumbang oleh mereka yang kurang pakar boleh memanggil makhluk halus. Ini menjadikan aktiviti memikat burung wak-wak sebagai satu misteri dan menyeramkan.

Diharapkan dengan musim baru ini, penonton akan lebih mengetahui dan serba sedikit beroleh ilmu dimana segala apa yang dipaparkan ini berkait rapat dengan ilmu alam. Segala cerita dan pengalaman yang dikongsikan adalah berdasarkan kisah sebenar dan dilakonkan semula bagi memberikan gambaran sebenar situasi dan kejadian yang berlaku.

Pecahan episod adalah seperti berikut:

Episod 1: Kuda Kepang (Upacara Pati Geni)

Episod 2: Aktiviti Paranormal

Episod 3: Pendaki Gunung

Episod 4: Pemikat Burung Wak-Wak

Episod 5: Pencari Madu Tualang

Episod 6: Kaki Pancing

Episod 7: Penjaga Stadium

Episod 8: Penjaga Pencawang

Ikuti pelbagai lagi kisah-kisah menarik menerusi DETIK 12 MALAM bersama Saiful Azmi Jamsari bermula 10 Oktober, setiap hari Selasa jam 11.00 malam di TV3. Jika anda terlepas menyaksikannya di kaca televisyen, anda boleh menonton melalui saluran alternatif iaitu di www.tonton.com.my.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *