Thursday , December 1 2022

Filem Siku 12 Ketengahkan Seni Persilatan Melayu Dan Muay Thai

Mengetengahkan kehebatan seni persilatan Melayu dan seni mempertahankan diri Muay Thai, filem Siku 12: Langkah Derhaka terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd juga menyelitkan konflik cinta dan persahabatan sebagai elemen dramatik untuk menarik penonton.

Filem bergenre aksi arahan Azhari Zain itu menggandingkan dua aktor popular, Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim selaku teraju utama.Ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Moon, Lobak dan Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar.

Tidak ketinggalan dibantu oleh Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Penerbit Eksekutif, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, filem yang menelan kos sebanyak RM1.2 juta itu menjalani penggambaran pada 2019.

“Penggambaran filem bermula pada Oktober 2019 membabitkan tempoh selama 15 hari seperti dijadualkan.

“Namun, filem Siku 12 hanya siap sepenuhnya membabitkan proses suntingan dan sebagainya untuk tayangan di pawagam pada tahun ini.

“Ia membabitkan lokasi penggambaran di Pendang dan Alor Star, Kedah,” katanya.

Berkongsi cabaran merealisasikan filem Siku 12, kata Mohd Hafiz, dia hanya mengambil alih projek filem berkenaan pada saat akhir.

“Saya terima tawaran daripada rakan penerbit, Mohamad Pozi Mansor untuk mengambil alih projek filem ini bukan atas dasar persahabatan semata-mata.

“Sebaliknya, saya percaya filem Siku 12 ini mempunyai potensi untuk diketengahkan termasuk ke peringkat antarabangsa.

“Filem Siku 12 mengetengahkan ilmu persilatan seni silat tua Melayu iaitu permainan 12,” katanya.

Bagaimanapun kata Mohd Hafiz, banyak yang perlu diperbaiki untuk memastikan kualiti filem untuk tayangan di pawagam.

“Saya perlu menyiapkan dari segi proses suntingan, ‘audio mixing’ dan ‘color grading‘ untuk filem ini.

“Banyak proses dilalui filem ini terlebih dahulu, sebelum mendapat kelulusan tayangan di pawagam termasuk Kementerian Dalam Negeri, Skim Wajib Tayang dan wakil pawagam.

“Alhamdulillah, saya dan penerbit kembali bersemangat membawa filem untuk tayangan di pawagam selepas melihat maklum balas positif,” katanya.

Mengulas cabaran menerbitkan filem bergenre aksi, kata Mohd Hafiz, bukan mudah untuk merealisasikannya kerana ia memerlukan lokasi gelanggang yang besar.

“Kami juga menyediakan jurulatih profesional bagi memberi tunjuk ajar kepada pelakon ketika babak bertinju.

“Malah, pelakon utama, Syafiq Kyle perlu berlatih selama dua minggu sebelum memasuki lokasi penggambaran.

“Filem Siku 12 hanya menampilkan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) sebanyak 10 peratus,” katanya.

Apa yang menarik, kata Mohd Hafiz, filem Siku 12 menampilkan seramai 20 penari menora dari Persatuan Manora Kedah dan Manora Kham Kampung Kalai.

“Kami turut menampilkan ratusan pelakon tambahan untuk menjadi penonton di luar gelanggang.

“Jumlah penonton yang ramai diperlukan untuk menonjolkan suasana sebenar ketika pertandingan diadakan membabitkan peninju,” katanya.

Penerbit Eksekutif – Mohd Hafiz Mohd Nafiah

Ditanya harapan terhadap filem Siku 12, kata Mohd Hafiz, pihaknya sudah berusaha memberikan terbaik pada filem dan hanya menyerahkan pada penilaian penonton.

“Saya yakin dengan momentum yang ada selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, filem genre aksi juga akan mendapat tempat di hati penonton,” katanya.

Filem Siku 12: Langkah Derhaka akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober depan. Ia juga
ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Trailer rasmi filem boleh ditonton menerusi saluran YouTube/Power Team Entertainment sejak 6 September lalu.

Check Also

TAPAUFEST 2022

Festival indie Asia Tenggara – TAPAUfest kini kembali dengan keunikan dan kepelbagaian tarikan. TAPAUfest 2022 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *