KUSKOP SASAR RM5 JUTA MENERUSI KEMPEN  MARI BELI LOKAL RAMADAN RAYA 2025 MYMALL 

KUALA LUMPUR, 17 Mac – MARI BELI LOKAL ini adalah antara inisiatif   Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang giat memperkasakan usahawan tempatan dan koperasi. Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 di bawah platform MyMall bermula 1 Mac hingga 30 April ini menyasarkan RM5 juta hasil jualan berbanding RM2.5 juta tahun 2024. Penganjuran kempen kali ini turut melibatkan jualan produk-produk daripada artis tempatan iaitu sambal dan pakaian serta produk dari jenama terkenal seperti Kasurysh, Lima Waktu, Elrah Exclusive, Primavalet, The Makan Shoppe, Beubon, Shasya Habib dan Aris Burger.

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 pada 17 Mac 2025 di Dewan ODEON, Kuala Lumpur.  Kali ini KUSKOP telah memilih ODEON, Kuala Lumpur yang dimiliki oleh UDA Holdings, agensi di bawah KUSKOP sebagai lokasi perasmian. 

Beliau berkata, peluncuran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 ini bertujuan untuk menarik sokongan orang ramai terhadap produk tempatan yang dikeluarkan oleh usahawan-usahawan Malaysia. 

Usahawan tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dijemput untuk menyertai platform jualan digital MyMall dengan mendaftarkan perniagaan di www.mymallmalaysia.my atau e-mel kepada contact@mymallmalaysia.my.  Orang ramai yang berminat untuk membeli kelengkapan Ramadan dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri boleh membuat pesanan terus melalui platform tersebut.

Pada majlis yang sama, YB Datuk Ewon Benedick juga turut menyempurnakan sesi penyampaian anugerah Top Sales Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2024, Top Sales Kempen Mari Beli Lokal Year End Sales 2024 dan anugerah Rising Star Merchant.

Kempen ini merupakan inisiatif Kementerian dalam memberi sokongan terhadap produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan dan secara tidak langsung membantu proses pendigitalan PMKS di negara ini.

KUSKOP terus komited dalam membantu pembangunan usahawan dan koperasi dengan pelbagai inisiatif terkini dan berimpak tinggi. Langkah ini bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Check Also

Thule Concept Store di Mid Valley Megamall mempamerkan rangkaian produk premium untuk gaya hidup aktif.

THULE CONCEPT STORE RASMI DIBUKA DI MID VALLEY MEGAMALL

Jenama premium dari Sweden, Thule, terus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia menerusi pembukaan Thule Concept Store …

Amazing Thailand Fest 2026 di Central i-City Shah Alam

AMAZING THAILAND FEST 2026 BAWA PESONA BUDAYA THAILAND KE CENTRAL I-CITY

Amazing Thailand Fest 2026 membuka tirai di Central i-City dengan membawa pengalaman budaya Thailand yang …

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *