KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER 2025 – EcoTwin Step Sdn Bhd telah menganjurkan Program Reset Diri Ubah Rezeki 2025 di Dewan Parameswara 2, The Mines Resort & Golf Club, menghimpunkan lebih 100 usahawan kecil dan sederhana bagi memperkukuh sistem perniagaan, minda serta strategi keusahawanan.

Bengkel sehari ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dengan pengisian praktikal berasaskan pendekatan Neuro-Linguistic Programming (NLP). Objektif utama program adalah memberi bimbingan bagaimana usahawan boleh mengurus perniagaan dengan lebih teratur sambil meningkatkan daya tahan mental dalam mendepani cabaran.

Antara penceramah utama termasuk Dr Hisham Dzakiria atau lebih dikenali sebagai Dr Healing, Pengasas dan CEO EcoTwin Step, bersama Coach Temizi Ab Aziz. Antara modul diketengahkan ialah Kenal Pasti Punca Cabaran Usahawan, Latihan Relaksasi & Mind Reset serta Bangunkan Sistem & Mindset Usahawan.
Lebih menarik, penyanyi dan usahawan Ayu Damit turut memeriahkan acara dengan persembahan lagu “Hanya Di Mercu”, memberi suntikan motivasi kepada peserta.

Program Minda Ubah Rezeki 2025 melabuhkan tirainya dengan impak besar apabila peserta dibimbing menguasai kekuatan minda, emosi dan strategi keusahawanan. Program ini menekankan pentingnya growth mindset, melihat kegagalan bukan sebagai penamat tetapi maklum balas untuk tindakan seterusnya.
Menurut Dr Hisham, ramai usahawan berhenti separuh jalan kerana mudah berputus asa. “Tiada istilah gagal dalam dunia bisnes. Yang ada hanyalah maklum balas. Jika minda dikuasai dengan betul, insya-Allah kejayaan akan menyusul,” jelasnya.

Antara modul menarik lain termasuk teknik komunikasi berkesan, pengurusan emosi, profiling otak kiri dan kanan serta strategi membina perniagaan berasaskan minat dan passion.
Dalam sesi sama, EcoTwin Step turut mengumumkan pembukaan Healing & Wellness Centre hujung bulan ini yang memberi tumpuan kepada rawatan burnout, kemurungan serta healing retreat. Pusat ini dijangka menjadi destinasi penting untuk memperbaiki kesihatan mental dan keseimbangan hidup.

Dengan mesej utama bahawa minda yang kuat mampu mengubah rezeki, program ini diyakini menjadi platform berterusan untuk melahirkan usahawan lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran perniagaan moden.