TEATER MUZIKAL PUTERI NABALU ANGKAT KISAH HUMINODUN KE PENTAS DBP

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Sebuah karya seni persembahan yang menyentuh jiwa dan sarat dengan nilai warisan bakal menghiasi pentas Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila Teater Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu dipentaskan selama tiga malam berturut-turut pada 30 dan 31 Mei serta 1 Jun 2025.

Mengangkat lagenda agung dari bumi Sabah, naskhah ini menceritakan kisah pengorbanan seorang puteri suci, Huminodun, yang sanggup mengorbankan dirinya demi menyelamatkan tanah dan rakyatnya daripada bencana kebuluran. Teater muzikal ini bukan sekadar hiburan, malah satu penghormatan terhadap warisan budaya yang kaya dengan nilai kemanusiaan, spiritual dan hubungan mendalam antara manusia dan alam.

Diterbitkan oleh KGE Studio dan Persatuan Bantuan Masyarakat Sabah (BANTU), pementasan ini turut mendapat kerjasama erat daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dewan Bahasa dan Pustaka serta Pertubuhan Anak Karya Malaysia (PAKAR). Ia turut menerima sokongan penting daripada Yayasan Hasanah dan ArtFast yang menjadi pemangkin dalam memperkasakan seni persembahan tempatan, khususnya dalam mengetengahkan cerita rakyat kepada khalayak moden.

Naskhah ini diarahkan oleh Nawfal Zamri dengan skrip asal hasil nukilan Satra Nurizman dan olahan kreatif Amsalib Pisali. Ia turut diserikan dengan sentuhan muzik oleh Anas Amdan, komposisi muzik oleh Shakkir Latiff, koreografi Hamid Chan serta pengurusan produksi oleh Aliff Hashim. Pementasan ini bakal mempersembahkan barisan pelakon hebat termasuk Queenenra Francine, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Teater Malaysia 2022, bersama Virtoues Romana, Ijat Ashari dan Lenny Erwan.

Menurut Ketua Projek, Satra Nurizman, Teater Muzikal Puteri Nabalu merupakan sebuah jambatan budaya yang menghubungkan masyarakat melalui warisan yang hampir dilupakan. “Ini bukan sekadar sebuah pementasan, tetapi satu epik kemanusiaan yang memberi makna terhadap erti pengorbanan dan cinta terhadap tanah air,” katanya.

Queenenra Francine

Pementasan akan bermula pada jam 8.30 malam dan tiket boleh didapati melalui platform ticket2u.com.my. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 011-63909890 (Saudara Aliff) atau emel ke pertubuhananakkarya@gmail.com.

Teater Muzikal Puteri Nabalu adalah bukti nyata bahawa warisan tidak pernah lapuk ditelan zaman, sebaliknya terus segar di pentas seni tanah air.

Check Also

KAMAL HAASAN KEMBALI DENGAN NAFAS BAHARU DALAM FILEM EPIK “THUG LIFE” MULAI 5 JUN 2025

KUALA LUMPUR, 1 JUN 2025 — Sebuah naskhah sinematik berskala besar bakal menemui peminat filem …

KONSERT BARBARIK: PENTAS PELURU COKELAT BAKAL GEGAR ZEPP KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 29 MEI 2025 – Kumpulan rock BARBARIK bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *