Selepas dua tahun tidak mengadakan persembahan di Sabah, kumpulan rock legenda XPDC KPY bakal kembali mengubat kerinduan peminat menerusi Konsert XPDC Gegar Borneo 2026 yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos 2026, jam 8 malam di Padang Pekan Daerah Kunak.
Konsert yang dijangka menghimpunkan ribuan peminat dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei itu bukan sahaja menjanjikan malam penuh nostalgia, malah menjadi antara acara hiburan terbesar di Pantai Timur Sabah tahun ini.

KUNAK DIPILIH SEBAGAI DESTINASI ROCK BORNEO
Konsert anjuran SMH Global dengan sokongan Majlis Daerah Kunak, Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut menyokong kempen Visit Malaysia 2026.
Pemilihan Kunak bukan sekadar membawa sebuah konsert rock, malah menjadi usaha memperkenalkan daerah itu sebagai destinasi baharu penganjuran acara hiburan bertaraf nasional.

Selain memberi peluang kepada peminat di Pantai Timur Sabah menikmati persembahan kumpulan legenda tanah air, penganjuran acara ini dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan, pengusaha hotel, restoran dan sektor pelancongan.
Penganjur turut merancang menjadikan konsert ini sebagai permulaan kepada siri jelajah XPDC KPY ke beberapa lagi lokasi di pedalaman Sabah dan Sarawak pada masa hadapan.
LAGU LAGENDA DAN KEJUTAN ISTIMEWA MENANTI PEMINAT
XPDC KPY dijangka mempersembahkan deretan lagu malar segar yang terus menjadi siulan peminat seperti Semangat Yang Hilang, Apa Nak Dikata, Titian Perjalanan, C.I.N.T.A, Hijau Bumi Tuhan dan Selendang Merdeka.
Selain himpunan lagu ikonik, kumpulan itu turut menjanjikan beberapa kejutan istimewa sepanjang persembahan yang pastinya menghidupkan suasana di Padang Pekan Daerah Kunak.

Sabah sememangnya mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan seni XPDC. Setiap kali membuat persembahan di negeri itu, mereka sentiasa menerima sambutan luar biasa daripada peminat yang setia menyokong perjalanan muzik rock tempatan.
TIKET SERENDAH RM40
Orang ramai boleh mendapatkan tiket mengikut kategori yang disediakan iaitu:
- Rock Zone β RM40
- Head Banging Zone β RM50
- Head Banging + Meet & Greet β Tambahan RM100
Ruang khas turut disediakan kepada peniaga tempatan bagi memeriahkan suasana konsert dan membuka peluang menjana pendapatan sepanjang acara berlangsung.

Konsert ini dijangka dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sabah dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN N63 Kunak, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu.
Dengan gabungan persembahan bertenaga, lagu-lagu legenda dan kehadiran ribuan peminat dari seluruh Borneo, Konsert XPDC Gegar Borneo 2026 dijangka menjadi antara acara rock paling dinanti-nantikan di Sabah tahun ini.
Selebriti Online Portal Hiburan Dan Gaya Hidup Malaysia