‘KELAS 601’ Bantu Persiapan Calon UPSR

Kelas 601_main cast

Bagi membantu persiapan calon-calon yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal mengunjung tiba, Astro Tutor TV UPSR dengan berbesar hati dan penuh rasa tanggungjawab akan membawakan sebuah program hiburan berpendidikan baru yang menekankan penggunaan Bahasa Melayu yang tepat berjudul Kelas 601, pada setiap hari Sabtu bermula dari 2 Ogos 2014, jam 5 petang secara ekslusif di Astro Tutor TV UPSR (Saluran 601). 

Kelas 601 bakal menampilkan gabungan barisan bakat baru dan juga selebriti berpengalaman dalam industri hiburan tanah air sebagai teraju utama. Pelakon muda yang sedang meningkat naik, Elfira Loy akan bergandingan dengan seorang pelawak yang cukup berbakat dalam bidang seni iaitu Yus dari kumpulan Jambu. Dua orang selebriti cilik yang dicungkil bakat menerusi program Ceria Popstar Musim Kedua iaitu Wafiy dan Trisha akan turut serta di dalam program ini bersama seorang ikon fesyen yang tidak asing lagi iaitu Wak Doyok.

Program hiburan berpendidikan ini bertujuan untuk memperkayakan kemahiran penggunaan bahasa kebangsaan dengan tepat melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan. Program yang berdurasi selama sepuluh minit setiap episod ini akan mempersiapkan calon-calon UPSR dengan pembetulan bagi setiap kesalahan lazim tatabahasa, tip-tip untuk menjawab soalan UPSR, nota poket yang ringkas dan padat serta formula bagi menghafal nota Bahasa Melayu mengikut kaedah peta minda.

Vickie Lai, Ketua Bahagian Pendidikan Astro berkata, “Seiring dengan peperiksaan UPSR yang semakin hampir, kami berasa terpanggil untuk menyediakan satu platform bagi calon-calon untuk mendapatkan tip-tip penting pada saat akhir. Kami juga sentiasa berusaha untuk menghasilkan sesuatu program dengan pembelajaran yang dapat difahami dan diingati dengan lebih mudah oleh para pelajar. Lantaran itu, kami mencetuskan idea untuk menggabungkan pembelajaran Bahasa Melayu UPSR dengan sedikit sentuhan elemen komedi. 

Melalui gabungan barisan selebriti yang mantap, kaedah penerangan dengan bantuan grafik menarik yang sangat mudah difahami dan jalan cerita dengan suntikan komedi pastinya akan membuatkan Kelas 601 menjadi sebuah alat bantuan pembelajaran yang berkesan untuk para pelajar bagi menambah baik kemahiran tatabahasa, kosa kata, serta mendalami keunikan seni Bahasa Melayu itu sendiri. Kami berharap agar inisiatif yang cuba kami usulkan ini akan mendapat maklum balas positif serta diterima baik oleh semua peringkat golongan khususnya barisan calon yang bakal menduduki peperiksaan UPSR”. 

Setiap episod bakal menampilkan beberapa kesalahan lazim penggunaan Bahasa Melayu di dalam penulisan dan juga perbualan harian oleh watak-watak utama iaitu Afiq (Wafiy), Sara (Trisya), Abang Bob (Yus Jambu) dan Abang Lokman (Wak Doyok) menerusi sisipan di dalam rangkaian jalan cerita yang menarik. Di sini, Kak Linda (Elfira Loy) bertindak sebagai tutor yang akan membetulkan setiap kesalahan dan memberikan kaedah penggunaan Bahasa Melayu yang tepat di samping memberikan tip-tip yang pastinya berguna semasa menjawab soalan UPSR nanti.

Oleh itu, jangan ketinggalan untuk menonton Kelas 601, pada setiap hari Sabtu bermula dari 2 Ogos 2014, jam 5 petang secara eksklusif hanya di Astro Tutor TV UPSR (Saluran 601). Kelas 601, membantu anda mahir dalam Bahasa Melayu.

Check Also

Hazrul Nizam Putus Kemarau 21 Tahun Dengan Single ‘Rawan’

Penyanyi veteran Singapura, Hazrul Nizam, akhirnya memecah kesenyapan dengan pelancaran single terbaharu bertajuk ‘Rawan’ selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *