“Klang looks gangster!”- Namewee

Siapa Namewee? Mana mungkin anda tak kenal. Sebab sebelum ini tindakannya pernah menimbulkan kemarahan masyarakat apabila mencetuskan beberapa kontroversi. Namun pandangan negatif umum itu dilihat semakin terhakis apabila penyanyi-pembikin filem ini tampil dengan percubaan sulung menerusi filemNasi Lemak 2.0 (walaupun tercetus juga kontroversi).

Terbaru, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 29, kembali dengan filem Hantu Gangster yang mana menjadi panorama Klang, Selangor sepenuhnya sebagai latar belakang untuk bikinan keduanya ini.

Bercerita lanjut, Namewee berkata meskipun dia mengguna-pakai perkataan ‘gangster’ untuk filem tersebut tetapi karyanya kali ini bukan mengangkat tema gangsterism. Sebaliknya perkataan ‘gangster’ itu hanya sebagai metafora di mana tiga kumpulan gangster yang ditonjolkan dalam filem ini adalah merujuk kepada tiga bangsa di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

“Saya sedar selama ini gengsterisme sinonim dengan elemen negatif dan tiada peradaban tetapi ia mempunyai sisi yang baik sebenarnya,”

“Sebenarnya konsep gengsterisme itu bertujuan melindungi kaum atau kumpulan tertentu tetapi kini ia menjadi lain kerana tujuan dan niat asal itu sudah diubahsuai kepada pergaduhan, buli dan pembunuhan,”

“Apa yang penting, dalam filem ini saya mahu paparkan mesej perpaduan antara kaum,” katanya ketika ditemui pada tayangan bersama media filem tersebut di TGV Sunway Pyramid, semalam.

Tambahnya, dia mendapat ilham untuk mengetengahkan tema berkenaan berdasarkan pengalaman sebenar kehidupan datuknya di Muar, Johor.

“Inspirasi filem ini adalah daripada kisah sebenar hidup datuk saya. Ketika muda dulu, dia menjalankan perniagaan kedai kopi yang sering dikunjungi kumpulan-kumpulan gengster.

“Menurut cerita datuk, kumpulan-kumpulan gengster ini wujud bagi melindungi kaum dan penduduk dan bukannya untuk menunjukkan kuasa atau bertindak jahat.”

Hantu Gangster mengisahkan perbalahan tiga kumpulan samseng daripada tiga kaum berbeza. Tiga kumpulan ini yang hidup harmoni dan saling menghormati pada zaman bapa mereka bertukar menjadi musuh pada era anak masing-masing kerana konflik dan kepentingan peribadi.

Selain Namewee sendiri, filem ini turut dibintangi Farid Kamil, Diana Danielle, Taiyuddin Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk David Arumugam. Filem terbitan Prodigee Media Entertainment ini bakal ditayangkan pada 9 Ogos depan bersempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Raya.


Lali Kontroversi

Sementara itu Namewee juga memberitahu dia punya sebab mengapa memilih Klang sebagai latar belakang filem Hantu Gangster. Ini kerana di matanya, daerah itu ‘nampak gangster’sehingga membuatkan bandar Diraja Selangor itu menjadi pilihan utamanya.

“Ketika saya menulis skrip filem ini, awal-awal lagi saya sudah membayangkan Klang. Sebagai seorang pengarah di mata saya, Klang looks gangster berdasarkan suasananya, struktur banggunan juga jalan rayanya.

“Saya bukan ahli politik. Apa yang saya cakap adalah datang dari hati. Saya tak mahu tipu tentang apa yang saya rasa. Sebelum ni saya pernah berkata sebegini dan reaksi orang Klang biasa saja, mereka okay,” ujarnya sekaligus menjelaskan dia bukan sengaja mahu menguris hati seluruh penduduk Klang mahupun mencetuskan apa-apa kontroversi tetapi luahan itu adalah pendapat yang jujur dari hatinya.

Melihatkan anak kelahiran Muar, Johor ini terlalu berterus-terus, Namewee terus diasak persoalan selama ini tidakkah dia sedar kejujuran juga keberaniannya lantang bersuara memakan diri sendiri. Bahkan namanya cukup sinonim dengan isu-isu kontroversi.

“Saya tak rasa saya berani. Saya pun tak rasa saya negatif. Ada ada orang cakap saya positif tak kurang ada yang cakap saya negatif. Pada pandangan saya, saya tak pernah buat hal yang negatif. Malah saya selalu mahu buat yang positif. Saya tak label diri saya. Tapi orang yang labelkan saya negatif,”

“Saya tak pernah cuba mempengaruhi orang untuk suka pada saya. Saya tak kisah anggapan orang terhadap saya. Sudah lima tahun kontroversi hidup dalam kontroversi. Saya sudah biasa. Saya pernah cuba untuk hentikan persepsi orang tapi tak boleh.

“saya selalu beritahu orang ramai yang saya hanyalah penyanyi dan pembikin filem bukan pencetus kontroversi. Dalam filem saya, 95% adalah cerita yang biasa. Hanya 5% menyentuh tentang isu semasa atau pandangan saya pada sesuatu isu atau masyarakat. Tapi orang ramai lebih nampak yang 5% itu. Pada hal sebenarnya saya hanya mahu berkongsi perasaan saya terhadap sesuatu”, katanya.

Sebelum ini Namewee pernah dikecam gara-gara mempersendakan lagu Negaraku. Dia juga pernah pakai bendera terbalik maki-hamun pengetua sekolah di Kulai, Johor juga orang Tenaga Nasional (TNB). Filem pertamanya Nasi Lemak 2.0 sukses mencatat kutipan sebanyak RM7 juta dan Namewee kini sedang dalam pembikinan filem ketiganya berjudul Kara King.

Check Also

Jackie Chan Terus Beraksi Di Usia 70 Tahun Dalam Filem Terbarunya “Panda Plan”

Bintang aksi terkenal Hong Kong, Jackie Chan, membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus beraksi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *