Konsert Jelajah “JOURNEY TO THE FUTURE” SHILA AMZAH Bakal Buka Tirai Pada 4 Mac 2023

IMC Live Global dengan bangganya mempersembahkan Konsert Jelajah (Live Tour) “Journey to The Future” Shila Amzah. Konsert Jelajah yang dinanti-nantikan itu akan membuka tirai di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 4 Mac 2023, pukul 8 malam diikuti persembahan di Pulau Pinang, Sabah, Singapura dan Indonesia. Tiket akan mula dijual bermula 16 Januari 2023, pukul 11 pagi.

Shila Amzah merupakan penyanyi dan komposer yang tidak gentar mencipta kelainan sepanjang kariernya dalam industri dengan merangkul pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara. Langkah seninya bermula seawal usia 4 tahun dan sejak itu, beliau bekerja keras menjadi antara penyanyi papan atas Malaysia sehingga mampu mencipta kejayaan demi kejayaan.

Lagu ‘Patah Seribu’ menerima Anugerah Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-19 (AIM19). Pencapaian Shila menaikkan nama negara dalam bidang seni suara menerusi pelbagai persembahan memukau telah melayakkan beliau diiktiraf sebagai penerima Anugerah Kembara pada Anugerah Industri Muzik Ke-20 (AIM20).Kehebatan Shila dalam pertandingan realiti nyanyian terbukti selepas beliau menjuarai Asian Wave (2012), sebuah pertandingan realiti nyanyian di Shanghai dan terbaru, menjadi juara The Masked Singer Malaysia musim ke-2 (2022).

Dengan bakat mempersembahkan lagu dalam 10 bahasa termasuk Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin, Shila berhasil memukau penonton dengan kelantangan dan versatiliti vokalnya. Shila merupakan penyanyi berbangsa Melayu pertama dan satu-satunya yang berjaya menembusi pasaran Mandopop (Pop Mandarin) yang amat kompetitif di China.“Journey to The Future” mencipta sejarah baharu dalam karier Buah Hati Asia itu kerana ia adalah konsert jelajah pertamanya selepas bergelar ibu pada 2019. Penyanyi berbakat besar itu bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu, menyanyi dalam lebih banyak bahasa asing dan menyelitkan tarian dalam persembahannya. Konsert Jelajah tersebut bakal menampilkan produser tersohor, Lee Nai Kong, selaku pengarah muzik yang akan menyelia sususan muzik dan hala tuju secara persembahan secara keseluruhan. Para peminat bakal dipersembahkan dengan pengalaman visual dan audio berkelas dunia apabila Shila menyampaikan katalog lagu popularnya termasuk lagu-lagu antarabangsa kegemaran ramai diiringi penuh barisan pemuzik (band) dan pemain instrumen bertali (string).

Tiket boleh didapati pada harga RM238, RM338, RM438 dan RM638 (VIP) menerusi All Access Asia dan TicketCharge bermula 16 Januari 2023, pukul 11 pagi. Pemegang tiket VIP akan turut menerima kad bergambar (photocard) dan peluang bergambar berkumpulan bersama Shila Amzah.

Journey to The Future” akan meneruskan jelajahnya di bandar-bandar utama di Asia Tenggara. Untuk informasi terkini, layari Facebook atau Instagram @IMCLiveGlobal.

Check Also

Dapatkan Tandatangan & Sesi Foto Eksklusif Ziana Zain Semarakkan Keterujaan Ziana Zain Concert 2024

Menikmati persembahan atau nyanyian bintang pujaan tidak akan pernah lengkap tanpa tanda dagang seperti memiliki …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *