Kuasa penentuan peserta ‘Kilauan Emas Otai’ di tangan penonton

Jika sebelum ini, pihak produksi Astro dan barisan juri profesional telah dipertanggungjawabkan untuk menentukan kemasukkan para peserta dalam program Kilauan Emas (KE). Namun begitu, untuk kali ini program yang bernaung di bawah payung Astro Prima ini kembali tapi dengan pendekatan yang berbeza dan lebih unik. Kilauan Emas akan kembali menemui peminatnya dengan edisi istimewa, ‘Kilauan Emas Otai’ yang akan bersiaran pada setiap hari Rabu mulai 9 Mac ini pada jam 9.00 malam di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

Kilauan Emas Otai akan menyaksikan 12 bintang kelahiran program Kilauan Emas berentap selama tujuh minggu dalam usaha merebut takhta otai terhebat di kalangan yang terhebat. Para peserta adalah terdiri daripada lima orang Juara Kilauan Emas musim pertama hingga kelima dan tujuh lagi kekosongan akan diisi oleh bintang Kilauan Emas yang telah berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat separuh akhir pada musim-musim yang sebelumnya. Menariknya lagi, tujuh tempat kosong ini akan ditentukan menerusi proses undian dan mandat tersebut diberikan sepenuhnya kepada para peminat. Undian dibuka mulai 26 Januari 2016 jam 6.00 petang sehingga 14 Februari 2016 jam 11.59 malam menerusi portal rasmi www.kilauanemas.com.my.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Farah Fauzana Zainol Kamar, “Berbeza dengan program Kilauan Emas di musim-musim yang terdahulu yang mana kita mencari bintang pelapis otai menerusi sesi uji bakat yang diadakan di seluruh Malaysia, Kilauan Emas Otai pula akan menampilkan seribu kelainan apabila kami mencari bintang otai terbaik dari kalangan mereka yang terhebat.

Format baru yang kita tampilkan ini akan turut memberi peluang kepada para peminat untuk terlibat secara langsung dengan menyuarakan tujuh peserta pilihan terbaik mereka dan kami yakin, pilihan yang dibuat peminat ini akan berjaya mengegarkan pentas utama Konsert Kilauan Emas Otai kelak kerana kehebatan dan bakat nyanyian mereka sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Saya yakin, tagline Kilauan Emas yang dilaung-laungkan selama ini iaitu ‘Otai Masih Berbisa’ akan terbukti menerusi edisi Kilauan Emas Otai ini”.

Sambung Farah Fauzana lagi, “Sejujurnya kami sungguh teruja untuk mengangkat Kilauan Emas Otai ke kaca televisyen penonton. Apatah lagi apabila melihat jumlah tontonan Kilauan Emas meningkat dari musim ke musim, yang mana membuktikan kelompok peminat program ini semakin berkembang. Sebagai tanda terima kasih kepada semua penonton setia yang menjadi tulang belakang kejayaan program Kilauan Emas, kami memutuskan untuk menjemput mereka bersama-sama kami dalam menjayakan Kilauan Emas Otai musim ini dengan memberi kuasa mutlak pemilihan tujuh orang peserta kepada mereka. Pemilihan tujuh orang peserta ini adalah terletak seratus peratus di tangan peminat yang mana mereka sendiri bakal menentukan barisan peserta program ini menerusi proses undian yang dibuka mulai 26 Januari 2016 ini”.

Lima orang Juara yang akan diserap secara automatik ke dalam program Kilauan Emas Otai adalah Ali (KE 1), Fuad (KE 2), Meor (KE 3), Arip (KE 4) dan Mustar (KE 5). Manakala seramai 20 orang bintang Kilauan Emas dari musim pertama hingga kelima yang telah berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir adalah tercalon untuk mengisi tujuh tempat kekosongan peserta Kilauan Emas Otai.

Calon-calon program Kilauan Emas Otai adalah seperti berikut:

Kilauan Emas (KE) Nama-nama peserta yang tercalon
Musim Pertama (KE 1) 1)     Shamsiah

2)     Razif

3)     Masitah

Musim Kedua (KE 2) 1)     Julaini

2)     Taurath

Musim Ketiga (KE 3) 1)     Rina

2)     Mak Ros

3)     Silah

4)     Idris

Musim Keempat (KE 4) 1)     Raida

2)     Aziana

3)     Nas

4)     Nordin

5)     Zain

6)     Silva

7)     Ben

Musim Kelima (KE 5) 1)     Elji

2)     Hasbi

3)     Lina

4)     Norya

 

Farah Fauzana berkata, “Selain bakal menggamit nostalgia penonton terhadap Kilauan Emas, himpunan bintang-bintang otai dalam Kilauan Emas Otai juga akan menjadikan program ini lebih kompetitif. Justeru, ini merupakan peluang terbaik yang tidak harus dilepaskan oleh penonton dalam menentukan siapa yang mereka mahu saksikan beraksi di pentas Kilauan Emas Otai kelak. Apatah lagi, mekanisma undian amat mudah dan tidak melibatkan wang ringgit. Kami percaya, cara ini mampu memberi kepuasan tontonan terhebat kepada penonton kami”.

Dalam memastikan Kilauan Emas Otai ini sehebat nama diberi, tugasan mingguan yang diberi kepada setiap peserta adalah lebih mencabar dan bakal menguji keupayaan vokal masing-masing. Peserta akan dibimbing oleh barisan tenaga pengajar yang terdiri dari kalangan mereka yang cukup sinonim dalam industri seni tanah air dan ianya akan diumumkan di majlis sidang akhbar kelak.

Untuk memudahkan peminat mengimbas kembali persembahan calon peserta, Astro Prima akan menyiarkan dua buah program iaitu:

  • Rebiu Kilauan Emas Otai pada 3 dan 10 Februari jam 9.30 malam – 10.30 malam. Program ini melibatkan temuramah bersama bekas peserta KE 1 – KE 5 dengan menyingkap kembali persembahan, peristiwa yang menarik dan perkembangan semasa mereka; dan
  • Studio Kilauan Emas Otai mulai 25 Januari sehingga 14 Februari pada jam 8.55 malam yang bakal bersiaran selama tiga minit. Ia merupakan program kapsul yang akan memaparkan persembahan akustik calon peserta Kilauan Emas Otai.

Juara Kilauan Emas Otai akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 150,000.00 beserta trofi. Naib juara pula akan membawa pulang wang tunai RM 50,000.00 beserta trofi dan pemenang tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai RM 30,000.00 beserta trofi. Manakala, hadiah wang tunai RM 10,000.00 beserta trofi akan ditawarkan buat pemenang tempat keempat. Peserta juga berpeluang mengggondol hadiah wang tunai sebanyak RM 10,000.00 untuk pemenang kategori Anugerah Khas Juri.

 

Check Also

Roh dan Fitrah Bakal Diterjemahkan Menerusi Konsert “Oh Irama Oh Nyawa Kugiran Wak Jeng”

Usah di nilai pada nama yang tampak tidak begitu komersil, tetapi hargailah dan pandanglah pada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *