MasterChef Malaysia Musim Kedua Bermula

MasterChef Malaysia ternyata telah mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Bertitik tolak daripada kejayaan dan sambutan musim lalu, Astro membawakan kembali MasterChef Malaysia untuk musim kedua.

Sesi ujibakat telahpun bersiaran di Astro Ria (Saluran 104) sejak 8 September lalu. Seramai 24 orang peserta yang akan meneruskan perjuangan MasterChef musim ini rata-rata mempunyai kualiti yang baik dan berpotensi untuk pergi jauh. Mereka hadir daripada pelbagai latarbelakang seperti doktor, arkitek, penasihat kecantikan dan peninju tomoi. Sewaktu di Boot Camp, kesemua peserta terpaksa mengharungi beberapa siri rintangan dan penyingkiran sebelum berjaya meneruskan perjalanan mereka dalam MasterChef Malaysia musim kedua ini. Pada penghujung rancangan ini, hanya seorang akan dinobatkan sebagai juara.

Sementara itu, gabungan tiga juri daripada MasterChef Selebriti yang lalu dikekalkan untuk MasterChef Malaysia musim kedua. Mereka adalah Chef Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Papa Joe, Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran. Tiga orang chef yang berpengalaman dalam penyedian makanan di peringkat tempatan dan antarabangsa ini bakal menilai masakan para peserta sepanjang musim ini.

Bertemakan ‘Dapur’ Malaysia ke Persada Dunia, MasterChef Malaysia musim kedua bakal memfokuskan kepada penyediaan masakan tempatan dan memartabatkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Pada masa yang sama, program realiti masakan ini masih memberikan inspirasi dan peluang kepada para peserta mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam dunia masakan.

Sebanyak enam program akan ditayangkan selama seminggu iaitu Peti Saji Misteri & Ujian Cipta Rasa (Sabtu), Ujian Sajian Pantas dan Penyingkiran (Ahad), Cabaran Chef Undangan (Isnin), Cabaran Sajian Luar (Selasa), Ujian Rasa dan Penyingkiran (Rabu) dan Kuliah Master (Khamis).

Jadi jangan lupa saksikan 24 peserta bersaing dalam MasterChef Malaysia musim kedua. Siapakah yang bakal memenangi wang tunai RM100,000?

Check Also

INFINIX MEMBERDAYAKAN XFANS DI SELURUH MALAYSIA UNTUK MENGALAMI PERMAINAN TANPA BATAS

Infinix, sebuah jenama teknologi yang bergaya dan direka khas untuk pengguna muda, dengan berbesar hati …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *