‘MeleTOP’ Gandingkan 2N Sebagai Pengacara

Saluran Astro RIA telah menerbitkan sebuah lagi program berita hiburan tempatan serta antarabangsa terbaru yang padat dengan elemen komedi iaitu “MeleTOP”, menampilkan dua nama besar dalam industri hiburan tanah air, Nabil dan Neelofa.

“MeleTOP” bukan sahaja bakal memaparkan berita terkini hiburan tempatan dan antarabangsa merangkumi gosip, filem, muzik dan internet, malah akan turut memaparkan apa yang rancak diperkatakan di laman sosial seperti Twitter, Facebook, YouTube, Instagram, blog dan sebagainya.

Menurut Pengurus Saluran Astro RIA, Raqim Ahmad berkata, pihaknya ingin memenuhi permintaan pelanggan yang inginkan program dengan pengisian segar dan terkini.

“Kami jelas tentang kecenderungan para penonton masa kini yang bukan hanya mahukan berita dan gosip hiburan tetapi merangkumi gaya hidup terkini, serta menerapkan elemen teknologi yang sesuai dengan perkembangan semasa dan lebih dekat dengan kehidupan mereka.

“Program ini bakal menjanjikan kelainan yang segar berbanding program-program hiburan sedia ada. Contohnya, berita hangat ini akan juga disampaikan menerusi lakonan semula, sekadar untuk menjentik selebriti tentang isu hangat yang sedang diperkatakan.

Bercerita tentang pemilihan Nabil dan Neelofa pula, Raqim memberitahu ia amat tepat dengan konsep dan hala tuju program “MeleTOP” ini.

“Selain populariti dan pengalaman mengacara yang dimiliki mereka berdua pasti akan mewujudkan kolaborasi yang hebat walaupun ini merupakan kali pertama mereka digandingkan bersama. Namun keserasian mereka dapat dilihat dan mampu menonjolkan karakter serta kekuatan masing-masing.

“Kami yakin dengan gaya penyampaian yang santai dan elemen komedi yang diterapkan, “MeleTOP” mampu mendapat tarikan penggemar berita hiburan terus menonton,” jelasnya lagi.

“MeleTOP” bakal memaparkan tiga segmen utama iaitu Gosip MeleTOP yang memaparkan gosip terkini industri hiburan tanah air. Kedua adalah Carta MeleTOP yang dibawakan oleh Era.FM yang menampilkan carta-carta lagu terkini. Terakhir adalah Filem MeleTOP yang menampilkan carta filem terlaris di Malaysia serta sketsa parodi babak daripada filem pilihan.

“MeleTOP” bersiaran pada  setiap hari Selasa, jam 10 malam bermula 30 Oktober 2012 yang lepas di Astro RIA (Saluran 104) dan Astro-On-The-Go.

Check Also

Bekas Anggota Dolla, Syasya Selamat Bernikah

Susulan pengumuman pengunduran Syasya daripada kumpulan DOLLA, Universal Music Malaysia dengan sukacitanya berkongsi khabar gembira …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *