Mentor 6 – Bakal Bersiaran Pada 18 Mac 2012

Program realiti pencarian bakat Mentor yang kini memasuki musim ke-6 telah mendapat sambutan hangat apabila lebih 3000 peserta hadir ketika berlangsungnya sesi uji bakat pada 13 & 15 Januari 2012 di Sabah, 20 & 22 Januari 2012 di Sarawak dan lokasi akhir di Kuala Lumpur pada 4 hingga 19 Februari 2012.

Menerusi paparan sepanjang sesi uji bakat yang telah disiarkan dalam dua episod pertama Mentor pada 4 dan 11 Mac 2012 lalu, pelbagai karenah, ragam dan aksi para peserta dapat disaksikan hanya kerana ingin bergelar protege bagi Ella, Ramlah Ram, Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Faizal Tahir, Ferhad dan Adam.

Berbekalkan kemampuan diri dan potensi yang besar, Wanie, KJ, Caroline, Ana Syuhada, Zatul dan Anas adalah 6 protege yang berjaya mengharungi sesi uji bakat yang telah diadakan dan sehingga mampu memikat hati Mentor pilihan masing-masing.

 

(Dari kiri atas) Anas, Caroline dan Zatul. (Dari kiri bawah) Ana Syuhada, KJ dan Wanie

 

Untuk musim ke-6, Mentor masih mengekalkan format permarkahan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar muzik, wartawan dan golongan semi-profesional dalam industri muzik. Juara Mentor 6 akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 manakala naib juara wang tunai RM30,000.

Mentor menampilkan Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai pengacara program, Jurnal Mentor dan Jurnal Protege. Selain itu, Nas Ahmad bertindak sebagai pengacara bersama sewaktu konsert mingguan untuk mendapatkan kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas. Musim ini turut mempersembahkan Ajai sebagai Penasihat Vokal, Boo Jay (Floor Fever) sebagai Penasihat Persembahan, Faizal Uzir (Lok U) sebagai Pengarah Muzik serta dua orang juri tetap iaitu Dato’ Ramli M.S. dan Dato’ Sharifah Aini.

Ikuti konsert mingguan Mentor yang disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam. Penonton juga boleh menyaksikan sorotan persediaan dan aktiviti protege bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor, setiap hari Ahad selama 30 minit bermula jam 6.00 petang pada 18 dan 25 Mac dan 5.00 petang, mulai 1 April.  Manakala Jurnal Protege, kapsul 2 minit yang akan memaparkan diari protege, setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 6.58 petang bermula 19 Mac.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang Mentor musim ke-6, penonton boleh melayari laman sesawang rasmi Mentor di www.tv3.com.my/mentor6 dan laman sosial Facebook di  www.facebook.com/mentortv3. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#Mentor6) untuk menghangatkan lagi bahang Mentor

 

Check Also

KOPI SAIGON MEMPERKENALKAN DARK SYSTEM SERIES KOLABORASI BERSAMA SOLOZ DAN XK PENJAHAT

Kopi Saigon dengan bangganya mengumumkan pelancaran Dark System Series, hasil kolaborasi eksklusif bersama dua personaliti …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *