A.R. Badul merupakan nama yang sangat sinonim di hati penonton di era 70-an hinggalah 80-an dengan lawak-lawaknya. Beliau yang kini telah berusia 67 tahun masih lagi aktif berlakon.Namun sejak beberapa tahun lepas beliau telah mula berkecimpung menjadi pengarah untuk sebuah kartun animasi Mac & Ted keluaran Makmur Megah Sdn Bhd.
Jika musim pertama dan kedua Mac & Ted ditayangkan di RTM2 namun untuk musim ketiga pihak Makmur Megah Sdn Bhd masih lagi menanti slot tayangan di saluran televisyen. Untuk musim ketiga, pihak Makmur Megah Sdn Bhd menerima geran dari SKMM. Ia mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan musim ketiga yang mengandungi 13 episod.
“Saya yang meyemak cerita, skrip serta mengawasi kerja juru animasi untuk musim pertama, kedua dan seterusnya ketiga. Berdasarkan siaran musim pertama dan kedua sebanyak 26 episod di RTM pada tahun 2013, ia menerima reaksi positif maka dengan itu terhasillah musim ketiga Mac & Ted” ujar A.R. Badul,
Beliau sering berbincang dengan penulis skrip mengenai jalan cerita Mac & Ted, ini kerana beliau tidak mempunyai ‘basic’ mengenai cerita angkasa lepas. Selepas musim pertama dan kedua, A.R. Badul kini sudah mula mengorak langkah untuk mengarah filem animasi Mac & Ted pula.
Mac & Ted mengisahkan persahabatan antara budak lelaki bernama Mac bersama rakan-rakan termasuk Hantoo Solo (makhluk asing) dan robot Ted yang jatuh ke bumi. Ia lebih pada hiburan untuk kanak-kanak dan membawa mesej kekeluargaan manakala dalam musim ketiga kali ini, ia membawa mereka ke angkasa.
Pihak Makmur Megah Sdn Bhd merancang bakal membawa animasi Mac & Ted ini ke layar perak namun masih di dalam perancangan awal.Mereka berharap agar Mac & Ted musim ketiga bakal ditayangkan di saluran televisyen tidak lama lagi. Pihak Makmur Megah Sdn Bhd juga mengalu-alukan mana-mana penaja yang boleh memberikan dana untuk filem animasi Mac & Ted yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.