Assalamualaikum/Anyeong….
Sebelum saya memulakan coretan pertama saya, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada selebriti online kerana sudi melantik saya untuk memeriahkan portal ini. Terima kasih juga buat peminat saya yang telah mencadangkan idea untuk saya mengemas kini diari kehidupan saya di Korea. Nampaknya pihak pengurusan saya merealisasikan permintaan anda dan mendapatkan kerjasama baik dari pihak selebriti online.
Dalam coretan ini, saya akan mengelarkan diri saya sebagai Oppa kerana semenjak berada di Korea, gelaran Oppa lebih mesra dan sering digunakan peminat untuk saya. Sebelum itu, saya nak maklumkan kepada anda, Oppa ertinya abang. Tetapi gelaran ini hanya boleh digunakan oleh perempuan untuk lelaki yang lebih dewasa darinya atau pun lelaki yang berstatus teman lelaki, tunangan atau pun suami. Untuk lelaki pula, panggilan itu akan menjadi kepada Hyung. Erti dan penggunaannya sama cuma perbezaan dari segi jantina saja. Gelaran ini seperti gelaran Abam yang semakin popular dikalangan orang Malaysia.
Setiap minggu, Oppa akan menjalani latihan menari, menyanyi dan bahasa Korea. Ketika ini, Oppa diberikan tugasan untuk menghafal lagu malar segar Korea bertajuk Drink atau dalam bahasa Korea Suria. Jadual Oppa akan berubah seandainya Oppa ada melibatkan diri dengan aktiviti yang lain. Sepanjang minggu lalu, selain sibuk menjalani latihan, Oppa juga melibatkan diri dengan aktiviti amal dengan beramah mesra bersama anak-anak yatim dari Korea. Oppa amat terharu, anak-anak yatim di sini sering menanti kedatangan Oppa. Rasa dekat dengan dengan famili.
Apapun, Oppa nak memohon maaf seandainya posting Oppa dengan sahabat Oppa baru-baru ini menyinggung perasaan anda. Terus-terang, Oppa tiada niat untuk mengecewakan hati anda semua. Alhamdulillah, Oppa masih lagi tidak menyentuh Soju atau mana-mana arak Korea. Walaupun minum Soju adalah budaya di sini, tetapi mereka masih menghormati Oppa yang beragama Islam dan tidak boleh minum Soju atau arak. Mereka menghormati Oppa jadi Oppa perlu membalasnya dengan menghormati mereka juga.
Bercakap tentang sahabat Idol, ramai bertanyakan kepada Oppa siapa Idol terkenal yang Oppa rapat. Alhamdullillah, setelah bergelar pelatih K-POP di sini, Oppa mempunyai ramai senior dan sahabat dari golongan selebriti Korea. Bagaimanapun, tidak semuanya Oppa boleh kongsi. Ini kerana beberapa pihak pengurusan di sini tidak membenarkan kami memberitahu tentang persahabatan kami. Jika anda mengikuti perkembangan Oppa di Instagram (Hyunmin_a) atau twitter (HyunminPlusM), anda mesti tahu Oppa begitu rapat dengan Bobby dari kumpulan IKON. Selain Bobby, Oppa juga beruntung kerana dapat berkenalan dengan lebih dekat dengan penyanyi lagu I’LL SHOW U, Ailee. Menariknya, selepas berkenalan dengan Ailee, Oppa menjadi Juru Bahasa buatnya. Jika Ailee mendapat komen dari peminat yang berbahasa Melayu, Ailee akan bertanyakan Oppa apa maksud sebenarnya.
Baiklah, Oppa undur diri dulu. Nanti Oppa kemaskini lagi diari oppa sepanjang seminggu. Jika anda ada pertanyaan yang ingin diberikan kepada oppa, emelkan soalan tersebut ke hi@selebritionline.com. Oppa akan cuba menjawabnya sebaik mungkin.
Jumpa lagi! Jangan lupa request lagu Oppa bertajuk I’LL Show di radio tempatan.