Padi Reborn Tetap Tunduk ‘Berisi’

Seolah terlahir semula, buat julung julung kalinya sejak penubuhannya sekitar tahun 1997, Padi telah membuktikan bahawa diri mereka masih lagi utuh dan mampu untuk beraksi di pentas, buktinya Padi Reborn Exclusive Live In KL yang telah berlangsung pada 30 Jun lalu masih mampu mengamit lebih 2000 Sobat Padi.

Kumpulan Pitahati terlebih dahulu membuat persembahan, tenyata band yang baru tampil dengan album “Selamat Datang ke Panggung Suara” ini tidak kurang hebatnya. Pitahati yang terdiri daripada Ilham, Yasin, Masrin, Zahar dan Hidayat berjaya menawan seraya membuat peminat khayal dengan untaian genre nusantara rock-avant garde mereka. Pitahati turut mengalunkan beberapa buah lagu antaranya Cahaya Buta, Sahabat dan Bintang Biru Kristal Salju.

Piyu (Gitar) bersama Fadly (Vokal utama)

Tepat jam 9.10 malam kumpulan Padi Reborn tampil menguasai pentas dan menghiburkan dahaga Sobat Padi.  Biarpun ‘vakum’ selama tujuh tahun mereka kembali mengganas dengan mengekalkan anggota  yang sama iaitu Piyu (Gitar), Fadly (Vokal utama), Ari (Gitar), Rindra (Bass) dan Yoyo (Drum) memulakan persembahan dengan lagu Sang Penghibur.

“Kami berasa cukup terharu dan senang sekali kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn. Konsert ini adalah lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah lelah menyokong kami biar pada saat Padi vakum dan kini kembali. Kami berharap Sobat Padi Malaysia akan senang bersama menyanyikan lagu-lagu Padi” ujar Fadly.

Usai membuka bicara, Padi Reborn tampil dengan lagu Lingkaran, Menanti Sebuah Jawaban serta Begitu Indah turut mengundang lontaran vokal yang berkesinambungan di antara hadirin.  Suasana semakin panas namun fadly cukup bijak berinteraksi dengan hadirin.

Ilham Pitahati

Pemain drum meningkat naik, Amira Syahira yang membuat kemunculan istimewa bersama pemain drum Padi Reborn, Yoyo lebih menggamatkan suasana menerusi lagu Bayangkanlah.  Kolaborasi hebat duo ini turut diimarahkan dengan petikan bass oleh Rindra yang menghasilkan lontaran irama We Will Rock You (Queen) yang menerawang ke atmosfera KL Live.

Bahang konsert pada malam itu terus di hangatkan lagi dengan kemunculan Aizat Amdan di pentas dengan nyanyian duet bersama Fadly menerusi lagu Kasih Tak Sampai.  Aizat juga turut berkongsi memori ketika beliau menyaksikan kehebatan padi sewaktu konsert Pesta Malam Indonesia yang telah diadakan di Stadium Merdeka beberapa tahun dahulu.  Sebelum meninggalkan pentas Aizat tampil dengan lagu Sampai Hari Tua juga merupakan single terbarunya.

Padi Reborn kembali menguasai pentas lantas mempersembahkan lagu Hitam dan Sobat  (dedikasi khas buat peminat Padi Reborn) sebelum mereka menutup tirai persembahan pada malam itu.  Antara lagu lain yang turut dipersembahkan adalah Mahadewi, Ternyata Cinta, Semua Tak Sama, Seperti Kekasih, Sahabat Selamanya dan Sesuatu Yang Indah.

Amira Syahira yang membuat kemunculan istimewa bersama pemain drum Padi Reborn, Yoyo

Konsert  ‘Padi Reborn Exclusive Live In KL’ anjuran Qew Communications Sdn Bhd ternyata cukup hebat dengan limpahan penataan cahaya serta video mapping yang seolah memberi nyawa kepada persembahan Padi Reborn di samping sistem bunyi yang cukup memuaskan deria dengar seraya memberi impak kepada adrenalin hadirin.

Kemunculan Aizat Amdan di pentas dengan nyanyian duet bersama Fadly menerusi lagu Kasih Tak Sampai

Untuk makluman, Padi telah menghasilkan sebanyak 5 studio album iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007). Kumpulan ini juga mempunyai album kompilasi yang berjudul The Singles yang dipasarkan pada tahun 2011.

 

Teks oleh Nazghoul

Foto oleh Cipot Redz

*Semua foto diambil dengan Sony #a7SII dengan lensa FE 24-70mm GM . Terima kasih kepada #SonyMalaysia

Galeri Foto

Check Also

Jackie Chan Terus Beraksi Di Usia 70 Tahun Dalam Filem Terbarunya “Panda Plan”

Bintang aksi terkenal Hong Kong, Jackie Chan, membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus beraksi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *