Thursday , February 9 2023

PENCURI HATI MR CINDERELLA kini di Astro First.

Walaupun berdepan dengan kritikan segelintir netizen, filem PENCURI HATI MR CINDERELLA (PHMC) lakonan Ahmad Idham, Atikah Suhaime, Datuk Eizlan Yusof, Cat Farish, Hairul Azreen dan ramai lagi mula bersiaran di saluran Astro First, sejak semalam.
Ahmad Idham berkata, tayangan filem PHMC di saluran itu kerana adanya permintaan daripada peminat filem itu dan saluran berkenaan. Tambahan pula, maklum balas sangat positif yang diterima daripada penonton dan media tempatan yang menontonnya sebelum ini, menjadikan tarikh penayangan PHMC di saluran Astro First dipercepatkan daripada tarikh sebenar.
“Saya mendapat maklum balas bahawa ada permintaan daripada ramai peminat yang mahukan PHMC ditayangkan di Astro First kerana tidak berkesempatan menontonnya di pawagam baru lalu.
“Rata-rata yang belum menonton mendakwa kurangnya lokasi dan waktu tayangan di pawagam tempatan membuatkan mereka terlepas untuk menontonnya sebelum ini,” kata Ahmad Idham lagi.
Pada tayangan PHMC bermula 10 Ogos lalu, filem itu hanya ditayangkan di 33 buah panggung di seluruh negara, lantas beberapa lokasi utama yang dipercayai mampu menarik perhatian penonton tempatan tidak dapat liputan meluas.
Pengarah dan penerbit Aifa Motion Sdn Bhd itu berharap dengan adanya peluang tayangan di kaca TV, netizen yang belum pernah menonton dapat menonton dan menilai sendiri jalan cerita filem itu.
Ahmad Idham juga terbuka untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan sesiapa sahaja termasuk pengkritik di laman sosial untuk berdiskusi secara sihat.
“Saya juga mahu mendapatkan maklum balas daripada mereka. Kalau ada perkara boleh diperbetulkan dan dipelajari dari mereka, saya sedia menerimanya,” kata Ahmad Idham.
PENCURI HATI MR CINDERELLA mengisahkan Salman yang pulang ke Malaysia dari Perth Australia selepas tiga tahun menghilangkan diri selepas penceraiannya dengan Nurul.
Dia juga kembali ke Kuala Lumpur selama seminggu bagi membantu rakan kongsi lamanya Johari mendapatkan satu projek besar di Perth, Australia.
Dalam tempoh itu, Salman bertemu dengan Ameera, seorang GRO yang bekerja di sebuah pusat karaoke dan berjaya mencuri hatinya. Ameera, seorang gadis lincah yang cukup menarik tapi terlalu ambil mudah perihal kehidupannya. Segalanya adalah duit mudah dan hiburan sehingga kan dia sering di tegur rakan serumahnya Atika supaya berubah.
Walaupun mengetahui Ameera ialah seorang GRO, Salman cuba mendekatinya dengan menjadikan Ameera teman berbual yang dibayar.
Tiga hari mereka bersama, Ameera mula jatuh cinta pada Salman. Walaupun umur Salman jauh berbeza dari Ameera tapi hakikatnya, Salman telah berjaya membuka mata Ameera pada dunia kejayaan yang sebenar.
Ameera membuat keputusan untuk berhenti kerja. Satu keputusan yang amat mengembirakan Atika, rakan serumahnya. Malangnya pada malam Ameera hendak menamatkan kerjayanya sebagai GRO, dia diperkosa oleh Izz Faizal anak Johari , sahabat baik Salman.
Dilema muncul untuk Ameera pilih siapakan yang akan menjadi lelaki di dalam hidup barunya. Semua akan terjawab di pengakhiran Filem PENCURI HATI MR CINDERELLA.

Check Also

“Kehilangan”: Sudah Tiba Masanya Kesedaran Kesihatan Mental Menerusi Muzik Diketengahkan

Jerry Zakaria atau nama sebenar Mohd Zamhari bin Zakaria hari ini, melancarkan single terbaharunya yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *