Thursday , February 2 2023

Permasalahan Penduduk B40 Di PPR Ayer Panas Didengar Dan Diperhalusi

Permasalahan dihadapi oleh para penghuni projek perumahan rakyat (PPR) Ayer Panas, Setiawangsa sejak kebelakangan ini telah mendapat perhatian sewajarnya.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Bangsa Malaysia, Ahmad Khairul Mohd Noor menyatakan, beliau berbesar hati mendengar luahan hati penduduk dalam satu sesi dialog yang diadakan baru-baru ini.

“Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan untuk mendekati masyarakat setempat,selain mendalami isi hati mereka menerusi diskusi yang dianjurkan.

“Hasil perbincangan, saya mendapati perkara paling serius yang perlu diberi perhatian adalah isu kebajikan penduduk yang majoritinya merupakan golongan B40.

“Kebanyakan mereka hanya meraih pendapatan sederhana dan merupakan peniaga-peniaga kecil di kawasan sekitar.

“Sebaik mengetahui kesukaran hidup yang terpaksa ditempuhi, saya terus bersetuju untuk menyumbangkan beberapa buah khemah kepada mereka.

“Ini bertujuan menyuntik semangat agar mereka kembali bangkit, di samping dapat menjana semula pendapatan dengan cara berniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sama-sama menghadiri program Semarakkan Setiawangsa anjuran Pertubuhan Kebajikan Pesara Dan Warga Emas Islam Setiawangsa (Wamas).

Kehadiran Ahmad Khairul dalam acara berkenaan adalah bagi memenuhi undangan daripada pengerusi organisasi bukan kerajaan (NGO) terbabit iaitu Basharudin Ahmad Ariffin.

Pada masa sama, beliau juga menawarkan peluang pendidikan percuma melalui kelas tuisyen biayaan penuh pihaknya yang dijangka bermula pada Mac depan.

“Dari aspek pembangunan sukan pula, ada berita baik buat anak-anak muda yang tinggal di kawasan Setiawangsa ini.

“Perlaksanaan program Satu Belia Satu Sukan tidak lama lagi diharap menjadi pemangkin kepada generasi muda-mudi mengaktifkan diri mereka dalam aktiviti sukan yang diminati,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, program tersebut akan dikelolakan oleh Ketua Pemuda PBM Setiawangsa,Khairul Khairi Ismail.Janjinya, tiga elemen utama iaitu kebajikan ekonomi, pendidikan dan sukan akan sentiasa menjadi titik fokusnya dalam menjamin persekitaran hidup yang selesa buat masyarakat sekeliling.

Terdahulu, ketika berlangsungnya program Semarakkan Setiawangsa, beliau menyantuni para penduduk dengan menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai (angpow), hamper dan barangan lain kepada ketua-ketua blok PPR serta komuniti Cina dan India.

 

Check Also

HERO GUSTI PRO MEMAKAI TENGKOLOK MALAYSIA BAWA BEKAS SUPERSTAR WWE DI MALAYSIA!

Meriahkan perayaan anda dengan ‘body-slams’ dan ‘back-breaker’ pada Disember ini apabila gusti APAC menandakan kebangkitan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *