Saturday , February 24 2024

Pertandingan Seni Lukis Warisan Tanjong Semakin Diiktiraf

Photo 6

Pertandingan Seni Lukis Warisan Tanjong sekali lagi menjadi tumpuan umum dengan menyerlahkan bakat pelukis muda Malaysia yang sedang meningkat naik.

Edisi ke-13 pertandingan tahunan ini, yang dianjurkan oleh Tanjong plc merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat mereka, merekodkan peningkatan ketara dalam bilangan peserta, terutamanya kerana semakin banyak institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia menunjukkan minat untuk mengambil bahagian. Pertandingan Seni Lukis Warisan Tanjong 2013 menarik penyertaan daripada 22 institusi dengan penglibatan lima institusi baru kali ini, iaitu Kolej In-House Multimedia, Universiti Taylor’s, Universiti Metropolitan KL, Kolej Universiti Linton, Negeri Sembilan dan Kolej Universiti Selatan, Johor.

Photo 4

Sejumlah 1,271 penyertaan diterima tahun ini, berbanding 1,085 penyertaan setahun yang lalu. Daripada jumlah tersebut, 490 hasil karya telah disenaraikan untuk menyertai pertandingan berbanding 423 pada 2012.

YBhg Dato’ Robert Cheim, Pengerusi Tanjong plc, berkata, “Memang menjadi matlamat kami untuk menyediakan wadah untuk membolehkan bakat muda mempamerkan karya seni mereka sambil menyumbang kepada kekayaan dan kesinambungan tradisi kebudayaan Malaysia. Kami gembira dapat berbuat demikian menerusi pertandingan seni lukis tahunan kami serta memainkan peranan dalam membantu pelukis muda meluaskan sempadan seni mereka sambil menyumbang kepada kekayaan warisan negara.”

Photo 2

“Pertandingan Seni Lukis Warisan Tanjong telah berkembang pesat sejak diperkenalkan. Kami gembira melihat kualiti peserta yang turut mencerminkan perkembangannya. Ini satu petanda baik bagi tahap pendidikan seni di Malaysia. Saya berharap mutu ini dapat dikekalkan, atau ditingkatkan pada masa depan.”

Akademi Seni Dasein ternyata mencuri tumpuan di Pertandingan Seni Lukis Warisan Tanjong 2013. Para pelajar daripada Akademi tersebut mendahului senarai pemenang dalam kelima-lima kategori, dengan menyapu bersih kategori Seni Cetak. Salah seorang pemenang berbilang hadiah ialah Lim Zieshan, yang memenangi hadiah utama dalam kategori Lukisan Warna Air dan hadiah sagu hati dalam kategori Minyak/Akrilik. Yong Kang Yun juga meraih kemenangan berganda apabila memenangi kedua-dua hadiah sagu hati dalam kategori Lukisan Warna Air.

Photo 1

Sementara itu, Kolej Universiti Selatan, Johor,  yang mengambil bahagian buat kali pertama, telah berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Lukisan Warna Air menerusi See Ca Dai, yang mengemukakan karya Warna Air bertajuk “Parade Worshipping Gods” (Perarakan Pemujaan).

Panel hakim tersohor bagi Pertandingan Seni Warisan Tanjong 2013 Peringkat Kebangsaan ini terdiri daripada Profesor Madya Jalaini Abu Hassan sebagai Ketua Hakim, Profesor Madya Fauzan bin Omar, Cik Elizabeth Cardosa, Dr Kim Phaik Lah, Puan Wairah Marzuki dan Encik Laurence Loh. Mereka adalah tokoh yang disegani ramai dalam bidang seni dan juga warisan.

Photo 7

Tanjong plc dan anak syarikatnya memainkan peranan aktif menyokong pelbagai tujuan murni dalam bidang seni dan pembangunan sukan secara tahunan.  Dengan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti, Tanjong berharap untuk terus memainkan peranannya sebagai entiti korporat bertanggungjawab di kalangan masyarakat.

Check Also

IMMERSIVE POM 2023 EMPOWERS CULTURE AND HERITAGE THROUGH FASHION WHILE RAISING LOCAL DESIGNERS’ PROFILES!

The much-awaited second edition of Precious of Malaysia which FM Group organised concluded its week-long …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *