Pertubuhan Peduli Insan Malaysia Gerakkan Misi Bantuan Musim Sejuk 3 Negara

Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar telah berlepas menuju ke Lubnan pada pagi ini bagi menggerakkan Misi Bantuan Musim Sejuk 3 Negara yang memfokuskan kepada rakyat Syria yang menjadi pelarian di negara itu. Pasukan Peduli Insan akan menyantuni serta mengedarkan bantuan kepada lebih 10,000 pelarian Syria berbentuk bantuan keperluan ketika musim sejuk yang ketika ini sedang di dalam saat kritikal. Susulan gempa bumi yang terjadi di Turkiye dan telah menyebabkan banyak kemusnahan terutama di wilayah Gaziantep, Ankara serta negara Syria, Peduli Insan akan turut melaksanakan Misi Bantuan Kecemasan Gempa Syria Turkiye.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan, beliau memaklumkan perancangan ini sudah dilakukan lebih dari sebulan yang lalu. “Pasukan Peduli Insan akan pergi ke Lubnan dahulu untuk memberikan bantuan musim sejuk di mana alatan seperti alat pemanas, bahan bakar, set pakaian musim sejuk, kotak makanan serta makanan panas siap hidang akan diagihkan mengikut keadaan mereka dan keperluan mendesak ketika ini.”

Manakala bagi Misi Bantuan Kecemasan Gempa Syria Turkiye, ianya dilancarkan sejurus selepas mendengar khabar duka yang melanda Turkiye dan Syria yang mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan hampir 30,000 bangunan. Menurut beliau juga, fokus utama bantuan kecemasan gempa ini diberikan kepada rakyat Syria sendiri serta pelarian Syria yang berada di Turkiye selepas melihat bantuan dunia lebih tertumpu kepada Turkiye. Bagi tujuan penyelarasan dan koordinasi bantuan yang diperlukan, Peduli Insan akan melihat rencana keperluan daripada Kementerian Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD).

“Kami juga akan bergerak ke Turkiye dan Syria di dalam usaha menyampaikan bantuan daripada para penyumbang untuk mangsa gempa yang kini angka kematian sudah mencecah 36,000 mangsa. Peduli Insan telah mengeluarkan dana kecemasan awal berjumlah RM250,000 untuk kegunaan segera dalam memberi bantuan kepada mangsa gempa di Syria dan Turkiye bermula hari pertama berlakunya bencana ini. Setakat ini kami menerusi pasukan di pejabat Peduli Insan di Syria dan Turkiye telah mengedarkan bantuan dari segi sokongan peralatan mencari dan menyelamat, makanan panas siap hidang, selain daripada agihan bantuan musim sejuk berbentuk set pakaian musim sejuk, selimut tebal serta sokongan perubatan dan pemulihan trauma kepada kanak-kanak dan kini keseluruhan dana yang telah berjaya dimanfaatkan adalah melebihi RM600,000.

Peduli Insan turut memaklumkan hasil dana kecemasan itu telah berjaya disalurkan melalui lebih 10,000 makanan panas yang diusahakan sendiri melalui dapur Peduli Insan di Azaz, Syria. Selain daripada itu, 14,000 liter diesel bagi kegunaan alatan pemanas telah diberikan kepada masjid-masjid yang menempatkan mangsa gempa bumi, 11,950 set pakaian musim sejuk telah diagihkan, 2,000 selimut tebal telah diberikan dan pasukan Peduli Insan sedang berusaha mendapatkan lebih banyak bantuan.

“Kami juga sedar tentang trauma yang dihadapi oleh kanak-kanak terutamanya apabila berlaku bencana seperti ini, dan pasukan kami telah memberikan sokongan pemulihan trauma kepada 865 kanak-kanak melalui permainan, gula-gula serta coklat dan juga program penceritaan buku kanak-kanak bagi memastikan mereka dapat berada di dalam keadaan tenang.”

Pengarah Jabatan Projek Peduli Insan, Azfar Abdullah turut memaklumkan pasukan Peduli Insan juga memberi fokus bantuan terhadap kanak-kanak yang terkesan akibat bencana itu dan telah mengenalpasti serta memberi bantuan berbentuk lampin bayi, susu formula untuk bayi kepada lebih 200 keluarga yang mempunyai bayi serta anak kecil.

Justeru itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bagi bantuan kecemasan gempa bumi Syria Turkiye boleh membuat sumbangan menerusi akaun rasmi Bank Islam Pertubuhan Peduli Insan Malaysia bernombor akaun 07043011062082 atau menerusi www.peduliinsan.org.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai Kempen Bantuan Kecemasan Syria Turkiye boleh hubungi talian Peduli Insan melalui nombor 0133968840.

Check Also

Kempen Mari Beli Lokal – Ramadan Raya 2024 Kembali Lagi

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan RM2.5 juta hasil jualan usahawan tempatan melalui Kempen …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *