‘RAJA LAWAK’ Kini Di AWESOME TV

Dalam usaha meneruskan komitmen membekalkan kandungan hiburan berkualiti tinggi sekaligus mengukuhkan kedudukan selaku pemain utama industri kreatif di Malaysia, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV dengan berbesar hati membawakan edisi terbaharu perintis program realiti komedi popular ‘Raja Lawak’ yang kini bakal dikenali dengan jenama ‘Awesome Raja Lawak’.

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007, platform ‘Raja Lawak’ terbukti berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri seni tanahair dan sudah melahirkan ramai pelawak versatil seperti Nabil Ahmad, Jihan Muse, Johan, Zizan Razak, Sepahtu, Shiro, Zero serta ramai lagi.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran pertandingan ‘Awesome Raja Lawak’, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli selaku Pengarah Unit Kandungan Awesome TV berkata, “Menyingkap kembali sejarah penerbitan program realiti komedi ‘Raja Lawak’ edisi pertama lebih 15 tahun yang lalu, jenama dan legasinya terbukti telah membawa impak dan sumbangan yang besar kepada industri hiburan kerana berjaya melahirkan ramai nama-nama berpengaruh menerusi pertandingan tersebut.

Selepas bertahan selama 7 musim dan melabuhkan tirai terakhir pada tahun 2013, kini pertandingan popular ini dibawakan semula dengan evolusi baharu. Melihat kepada lanskap pasaran kandungan kreatif, kami yakin dengan potensi hiburan komedi yang dilihat masih kekal relevan serta boleh diangkat ke satu aras yang lebih tinggi dan bervariasi.

Selain itu, fokus kami dalam menerbitkan program-program seumpama ini adalah untuk melahirkan pelawak berkualiti bagi mengisi ruang yang ada sekaligus boleh digilap untuk menjadi pelapis kepada pelawak-pelawak komersial tempatan sedia ada. Semoga pencarian edisi 2022 pada kali ini mampu meneruskan legasi penganjuran tahun-tahun terdahulu.”

Bagi mengenal pasti bakat baharu pelapis bidang komedi, pihak produksi ‘Awesome Raja Lawak’ akan menjelajah ke empat buah negeri di seluruh Malaysia untuk mengadakan sesi uji bakat terbuka. Seramai enam pelawak terkenal tanah air yang terdiri daripada Jalil Hamid, Azlee Senario, Ajak Shiro, Atu Zero, Ali Puteh dan Mamak Puteh turut dilantik sebagai juri uji bakat dan akan bergilir-gilir untuk turun padang bagi mengadili sesi tersebut. Selain itu, pelawak Chiwan dan Nizam Jentik-Jentik yang juga turut hadir untuk memeriahkan suasana sebagai hos uji bakat.

Barisan juri uji bakat akan menilai calon peserta berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti tahap kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat dan kemahiran lakonan dan sama ada peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak terkenal.

Lokasi-lokasi yang bakal dikunjungi adalah seperti berikut:

Tarikh Lokasi Negeri

4 & 5 Jun 2022 Berjaya Megamall Kuantan, Pahang

11 & 12 Jun 2022 Prangin Mall George Town, Pulau Pinang

18 & 19 Jun 2022 Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Johor Bahru, JDT

25 & 26 Jun 2022 Lembah Klang (akan dimaklumkan kelak) Kuala Lumpur/Selangor

Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan Singapura yang berumur 18 tahun ke atas dan mestilah mempunyai bakat dan minat di dalam bidang komedi. Calon peserta bebas memilih untuk menyertai pertandingan ini secara solo, duo atau trio. Setiap yang hadir juga perlu membuat persembahan pentas secara spontan untuk menarik perhatian juri dalam tempoh maksima tiga minit.

Kaunter pendaftaran bagi sesi uji bakat di setiap lokasi akan dibuka dari jam 8.00 pagi dan calon peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan. Mereka yang berminat perlu membawa salinan kad pengenalan atau pasport untuk warga Singapura serta gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) atau ukuran pasport.

‘Awesome Raja Lawak’ bakal bersiaran di secara eksklusif di Awesome TV menerusi platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) bermula Julai kelak. Butir-butir lanjut mengenai program ini akan diumum pada sidang media akan datang.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *