RAUDHAH Aidiladha Disambut Meriah Di Kelantan

YTM Tengku Mahkota Kelantan

Bersempena dengan Aidiladha yang lalu, TV3 dan TV9 serta gabungan istimewa bersama Media Prima Digital dibawah naungan Media Prima Berhad kembali dengan Raudhah edisi khas iaitu Raudhah Aidiladha. Acara simbolik TV9 penuh gemilang ini dijayakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) pada pada 25 dan 26 Oktober 2013 bertempat di Lembah Sireh, Kota Bahru.

Raudhah Aidiladha menjadi saksi kepada majlis pelancaran Buku Resepi Tradisional ‘Warisan Cik Siti Wan Kembang’ yang telah dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. Turut hadir pada majlis pelancaran buku resepi berkenaan ialah Pengarah Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar serta pengurusan kanan Media Prima Berhad.

Lebih istimewa lagi, Media Prima Digital turut melancarkan sebuah lagi saluran baharu Tonton Raudhah menerusi laman web www.tonton.com.my/raudhah. Majlis pelancaran saluran tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Zainul Ariffin Md Isa, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Digital. Saluran Tonton Raudhah menghimpunkan pelbagai program kerohanian terbaik daripada steses televisyen TV3, TV9 dan program ’online’ terbitan Tonton sendiri. Antara rancangan menarik yang ditawarkan melalui saluran ini termasuklah program bual bicara ’Tanyalah Ustaz’, ’Semanis Kurma’ dan juga siri terbaik ’Safiyya’ dan ’Hijab Stailista’. Malah, Tonton Raudhah turut membawakan seleksi drama religi terbaik antaranya ’Tahajjud Cina’, ’Nur Kasih’ dan banyak lagi. Saluran yang berbentuk hiburan ilmiah santai ini turut boleh ditonton secara global dengan pelbagai seleksi program secara PERCUMA sehingga penghujung tahun.

Ustaz Datuk Abu Hassan Din AlHafiz

Antara selebriti yang menjayakan karnival Raudhah Aidiladha ini ialah selebriti tanahair serta tokoh agama seperti Ustaz Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Ustazah Datuk Siti NorBahyah, Ustaz Wan Akashah, Ustaz Sharhan Safei, Ustazah Noor Laila Aniza, Ustazah Asmak Husin, Ustaz Harryanti Rizal Bin Rokman, Ustaz Mustafa Kamal, kumpulan nasyid Al-Mawlid, Adibah (Daei), Sharifah Khasif, Shabana (pengacara SIS), dan ramai lagi.

Raudhah Aidiladha mempersembahkan pelbagai aktiviti menarik menerusi booth-booth seperti booth Lin Nisa’, Bananana! Land, booth Tharwah dan juga Flea Market. Malah terdapat juga gerai-gerai jualan daripada kumpulan Asnaf yang menjual pelbagai jenis makanan, minuman dan pakaian untuk pengunjung-pengunjung.  Di samping itu, para pengunjung juga berpeluang untuk berjumpa dengan selebriti tanahair yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur serta melihat secara dekat bagaimana program siaran langsung dan rakaman dijalankan.

Sebelum Raudhah Aidiladha, pihak Media Prima Berhad turut bekerjasama dengan MAIK dalam Hari Raya Qurban MAIK (16 Oktober) dan juga program Mesra Maik (18 Oktober). Dalam majlis Qurban yang dianjurkan itu, sebanyak 60 ekor lembu telah dikorbankan dan diagihkan kepada 1,500 keluarga miskin di Kelantan. Turut mencemar duli pada majlis berkenaan ialah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang turut menyumbangkan dan menyembelih dua ekor lembu.

YTM Tengku Mahktoa Kelantan bersama adik cilik di booth Bananana

Manakala, program Mesra MAIK yang bertempat di Hutan Kipur Bukit Bakar, Machang merupakan satu program cetusan idea daripada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan sendiri dimana Baginda ingin menyelami permasalah golongan kurang berkemampuan serta memberi motivasi dan bantuan kepada mereka. Program ini membuktikan keprihatinan MAIK terhadap golongan yang tidak bernasib baik. Program ini melibatkan 27 keluarga dan antara tiga program yang dianjurkan ialah Program Keibubapaan, Program Bersama Remaja dan Program Bersama Kanak-Kanak. Turut hadir memeriahkan majlis adalah Penasihat Khas kepada YTM Tengku Mahkota Kelantan, YABhg. Dato’ Nik Kamaruddin bin Ismail dan selebriti-selebriti TV3 & TV9.

Apa yang pasti, Raudhah Aidiladha telah mengeratkan silaturahim diantara semua lapisan masyarakat tidak mengira usia, agama dan bangsa. Pastinya kerjasama ini bakal diteruskan untuk masa depan. Dengan penglibatan dan sokongan daripada semua pihak terutamanya Majlis Agama Islam Kelantan terhadap penganjuran sebegini, Raudhah Aidiladha dapat menjadi platform penyatuan aktiviti Islamik di Malaysia dan tidak mustahil program ini boleh dijadikan program tahunan di Kelantan.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *