Seramai 250,000 pengunjung Gamatkan Planet Gempak Di Stadium Batu Kawan

Planet Gempak Astro memulakan jelajah tahun ini dengan lokasi pertamanya iaitu Stadium Batu Kawan, Seberang Perai pada 29 dan 30 Jun lalu, sekaligus memberikan peluang kepada warga Pulau Pinang merasa pengalaman dan keriaan menjadi sebahagian daripada dunia Astro dalam sebuah karnival besar-besaran.

Julung-julung kali dianjurkan, Planet Gempak berjaya menarik seramai 250,000 pengunjung dengan membawakan kandungan serta program yang selalunya hanya ditonton di kaca televisyen, kini dibawa terus kepada peminat-peminat melalui aktiviti dan gerai pameran menarik.

Penganjuran Planet Gempak merupakan antara usaha Astro untuk lebih mengenali para pelanggan, dan ia platform terbaik bagi Astro sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia. Pelbagai program interaktif disediakan, membolehkan pengunjung dan ahli keluarga merasa seolah-olah berada di set program terbitan Astro, beramah mesra bersama artis pujaan mereka dan berhibur sambil merapatkan lagi ikatan kekeluargaan.

Stadium Batu Kawan, Seberang Perai menjadi tapak pembuka tirai bagi karnival Planet Gempak yang menyaksikan kehadiran saluran dan program yang bersiaran di Astro, sama ada saluran dan program di bawah payung penjenamaan Astro mahupun rakan-rakan saluran dan program antarabangsa lain.

Para pengunjung Planet Gempak turut beramah mesra dan berinteraksi dengan lebih dekat bersama barisan selebriti daripada program-program utama Astro seperti Fear Factor Selebriti Malaysia, Masterchef Malaysia, Kilauan Emas, Raja Lawak dan Akademi Fantasia di samping karakter-karakter dari filem dan animasi terkenal yang juga membuat penampilan khas.

Antara selebriti yang membuat penampilan di Planet Gempak kali ini ialah Datuk AC Mizal, Aaron Aziz, kumpulan Say Who, Neelofa dan Hanis Zalikha. Juara MasterChef Selebriti Malaysia Kedua yang baru sahaja ditabalkan iaitu Syura juga hadir bersama-sama Rozita Che Wan, Sabhi Saddi dan Celina Khor.

Pengunjung menyerbu Stadium Batu Kawan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti, permainan dan hiburan yang bermula seawal jam 10.00 pagi. Sama ada program hiburan, sukan mahupun rancangan pendidikan – semuanya ‘dihidupkan’ dalam beberapa Zon khas – iaitu Zon Hiburan, Zon Universal, Zon Sukan & Ekstrem, Zon Cilik dan Zon Informatif.

Pada 9.00 malam, Planet Gempak dimeriahkan dengan acara Konsert pula. Konsert pada Sabtu 29 Jun dibarisi artis Kilauan Emas 3 iaitu juaranya Mior serta rakan-rakan seperjuangan iaitu Mak Ros, Alina, Silah dan Idris di samping Datuk AC Mizal, Ana Rafali, Norshila Amin, dan Mus May. Manakala Konsert pada Ahad 30 Jun menawarkan persembahan Akademi Fantasia vs Raja Lawak dengan artis-artis seperti Hafiz, Akim, Adira, Stacy, Nana Mahazan, Shuk Balas, kumpulan Bora, Wala dan Sakan di samping Alan Typewriter dan Baby Shima.

Selepas Seberang Perai, Planet Gempak akan selepas ini berkunjung pula ke Kuantan, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Check Also

KOPI SAIGON MEMPERKENALKAN DARK SYSTEM SERIES KOLABORASI BERSAMA SOLOZ DAN XK PENJAHAT

Kopi Saigon dengan bangganya mengumumkan pelancaran Dark System Series, hasil kolaborasi eksklusif bersama dua personaliti …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *