Studio Kembara Angkat Kebangkitan Pahlawan ‘Mat Kilau’ Menerusi Filem

Usai tayangan perdana filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan yang diadakan pada Khamis lalu, 16 Jun 2022 di GSC Starling Mall, Tuan Haji Abdul Rahman Mt Dali selaku Pengarah Urusan dan Penerbit Studio Kembara merakamkan jutaan terima kasih dan rasa bersyukur di atas sambutan yang diberikan kepada filem terbitan Studio Kembara ini.

Menurutnya, “Pihak Studio Kembara berasa sangat bersyukur serta terharu di atas respon-respon positif dan sangat mengalakkan yang diterima dari pelbagai pihak termasuk media dan para tetamu jemputan yang hadir pada tayangan perdana baru-baru ini.”

Menurutnya, setelah sekian lama berusaha gigih untuk menghasilkan filem yang membangunkan kecintaan tanahair ini, ia telah disambut dengan begitu baik. Malah kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad ke acara tersebut turut menunjukkan bahawa hasil kerja anak tempatan mendapat perhatian dari pelbagai pihak.

Penulis buku Nisah Haron pula berkata antara mesej yang jelas ingin disampaikan dalam filem Mat Kilau adalah mengenai kepimpinan berkualiti dan bertindak bukan dengan terburu-buru dalam melawan pihak musuh.

“Saya ingin merakamkan rasa dan penghargaan terima kasih khas kepada pihak Finas kerana menyokong dan membantu menjayakan projek filem ini dari awal lagi sehingga akhir. Kehadiran Pengerusi Finas, YB Senator Datuk Seri Hajah Zurainah bt. Musa dan Ketua Eksekutif Finas, YBRS Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim terus membuktikan komitmen pihak Finas untuk membantu memajukan industry perfileman negara.

“Filem yang baik boleh menjadi medium membangunkan malah mampu mengharumkan nama negara. Studio Kembara bersedia bersama membantu mengangkat agenda nasional di masa akan datang dengan penghasilan produk-produk yang menambil nilai rakyat Malaysia,” katanya dalam rasa terharu.

Filem berjudul Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan yang akan ditayangkan mulai 23 Jun ini diharap dan dijangka akan mendapat sambutan hangat serta menjadi penerobos psikologi yang mencetus keyakinan baru kepada pemain industri hiburan tempatan dan seterusnya melangkah lebih maju ke depan.

Studio Kembara memilih untuk menghasilkan filem inspirasi dari kisah benar ini untuk menonjolkan ketokohan watak yang dicatatkan oleh sejarah. Terdapat banyak catatan sejarah kebijaksanaan dan keberanian beliau. Terdapat juga catatan-catatan pihak British yang ditemui mengakui pengaruh besar beliau kepada masyarakat zaman itu dalam membangkitkan semangat mempertahankan maruah bangsa melayu dan kedaulatan bumi Pahang. Ramai yang tidak mengetahui ada rekod pihak British yang merakamkan gerakan besar yang dipimpin Mat Kilau telah menyebabkan kemusnahan dan kerugian besar kepada British.

Mat Kilau menampil contoh sifat kelelakian yang sentiasa diperlukan pada setiap zaman. Seorang pemimpin yang kuat berpegang kepada agama, budaya Melayu, matang, berakhlak baik, cinta tanahair, berani dan sedia berkorban untuk mempertahankan watannya dari sebarang bentuk pencerobohan. Beliau juga diiktiraf sebagai tokoh negara.

Kesimpulannya, walaupun ada beberapa perkara yang boleh ditingkatkan lagi dalam filem Mat Kilau ini akan tetapi saya mengakui bahawa filem ini adalah filem yang wajib ditonton oleh kebanyakan rakyat Malaysia dan tontonan harus dilakukan di pawagam.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *