Tag Archives: Aisha Retno

Aisha Retno dan Aziz Harun Kembali dengan Lagu Istimewa ‘Ketipak Ketipung Raya’

Selepas kejayaan lagu duet mereka ‘Jarak’ tahun lalu, Aisha Retno dan bintang kelahiran Brunei, Aziz Harun kembali bersama lagi tahun ini dengan sebuah bingkisan istimewa berjudul ‘Ketipak Ketipung Raya’ sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal muncul tak lama lagi.

Lagu yang dicipta dan ditulis oleh Aziz Harun, Aisha Retno bersama dengan bantuan Romeo serta Glowrush selaku penerbit ini sebenarnya merupakan sebuah projek spontan yang tidak dijangka.

“Ia sebuah lagu yang lahir secara spontan pada tahun lalu. Pada saat itu saya teringin mempunyai sebuah lagu raya saya sendiri kerana tidak mahu ketinggalan. Dan saya ingin menjadikannya kandungan di platform media sosial TikTok. Kebetulan pada waktu itu saya sedang bekerjasama dengan Aisha Retno untuk lagu Jarak, jadi saya bertanya pada Aisha jika dia sudi bantu menulis lagu ini bersama. Aisha bersetuju dan kami pun menyiapkan apa yang sempat dan memperkenalkannya di media sosial.

Kami tak menyangka lagu itu mendapat sambutan yang baik dari para pengikut kami di media sosial, khasnya di laman TikTok. Lantas kami mengambil keputusan untuk merakamkan dan menyiapkannya dengan betul supaya dapat dilancarkan tahun ini sebelum Aidilfitri,” jelas Aziz Harun.

Saat ditanya apakah maksud di sebalik lagu ini, kedua-dua artis ini memberitahu bahawa pesanan yang disampaikan sebenarnya sangat mudah, iaitu tentang persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Ia memaparkan tema-tema umum yang sering ditampilkan dalam banyak lagu raya yang lain. Ia menggambarkan kekecohan persiapan di pagi raya sambil bertanyakan hal-hal biasa seperti sudahkah baju raya dibeli, sama ada juadah hari raya sudah siap dan sebagainya. Ia juga mencerminkan keseronokan suasana berhari raya tanpa mengira status dan generasi. Dari situ jugalah saya memasukkan unsur tradisional lagu ini, iaitu rentak Joget untuk menjadikannya lebih rancak dan menarik,” ujar Aisha Retno pula.

Malah, kedua mereka bersetuju menyatakan bahawa proses rakaman lagu ini tidak banyak halangan dan berjalan dengan sangat lancar.

“Proses rakaman sebenarnya sangat cepat. Pihak pengurusan saya menguruskan pertemuan dengan Aisha serta Glowrush penerbit kami, dan kami menyiapkannya dalam masa beberapa jam sahaja. Kami masing-masing hanya memerlukan tiga jam setiap seorang untuk proses rakaman vokal di dalam studio.”

“Saya masih ingat ia terjadi pada hari Ahad dan lagu itupun sudah hampir siap kerana kami hanya perlu memasukkan bahagian ‘bridge’ dan rangkap kedua kerana bahagian pertama lagu sudah pun dikeluarkan di media sosial pada tahun sebelumnya,” tambah Aziz lagi.

Mereka berdua juga senang bekerjasama kerana keserasian sudah wujud sejak berduet lewat lagu Jarak lagi. Bezanya hanyalah tema lagu duet kali ini adalah lagu Hari Raya.

“Aziz seorang yang sangat berbakat dan kami berkongsi minat yang sama dalam muzik. Dengan hasil kerjanya yang terbukti hebat dan komitmennya yang berterusan, saya tidak ragu-ragu untuk berkolaborasi lagi dengannya. Lagipun saya memang dah lama inginkan lagu raya sendiri dan sekarang terhasillah duet ini dan saya rasa ia mampu pergi jauh sebagai salah satu koleksi duet kami bersama,” ungkap Aisha penuh gembira.

Lagu ini turut menampilkan sebuah video muzik yang dirakam dalam sekali harung sahaja.

“Ia dirakam sekali harung dan menampilkan warga kerja Faithful Music, iaitu syarikat rakaman naungan Aziz Harun. Suasana yang ditampilkan juga sangat santai dan berjalan dengan lancar. Ini kali pertama Aziz dan saya merakam video muzik secara sekali harung dan hanya perlukan beberapa tangkapan semula sahaja. Tapi saya memang tak sabar melihat reaksi penonton yang bakal menyaksikan keakraban yang kami tampilkan dalam video muzik ini,” tambah Aisha lagi.

“Kami berharap semua yang sudah menantikan lagu ini sejak tahun lalu berpuas hati dengan hasil yang kami usahakan. Kami juga berharap ia akan menjadi lagu malar segar yang akan sentiasa diingati untuk masa-masa akan datang. Kami seronok menghasilkannya dan harap pendengar juga akan berasa seronok mendengarnya,”bingkas Aziz.

“Saya pula harap anda semua akan menyukai lagu Raya pertama kami ini yang juga memberi penghormatan kepada rentak joget. Saya sengaja menampilkan unsur joget dalam lagu ini dan memberi sedikit nafas baharu supaya ia bakal lebih diminati dan dihargai, khasnya di laman media sosial seperti TikTok,” kata Aisha menutup bicara.

Bakal dikeluarkan pada tarikh 22 Mac 2024 jam 12 pagi waktu Malaysia, ‘Ketipak Ketipung Raya’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.

Kredit:

Artis: Aisha Retno & Aziz Harun

Tajuk: Ketipak Ketipung Raya

Produser: Glowrush

Komposer:  Aisha Retno, Aziz Harun, Glowrush

Penulis Lirik: Aisha Retno, Aziz Harun, Glowrush

WALI BAND, JAMRUD Teruskan Kehangatan DREAM FESTIVAL COLLABORATION Di ZEPP KUALA LUMPUR

BERMULA dengan menyatukan dua nama popular Indonesia, Nidji dan Budi Doremi di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Mac 2023, Dream Festival Collaboration terus mengukuhkan jenamanya di Malaysia apabila membariskan pelbagai siri konsert mini yang bakal mengujakan pencinta muzik.

Usai meraih sukses menerusi Dream Festival Collaboration Vol. 1 yang turut menampilkan penyanyi berbakat besar dari Malaysia, Aisha Retno, siri kedua festival muzik yang dinanti-nanti ramai itu bakal menampilkan pula kumpulan popular, Wali Band.Turut mengambil tempat di Zepp Kuala Lumpur, Wali Band bakal menghangatkan pentas dengan himpunan lagu popular mereka dalam rangka persembahan Dream Festival Collaboration Vol. 2 pada 20 Mei depan.

Wali Band

Pengarah Projek DreamFestWorld, Rama Ananda Ambri berkata, Dream Festival bermula di Jakarta, Indonesia, tahun lalu sebagai memenuhi impian pemuzik untuk meraikan kebebasan dalam berekspresi selepas aktiviti seni tertunda gara-gara pandemik Covid-19.

“Sehingga kini, siri Dream Festival sudah dipentaskan sebanyak 11 kali di Indonesia menampilkan persembahan daripada nama terkenal seperti Rossa, Afgan,  Lyodra, Nidji, D’masiv, The Changcuters, Rizky Febian, Kahitna dan Project Pop.

“Kejayaan yang dilakar menerusi siri persembahan di kota besar seperti Jakarta dan Bandung memberi kami inspirasi untuk turut menyapa peminat muzik di Malaysia.

“Justeru, kami membawakan Dream Festival ke Kuala Lumpur dengan mengangkat tema kolaborasi yang menyaksikan kehebatan gandingan nama popular dan berpotensi besar dari dua negara beraksi di atas satu pentas,” katanya.

JAMRUD

Rama Ananda atau mesra disapa Anda berkata, pemilihan Wali Band sangat bertepatan, susulan kejayaan persembahan mereka di Singapura, baru-baru ini yang mendapat sambutan luar biasa. Katanya, Wali Band juga masih memiliki kelompok penggemar yang utuh, membuatkan mereka enggan bertangguh untuk menampilkan kumpulan yang popular dengan lagu seperti Doaku Untukmu Sayang, Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu itu di Kuala Lumpur.

“Selepas 24 tahun berkarya, populariti Wali Band terus ampuh dan tentunya peluang ini dinanti-nantikan semua, terutama bagi peminat yang merindui kemunculan terbaru mereka di sini.

“Wali Band memiliki  kelompok penggemar yang sangat besar kerana lagu yang dibawakan mereka menitipkan pelbagai nasihat untuk dijadikan teladan, terutama bagi generasi muda.

“Justeru, Dream Collaboration Vol.2 berbangga dapat membawakan mereka untuk menghiburkan para pencinta muzik di Malaysia,” katanya.

Wali Band yang sebelum ini dikenali sebagai Fiera dianggotai empat tonggak utama iaitu Farhan Zainal Muttaqin atau Faank (vokalis), Aan Kurnia (Apoy/gitaris),  Ihsan Bustomi (Tomi/dram) dan Hamzah Shopi (Ovie /keyboard).Kumpulan yang memperjuangkan muzik Pop Melayu ini terlebih dahulu beraksi di The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre, Singapura menerusi konsert Wali Cari Jodoh Live In Singapore, 25 Februari lalu.

Memulakan karier seni pada 1999, populariti Wali Band membawa mereka mengembara ke rantau Asia, termasuk Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong untuk mengetengahkan muzik mereka.Berkongsi lanjut,  Anda berkata, selepas Wali Band, siri Dream Festival Collaboration akan terus disemarakkan dengan kemunculan beberapa nama besar lain seperti band rock tersohor Indonesia, Jamrud yang bakal beraksi di lokasi sama pada 23 Jun 2023, disusuli penyanyi wanita unggul, Rossa dan beberapa nama popular lain yang bakal diumumkan kelak.

“Ini adalah masa terbaik untuk pencinta muzik meraikan karya hebat pemuzik serantau. Kami berharap inisiatif yang digerakkan Inspire. IDN dapat meninggalkan memori indah, sekali gus memberikan apresiasi terhadap usaha pengkarya seni kedua-dua negara menerusi perkongsian idea dan persembahan,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan Wali Band dan Jamrud boleh ditempah  serentak menerusi laman: ticket2u.com.my bermula 22 Mac 2023, jam 11 pagi.

Untuk Wali Band, tiket dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box), manakala Jamrud, tiket dijual bermula RM138 (Festival), RM199 (Kategori 2) dan RM258 (Kategori 1).

“Sebagai tanda penghargaan, peminat Wali Band berpeluang mendapatkan tiket RM198 pada harga diskaun 50 peratus dengan menyertai Dreamers Club Telegraph. Tawaran istimewa ini bagaimanapun, terhad.

“Layari laman Instagram: @dreamfestworld dan ikuti beberapa langkah untuk mendaftar sebagai ahli kelab Dreamers bagi mendapatkan pelbagai promosi menarik serta perkembangan terkini acara anjuran DreamFest di Malaysia serta Indonesia,” katanya.