Tag Archives: Bali

AirAsia tingkatkan kemasukan pelancong serantau ke Pulau Pinang dengan laluan terus baharu dari Bali

Pulau Pinang bakal mengalu-alukan lebih ramai ketibaan pelancong serantau pada tahun ini kerana AirAsia Malaysia (AK) akan melancarkan laluan terus baharu dari Bali (Denpasar) bermula pada 20 Oktober 2022.

Penerbangan dua kali seminggu itu akan menambah kekerapan AirAsia Malaysia ke Pulau Pinang berjumlah 156 penerbangan setiap minggu. Ini menjadikan Pulau Pinang sebagai hab kedua terbesar AirAsia di Malaysia selepas Kuala Lumpur dengan kekerapan penerbangan antarabangsa terbanyak.

Sempena meraikan pengumuman itu, AirAsia akan menawarkan tambang berpatutan antara Bali dan Pulau Pinang daripada RM159 termasuk semua* sehala bermula hari ini hingga 16 Oktober 2022 untuk tempoh perjalanan antara 20 Oktober 2022 dan 25 Mac 2023.

Laluan baharu tersebut dilancarkan pada hari ini oleh Tuan Yang Terutama Bambang Suharto, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang dan YB Yeoh Soon Hin, EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang bersama-sama Ooi Chok Yan, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT)  dan Liyana Mahizzan, Ketua Komersial AirAsia Malaysia di Komtar, Pulau Pinang.

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Pengumuman hari ini adalah bukti komitmen kami untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini sejajar dengan memorandum kerjasama (MOC) yang telah ditandatangani dengan PGT pada bulan Ogos lalu. Pelancaran laluan terus baharu ini bukan sahaja menawarkan perjalanan yang lancar untuk para tetamu kami, malah akan meningkatkan kemasukan pelancong serantau dan menyokong ekonomi tempatan di kedua-dua buah negara. Ini juga bertepatan dengan misi kami untuk memperkasakan rakyat tempatan dan kesejahteraan masyarakat dengan merangsang perjalanan udara dan memacu sektor pelancongan.

“Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan kami dan sebagai pemain utama dengan bahagian pasaran terbesar sebanyak 50% sebagai sebuah kumpulan, kami akan terus mengembangkan perkhidmatan ke negeri ini pada masa hadapan. Selain itu, dengan 92 rangkaian destinasi sambungan lain melalui perkhidmatan Fly-Thru ke Pulau Pinang, kami menjangka akan menerbangkan lebih ramai pelancong ke Pulau Mutiara pada masa hadapan.”

YB Yeoh Soon Hin, EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang berkata: “Kami berbesar hati kerana AirAsia melancarkan laluan terus antarabangsa baharu yang menghubungkan rantau ini lebih dekat dengan Pulau Pinang. Memandangkan ini adalah laluan terus pertama dari Bali ke Pulau Pinang, kami berharap dapat memanfaatkan peluang ini untuk memperkenalkan negeri ini bukan sahaja kepada penduduk di Bali tetapi juga kepada pelancong serantau yang melawat Bali dan mempromosikan “7 Keajaiban Dunia Pulau Pinang” yang diumumkan baru-baru ini. Kami percaya ini akan menjadi satu lagi laluan antarabangsa utama ke Pulau Pinang dan kami memuji usaha berterusan AirAsia untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan serantau.”

AirAsia Malaysia (AK) mengendalikan 156 penerbangan setiap minggu melalui sembilan laluan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur (49x seminggu), Johor Bahru (28x seminggu), Kota Kinabalu (14x seminggu), Kuching (14x seminggu), dan Langkawi (21x seminggu) serta Singapura (21x mingguan), Bandar Ho Chi Minh (4x mingguan), Jakarta (3x mingguan) dan Bali (2x mingguan).

Jadual penerbangan antara Pulau Pinang dan Bali (Denpasar):

Ikuti perkembangan terkini mengenai penerbangan, perjalanan, gaya hidup dan banyak lagi mengikuti @flyairasia di Instagram atau @airasia di Twitter dan WeChat/Weibo untuk kemas kini terkini.

*Tambang termasuk semua cukai lapangan terbang, surcaj bahan api dan bayaran lain yang berkenaan. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Konflik Cinta Imran Dalam ‘Kasih Berbisik’

Kasih Berbisik (1)

Sambutan ulang tahun TV3 yang ke 30 diteruskan lagi dengan siaran drama eksklusif ‘Kasih Berbisik’. Lebih unik, drama bersiri 13 episod ini merupakan kerjasama antara TV3, Primeworks Studio dan Media Corp. (Singapura) yang menggandingkan pelakon – pelakon dari 3 negara iaitu Malaysia (Remy Ishak, Keith Foo, Tasha Shilla, Normah Damanhuri), Singapura (Nurul Aini, Nick Mikhail) dan Indonesia (Demmy Febriana) buat julung kalinya.

Berlatarkan kehijauan Malaysia, kota metropolitan Singapura, dan Bali yang eksotik, Kasih Berbisik yang diarahkan oleh Jamal Khan akan disiarkan bermula 1 Oktober 2014 menerusi TV3 dan Media Corp. Di TV3, siri drama ini disiarkan pada setiap hari Rabu pukul 9.00 malam manakala di Media Corp. pula disiarkan pada 9.30 malam.

Poster Kasih Berbisik

Kisahnya bermula di Bali, Indonesia apabila Imran (Remy Ishak), seorang arkitek mengikut kawan baiknya, Andi (Nick Mikhail) ke Bali untuk mencari idea baharu serta peluang kerjasama di sana. Andi, seorang juru gambar profesional tertarik dengan keindahan seni pulau itu termasuk wanita dan seni tariannya. Andi obses dengan kelembutan dan gemalai tari Sulastri (Demmy Febriana). Pertama kali melihat Sulastri, Imran juga terkesima dengan keindahan dan kehalusan seni tari yang dipersembahkan.

Ketika itu, Sulastri berhadapan dengan konflik cinta apabila kekasihnya, Dharma (Keith Foo) didakwa atas tuduhan jenayah rasuah dan bakal dipenjarakan. Dharma berasa kesal dan berjanji akan berubah sebaik dibebaskan. Dia juga bersumpah akan kembali mendapatkan cinta Sulastri.

Kasih Berbisik (5)

Imran dan Andi mula rapat dengan Sulastri. Cinta telah hadir antara Imran dan Sulastri. Sebenarnya Imran telah berkahwin dengan Nora (Nurul Aini) di Singapura. Mereka berdua bahagia walaupun tidak dikurniakan anak. Imran tidak mahu mengkhianati Nora tetapi dia tidak dapat melupakan Sulastri. Akhirnya, Imran berkahwin dengan Sulastri di Bali tanpa memberitahu Nora.

5 tahun telah berlalu. Imran menyimpan rapi rahsia daripada Nora dan Sulastri. Kehadiran Eka, puteri mereka semakin mengikat kasih sayang antara Imran dan Sulastri. Malangnya, kematian tragis Sulastri telah mencetuskan huru hara dalam hidup Imran. Imran tertekan dan membawa Eka pulang ke Singapura.

Kasih Berbisik (2)

Nora kecewa dengan penjelasan Imran dan tidak menyangka Imran akan mengkhianatinya. Nora mula menjauhkan diri dan berubah menjadi seorang yang panas baran. Imran pula menjadi murung selepas kematian Sulastri. Lebih merumitkan keadaan lagi apabila Imran terlibat dalam kemalangan dan mengalami trauma. Imran telah dibawa balik ke Perlis oleh ibunya, Mak Jah (Normah Damanhuri) untuk merawat. Nora hanya akur kerana dia juga mahu masa untuk bersendiri.

Di Perlis, sepupu Imran, Tina (Tasha Shilla) yang belajar dalam jurusan perubatan mengambil kesempatan ini untuk membuktikan cintanya kepada Imran. Bekas teman lelaki Sulastri, Dharma yang sudah dibebaskan, berdendam dengan Imran dan akan melakukan apa sahaja untuk memusnahkan hidupnya. Andi pula bertemu dengan Lily yang wajahnya persis Sulastri. Apakah misteri kematian Sulastri bakal terungkai? Apakah kesudahan bagi kemelut rumah tangga Imran dan Nora?

Kasih Berbisik (4)

Saksikan Kasih Berbisik pada setiap hari Rabu pukul 9.00 malam bermula 1 Oktober ini di TV3. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.

Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan drama ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.