Tag Archives: Beto Kusyairy

Hazrul Nizam Putus Kemarau 21 Tahun Dengan Single ‘Rawan’

Penyanyi veteran Singapura, Hazrul Nizam, akhirnya memecah kesenyapan dengan pelancaran single terbaharu bertajuk ‘Rawan’ selepas hampir dua dekad tidak mengeluarkan lagu solo. Single yang dilancarkan pada 13 Oktober 2024 ini menandakan kemunculan semula beliau dalam industri muzik selepas kali terakhir membawakan lagu solo ‘Kaulah Segalanya’ pada 21 tahun yang lalu.

‘Rawan’, yang ditulis dan digubah oleh penyanyi terkenal Amylea Azizan, bukan sekadar lagu cinta biasa. Menurut Hazrul, lagu ini membawa maksud yang lebih mendalam tentang perasaan kehilangan yang boleh diinterpretasi dalam pelbagai cara.

“Lagu ini bukan sahaja untuk mereka yang patah hati dalam percintaan, tetapi juga untuk sesiapa yang mengalami kehilangan – sama ada kehilangan keluarga, kawan, atau bahkan kehilangan jati diri,” jelas Hazrul ketika ditemui baru-baru ini.

Muzik video ‘Rawan’ turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Dato’ Rahim Razali. Video yang diarahkan oleh Bobby Husaini dan diterbitkan oleh HMA Entertainment ini membawakan narrative yang berbeza daripada muzik video konvensional.

“Saya mahukan muzik video yang menceritakan sesuatu, bukan sekadar menampilkan saya menyanyi. Kami memilih untuk memaparkan tema kehilangan diri kerana ia memberikan dimensi yang berbeza daripada tema cinta yang sudah terlalu biasa,” tambah Hazrul.

Selain pelancaran single ini, ‘Rawan’ turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) drama ‘Satu Hari Nanti’ yang dibintangi oleh Bella Astillah dan Ezaidi Aziz. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.

Walaupun sibuk dengan perniagaan hartanah di Singapura, Hazrul tetap aktif dalam industri hiburan. Selepas penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), beliau telah melancarkan dua lagu duet – ‘Sejuta Kata’ bersama Diana Nazyra dan ‘Berat Hati’ bersama Dina Nadzir.

Namun, peminat di Malaysia mungkin perlu bersabar untuk menyaksikan persembahan live Hazrul kerana beliau masih belum memperolehi permit PUSPAL (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara), menyebabkan beliau terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan di Malaysia.

Peminat Hazrul boleh mengikuti perkembangan terkini beliau melalui platform media sosial rasminya di Instagram (@azruul), TikTok (Hazrul Nizam) dan saluran YouTube rasminya, Hazrul Nizam.

Filem magiK selami kelebihan dan keistimewaan golongan bermasalah pendengaran

Sebagai usaha menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan bermasalah pendengaran, syarikat produksi, 42nd Pictures Sdn Bhd yang diterajui pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka tampil dengan filem “magiK”.

Filem bergenre drama, keluarga dan fantasi arahan Tanaka itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Tanaka berkata, magiK yang juga filem kedua arahannya itu bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip, malah menjadi medium untuk penonton mendekati golongan berkenaan.

“Idea menghasilkan “magiK” apabila idea kami disatukan iaitu hubungan isteri, Bea dengan komuniti pekak dan minat saya terhadap alam alam semula jadi.”

“ Begitulah cara dua idea ini digunakan untuk mencipta cerita seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip,” kata Tanaka yang juga pengarah filem Nota kelahiran Jepun.

Sehubungan itu, tayangan khas filem “magiK” diadakan di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia selama dua bulan pada September dan Oktober lalu sebelum ditayangkan di pawagam pada 30 November 2023.

Tujuan tayangan khas itu ialah untuk berkongsi filem “magiK” dengan penonton. Selaku pengarah dan penulis skrip filem ini, Tanaka dan Bea yang juga penerbit turut turun padang di semua lokasi terbabit.

Mengulas konsep tayangan khas berkenaan, Bea berkata, pihaknya mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan bermasalah pendengaran supaya dapat menonton filem berkenaan.

“Versi yang ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi ‘closed caption’ yang memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran.”

“Filem “magiK” memaparkan masyarakat Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini.”

“Kami berterima kasih kepada PORT Ipoh yang menaja tayangan di Ipoh untuk dua hari. Tayangan ini kami bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Perak dengan menjemput komuniti pekak.

“Kami juga menjemput sekolah pendidikan khas sekitar Ipoh dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Perak,” katanya.

Tanaka pula berkata, Bea adalah bekas guru pendidikan khas untuk golongan bermasalah pendengaran selama 15 tahun dan masih akrab dengan golongan istimewa itu.

“magik” adalah filem kedua arahan Tanaka selepas Nota ditayangkan di pawagam pada 2015.

Katanya, dia juga berpeluang melihat konsep tayangan wayang pacak pada 2017, apabila KOMFIT telah menjayakan Nota di mana En.Hassan Abdul Mutalib sebagai moderator ketika itu.

“Pengalaman itulah yang mendorong kami mengadakan tayangan khas di Road Trip dengan konsep wayang pacak. Kami amat teruja berinteraksi secara langsung dengan penonton yang hadir pada tayangan khas berkenaan,” katanya.

Tujuh lokasi wayang pacak

——————————————-

Sementara itu, tayangan khas filem “magiK” telah berlangsung dengan jayanya membabitkan tujuh lokasi terpilih di seluruh tanah air pada September dan Oktober lalu.

Tayangan khas itu diadakan di Warung Adri, Kuantan pada 16 September lalu disusuli Pantai Telaga Papan (23 September) dan SPace08000, Sungai Petani (29 September). Malangnya Tayangan khas di Pantai Telaga Papan, Setiu, Terengganu tidak kesampaian kerana itulah satu-satunya lokasi di mana konsep wayang pacak berlaku tepi pantai “outdoors” sebab gangguan hujan.

Selain itu, lokasi tayangan khas filem di YMCA, Kuala Lumpur (1 Oktober); YMCA, Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober); PORT, Ipoh, Perak (14 dan 15 Oktober) yang turut menjemput penonton dari komuniti bermasalah pendengaran. Tayangan khas “magiK” di YMCA KL adalah sebahagian dari sambutan ‘International Deaf Day’.Jadual tayangan khas “magiK” berakhir di Embrace Hall, Johor Bahru pada 20 Oktober lalu.

Sinopsis dalam Bahasa Melayu

Filem “magiK” memaparkan Kit, gadis pekak berusia 7 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip. Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya yang bekerja sebagai pendayung yang membawa para pelancong melihat kelip-kelip.

Ibunya pula mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun, Kit tidak berani untuk berkomunikasi dengan orang ramai kerana dia lebih cenderung untuk hidup dalam dunianya yang dikelilingi alam semula jadi.

Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya berkelip dan terbang dengan cara tertentu.

Penutup

“Kami berterima kasih kepada pihak FINAS atas sokongan mereka dengan Dana Kandungan Digital (DKD) penerbitan dan pemasaran “magiK”. Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada warga Kuala Selangor khususnya, warga Kampung Kuantan atas kerjasama dan sokongan semasa penggambaran,”

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai filem magiK, boleh layari laman web www.42ndpictures.com dan mengikuti akaun TikTok dan Instagram (#magikthemovie), Facebook (42nd Pictures) serta Channel YouTube 42nd Pictures.

Tayangan khas magiK adalah versi ‘closed caption’ untuk memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran

Penganjuran tayangan khas atau ‘wayang pacak’ sempena filem magiK diteruskan di empat lagi lokasi terpilih serata tanah air iaitu YMCA di Pulau Pinang, Port Ipoh dan Johor Baharu sejak Oktober lalu.

Menurut penerbit juga teraju utama produksi 42nd Pictures Sdn Bhd, Bea dan suaminya, pengarah Yasu Tanaka, tayangan khas atau ‘wayang pacak’ itu adalah cara alternatif sebelum tayangan di pawagam untuk menyampaikan filem itu secara terus kepada masyarakat tempatan.

“Semasa tayangan khas ini, Yasu menemui semula nilai atau kewujudannya sebagai pembikin filem indie.

“Pengalaman menganjurkan tayangan khas ini juga ini tidak ternilai buat kami,” kata pasangan suami isteri ini.

Yasu yang juga pengarah filem magiK berkata, pihaknya gembira kerana dapat berkongsi filem itu dengan penonton dan melihat reaksi mereka menerusi tayangan khas itu.

“Tayangan khas filem ini adalah versi ‘closed caption’ untuk memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran,” katanya.

Sebagai bekas guru pendidikan khas, Bea berkata, tayangan khas filem magiK di YMCA, Pulau Pinang berjaya menarik seramai lebih 150 kanak-kanak dan dewasa pekak (CODA).

“Ia juga pertemuan semula saya dengan bekas pelajar yang juga seorang guru di mana dia membawa ramai pelajar dan guru pelajar bermasalah pendengaran untuk tayangan khas berkenaan.

“Komuniti pekak juga sangat fokus ketika menonton filem magiK menerusi skrin besar ketika tayangan khas filem ini,” katanya.

Kata Bea lagi, kerja kerasnya dan Yasu untuk menganjurkan tayangan khas filem magiK juga membuahkan hasil apabila melihat orang ramai menghayati filem berkenaan.

“Pekak bukan kecacatan tetapi mereka mempunyai keupayaan yang berbeza,” katanya.

Bea juga mengucapkan terima kasih dengan kerjasama diberikan pihak Port Ipoh
kerana berjaya menjayakan acara tayangan khas dua hari dan menampilkan penonton yang sangat berbeza.

“Pihak kami menayangkan filem magiK kepada komuniti seni dan pelajar dari sekitar Ipoh pada tayangan khas 14 Oktober lalu.

“Pelakon utama filem ini, Beto Kusyairy turut hadir dan ia adalah kali pertama dia menonton filem magiK,” katanya.

Bea berkata, apa yang terbaik daripada tayangan khas kali ini ialah mereka dapat berkongsi filem magiK dengan komuniti pekak.

Katanya, tayangan khas pada 15 Oktober di Ipoh pula berjaya menarik seramai 100 orang termasuk dari Persatuan Orang Pekak Perak (POPP), Sekolah Rendah Khas untuk orang pekak dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Hampir semua penonton bermasalah pendengaran ditemani guru dan ibu bapa mereka.

“Kami juga terkejut apabila melihat penonton OKU pekak menonton filem ini sehingga selesai. Saya percaya kanak- kanak pekak mudah mengaitkan diri mereka dengan watak Kit dalam filem ini,” katanya.

Tidak ketinggalan, kata Bea, tayangan khas filem magiK yang terakhir di Embrace Hall, Johor Bahru dijayakan walaupun dengan penonton bersaiz kecil.

“Kerjasama dengan penduduk tempatan di Embrace Hall, Johor Bahru mengingatkan kami dengan komuniti kecil seni di Kuantan dan Sungai Petani sebelum ini,” katanya.

“magiK” dibarisi pelakon terkenal tanah air seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Filem ini berkisar kepada kanak-kanak pekak berusia tujuh tahun, Kit di perkampungan yang terkenal dengan tarikan kelip-kelip dan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 30 November 2023.

‘ANAK RIMAU THE MOVIE’ Angkat Semangat Dan Perjuangan Generasi Baharu Di Malaysia

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker memberi sokongan atas usaha penghasilan filem Anak Rimau The Movie yang menjalani penggambaran dalam tempoh mencabar pada era pandemik.

Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, malah, mengangkat semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak. Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.Ia juga dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker memuji pasukan produksi Anak Rimau atas kecekalan menerbitkan filem ini. “Ini satu cabaran hebat bagi pelakon dan kru Anak Rimau The Movie dapat menghabiskan penggambaran filem, meskipun diuji dengan pandemik. “Proses penggambaran filem dijayakan dengan dedikasi dan memiliki sifat kepimpinan tinggi. Aspek ini juga ditanam dalam mesej utama filem Anak Rimau The Movie iaitu memberi inspirasi kepada anak muda mencapai cita-cita sebagai pemain bola sepak demi Malaysia,” ujarnya. Beliau hadir pada Malam Gala Filem Anak Rimau The Movie di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Penerbitnya, Fadzil Manap berkata, filem memainkan peranan penting sebagai menjadi medium komunikasi kepada anak muda untuk melakukan perubahan dalam hidup. “Saya percaya filem Anak Rimau The Movie mampu memberi impak, pengaruh dan gaya pemikiran masyarakat. “Tujuan pembikinan filem bukan sahaja memberi semangat kepada anak muda, tetapi bertindak sebagai medium pendidikan, informasi dan hiburan bagi membantu membina asas kukuh untuk transformasi Malaysia,” katanya.

Filem Anak Rimau The Movie mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy. Naskhah menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Adam Corrie.

Turut membintangi, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam. Disifatkan satu kisah menyentuh hati yang mengetengahkan nilai kekeluargaan, keputusan sukar, integriti dan persahabatan, majlis pelancaran filem Anak Rimau The Movie turut selari dengan Bulan Kemerdekaan, sekali gus menyuntik semangat patriotik dalam kalangan rakyat serta kejohanan Piala Dunia 2022 yang akan melabuh tirai, tidak lama lagi.

Anak Rimau The Movie memaparkan kisah sekumpulan anak muda berbakat tinggi dalam dunia bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum ketika menyertai Akademi Bola Sepak Malaysia (Anak Rimau Academy). Mereka mengharungi pelbagai cabaran sebagai individu dan berpasukan ketika menghadapi fasa baru dalam dunia bola sepak.

Pemain perlu menentang cabaran peribadi dan halangan pasukan, sebelum berfikir mengenai kemenangan. Keazaman dan ketabahan pemain diuji menerusi kerjasama, isu keluarga, halangan hidup dan perlumbaan untuk menjadi yang terbaik demi memenangi Piala Jemputan Bola Sepak Belia ASEAN.

Selain itu, filem ini juga menekankan kebaikan akan sentiasa datang kepada mereka beriman dan berani berpegang kepada kebaikan dalam diri dan orang lain seperti slogan Anak Rimau The Movie –  ‘bola itu bulat’.

Antara tetamu VIP yang hadir untuk memberi sokongan di tayangan perdana filem tersebut termasuk:

  • YAM Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
  • YAM Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • YM Tengku Dato’ Hishamuddin Zaizi bin YAM Tengku Azman Shah Al-haj
  • Encik Syirfan Indra Mitra Suryabin Hussin, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mewakili Professor Dr. Md Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS
  • Datuk Santokh Singh Gurdial Singh PMW DSIS AMN, bekas pemain legenda bola sepak Malaysia
  • Datuk N. Thanabalan A/L Nadarajah, bekas pemain legenda bola sepak Malaysia
  • Dato’ Zainal Abidin Hassan, bekas pemain bola sepak dan jurulatih Penang Football Club Sdn. Bhd
  • Farah Ann, bekas Olimpian gimnastik negara
  • Wakil daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
  • Wakil daripada Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA)
  • Wakil daripada Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA)

Pencinta bola sepak dan peminat filem kini boleh menonton Anak Rimau The Movie yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada tanggal 1 September 2022 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan serta Kejohanan Piala Dunia 2022. Lagu tema rasmi dan muzik video bagi Anak Rimau The Movie yang bertajuk Pentas Dunia boleh dilayari di YouTube.

Para penonton boleh mendapatkan merchandise eksklusif Anak Rimau yang khas direka oleh Al-Ikhsan Sports menerusi laman web rasmi www.al-ikhsan.com dan www.alsports.com.my bermula dengan harga serendah RM19.90 sehingga RM99.00.

Anak Rimau The Movie dihasilkan dengan kerjasama di antara Cyberlynx International College dan Al-Ikhsan Sports.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman rasmi Instagram: anakrimau.my, #AnakRimau

Transisi Beto Kusyairy Dari Wahid ke Coach Zainal

Lakonan aktor handalan, Beto Kusyairy tidak perlu dipertikaikan, malah, namanya sekali lagi menjadi sebutan apabila menunjukkan kehebatan dalam filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, baru-baru ini.

Namun, di sebalik itu, ada yang beranggapan Beto mungkin akan semakin ‘demand‘ dengan meletakkan harga lebih tinggi dari segi bayaran.

Beto berkata, kejayaan filem Mat Kilau tidak membuatkannya berubah, masih seperti dulu.

“Saya masih Beto yang dulu, harga ditetapkan juga setimpal dengan kerja lakonan dan pengalaman dalam bidang seni.

“Saya bekerja bukan untuk diri sendiri, tetapi demi naskhah diamanahkan.

“Jika bekerja untuk karya, saya akan memberikan yang terbaik. Keikhlasan perlu ada dan itu antara sebab saya masih bertahan sehingga hari ini,” katanya.

Mengenai naskhah, kata Beto, dia memang seorang yang memilih skrip dan karya sejak dulu.

“Saya memilih skrip dan mahu bekerja dengan pengarah serius dan tidak main-main ketika berkarya,” katanya.

Mengulas persepsi peminat yang membandingkan lakonannya sebagai Wahid lebih menyerlah daripada watak utama, Mat Kilau lakonan Adi Putra, Beto berkata, tidak adil berbuat demikian.

“Watak Wahid ditulis skrip lebih banyak konflik dengan isteri, drama dan tragedi berbanding watak Mat Kilau lakonan Adi.

“Mat Kilau ditulis kurang dramatik. Justeru, tidak adil untuk peminat membandingkan siapa lebih menonjol atau sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, Beto berkata, tidak berasa risau filem Anak Rimau The Movie lakonan turut bertembung dengan filem Air Force The Movie Selagi Bernyawa lakonan Adi di pawagam.

“Sebagai pelakon kita perlu meraikan kepelbagaian genre dalam industri.

“Dari segi genre sudah berbeza, filem Anak Rimau The Movie bergenre sukan, manakala Air Force Movie Selagi Bernyawa pula bergenre aksi,” katanya.

Mengulas filem Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd, Beto berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem arahan Areel Abu Bakar itu kerana tertarik dengan skripnya.

“Saya melakonkan watak jurulatih sukan bola sepak, iaitu Coach Zainal.

“Saya bukan pemain bola sepak, tetapi memang minat sukan bola sepak dan ada pasukan yang diminati.

“Saya juga bukanlah kaki bangku kerana bermain bola sepak untuk mengeluarkan peluh,” katanya.

Namun, kata Beto, dia juga ada pengalaman dalam bidang sukan lain seperti silat olahraga.

“Sebenarnya, saya hampir mewakili pertandingan Silat Olahraga peringkat remaja Selangor pada zaman sekolah dulu.

“Justeru, memang tidak asing komitmen tinggi dan disiplin sebagai ahli sukan, sekali gus saya praktikkan dalam filem ini,” katanya.

Ditanya cabaran watak, katanya, dia bertuah menimba pengalaman bersama barisan pelakon baru yang juga pemain bola sepak muda kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang turut membintangi filem berkenaan,

“Mereka mendapat bimbingan dan bengkel lakonan dari guru lakonan terkenal, Fatimah Abu Bakar.

“Selain guru lakonan, kami juga dibantu jurulatih bola sepak dari AMD, Osmera Omaro yang juga penasihat dalam filem.

“Justeru, saya tiada masalah untuk mendapat keserasian dengan barisan pelakon muda dari AMD kerana mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan dari segi dialog, penghayatan watak, lakonan dan sebagainya di lokasi penggambaran,” katanya.

Selain Beto, filem menelan belanja RM5.5 juta turut mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy.

Turut membintangi, Azhan Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

Ia turut menampilkan barisan pelakon pembantu Iaitu Mustakim Bahadon, Taiyuddin Bakar, Megat Sharizal dan ramai lagi.

Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.

Anak Rimau The Movie akan ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September ini.

Filem Anak Rimau The Movie dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Anak Rimau The Movie Sarat Dengan Mesej Positif

Sarat mesej positif, filem Anak Rimau The Movie mampu memberi inspirasi kepada ibu bapa menggilap bakat serta potensi golongan anak muda dalam dunia sukan bola sepak.

Bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, filem Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd mengangkat semangat dan perjuangan generasi baru dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.

Mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy, filem yang menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Adam Corrie.

Turut membintangi, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

Penerbitnya, Fadzil Manap berkata, filem Anak Rimau The Movie mengetengahkan nilai positif membabitkan semangat berpasukan, kegigihan dan sikap tidak berputus asa dalam kalangan generasi muda untuk berjuang mencapai cita-cita.

“Banyak mesej penting yang mahu disampaikan dalam filem ini. Ia juga mengetengahkan elemen perpaduan, semangat nasionalisme, patriotik dan kepelbagaian kaum, sekali gus sesuai untuk tontonan pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.

Namun, kongsinya, bukan mudah menghasilkan filem menampilkan barisan pelakon muda yang tiada asas dalam bidang lakonan.

“Justeru, Keeklr Films mendapatkan khidmat guru lakonan, Fatimah Abu Bakar yang banyak membantu dari aspek emosi, penghayatan watak, menghafal dialog dan sebagainya.

“Selain itu, jurulatih AMD, Osmera Omaro turut menjadi penasihat kepada pelakon muda di lokasi penggambaran.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan prestasi lakonan ditampilkan barisan pemain bola sepak muda AMD termasuk aspek komitmen dan disiplin tinggi diberikan ketika penggambaran filem ini pada 2019,” katanya yang mengetengahkan bakat 11 pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari AMD.

Mengulas penggambaran filem, Fadzil berkata, idea menghasilkan filem tercetus pada April 2018, penggambaran dimulakan tiga bulan kemudian membabitkan lokasi sekitar Pahang. Penggambaran filem arahan Areel Abu Bakar itu selesai pada Ogos 2019.

“Filem Anak Rimau The Movie menjalani penggambaran selama 60 hari di beberapa lokasi menarik seperti Pulau Tioman, Kuantan, Sungai Lembing, Beserah dan AMD.

“Selain cabaran dari segi cuaca panas terik dan hujan, kami terpaksa menggunakan khidmat feri untuk penggambaran di Pulau Tioman.

“Kami juga memiliki lokasi pantai di Beserah. Namun, penggambaran berdepan mencabar apabila perlu mengusung peralatan dalam Hutan Lipur Pandan, Kuantan ketika menjalani penggambaran di Air Terjun Panching.

“Kos membabitkan bajet besar disebabkan menggunakan khidmat lebih 2,000 pelakon tambahan termasuk remaja dan pelajar sekolah, terutama untuk babak dalam stadium.

“Lebih menarik, filem ini tidak menggunakan teknik imej janaan berkomputer (CGI),” katanya.

Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.

Ditanya sasaran filem, Fadzil berharap filem Anak Rimau The Movie boleh menjadi inspirasi kepada golongan anak muda yang mempunyai cita-cita bergelar pemain bola sepak.

“Selain itu, kami juga mengharapkan naskhah ini juga mampu meningkatkan semangat patriotik di kalangan generasi muda, bertepatan dengan Hari Kemerdekaan Ke-65, selain membantu pembangunan sukan bola sepak tanah air.

“Anak Rimau The Movie akan ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September ini,” katanya.

Selain itu, lagu tema berjudul Pentas Dunia ciptaan Bajai dan lirik oleh Amylea Azizan turut dinyanyikan barisan pelakon seperti Idan, Kechikimi, Hanz Daniel, Wan Omar Daanyal, Joel Law dan Hakeem. Video muziknya sudah dilancarkan menerusi laman YouTube sejak 7 Julai lalu.

Filem Anak Rimau The Movie dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Konsert Wings And Superfriends – Belenggu Irama

Konsert Wings And Superfriends – Belenggu Irama bakal mengegarkan Istana Budaya pada 6 hingga 9 April 2017 selama 2 jam setiap malam dan merupakan sebuah konsert berkonsep memperjuangkan nasib para insan seni tanahair.Konsert ini dianjurkan oleh Awie Entertainment Sdn Bhd.

Konsert ini bakal menampilkan gandingan artis-artis hebat seperti Dato’ M Nasir, Dato’ Siti Nurhaliza, Datu Ramli Sarip, Dato’ Nash, Dato’ Hattan, Ito, Syamel AF, Maya Karin, Beto Kusyairy, Liza Hanim, Haiza, Sahara Yaacob, Billa AF, Ucop Vokal Bukan Sekadar Rupa, Kudeen 3 Juara dan Aniq Ceria Pop Star.Para pemuzik yang turut terlibat adalah seperti Edrie Hashim, Yan Lefthanded, Kudin Headwind, Sham Guitarist, Lola, Pae, Rodi Kristal, Hamzah Percussion, Fly dan Adi.

Tujuan konsert ini adalah bagi mendidik masyarakat untuk menghibur sambil menderma.Ia juga untuk mengumpulkan persatuan-persatuan seperti Karyawan,Seniman, Yayasan Artis 1Malaysia, MACP dan RIM di Malaysia untuk membentangkan permasalahan di dalam persada seni terutamanya dari segi kebajikan anak-anak seni yang tidak pernah berubah.Ikon konsert ini ialah pemain drum ternama, Yazid dari Kumpulan Search.

Harga tiket bermula daripada RM80, RM150, RM200, RM250, RM300 dan RM350 boleh dibeli melalui secara Online di website www.airasiaredtix.com atau pun di Kaunter Pembelian Tiket di Istana Budaya mulai 1 Mac 2017. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Awie Entertainment di talian 019-2932436 (Ejat) atau 019-2975260 (Sam).Juga boleh lawati Facebook Sayap-Sayap Wings atau www.sayap2wings.com.

Kredit photo – Lensa Ayid