Tag Archives: BOCEY

Lapan Pemain Komedi Popular Kemudi Program ‘Konsert Komedi’

Selepas Maharaja Lawak Mega musim ini melabuhkan tirainya, keriuhan dan gelak tawa yang bergema pada setiap Jumaat malam akan terus dihidupkan dengan sebuah program variasi hiburan komedi baharu, ‘Konsert Komedi’. ‘Konsert Komedi’ yang memperlihatkan penglibatan lapan pemain komedi popular tanah air ini akan mula menggeletek hati penonton mulai 12 Mei 2017 pada jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124). Siaran ini juga boleh dinikmati melalui platform Astro Go dan Astro On Demand.

Program Konsert Komedi bakal menyaksikan persembahan nyanyian eksklusif yang diselangi dengan sketsa oleh pemain komedi baik solo mahupun berkumpulan bersama selebriti undangan mereka selama satu jam. Berdurasi sebanyak lapan episod, program ini akan bersiaran secara langsung bagi episod pertama dan kedua manakala episod selebihnya merupakan episod rakaman yang dibuat di Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

Istimewanya program ini, setiap pemain komedi diberi kebebasan penuh untuk mencorak sendiri persembahan nyanyian dan sketsa yang dipentaskan mengikut daya kreatif serta cara mereka sendiri. Setiap persembahan pula akan diiiringi oleh live band iringan Pengarah Muzik tersohor, Datuk Ramli MS.

Lapan pemain komedi yang akan mengemudi program ini terdiri daripada Hans Isaac, Afdlin Shauki dan Awie yang bergabung di bawah nama kumpulan ‘Baik Punya Cilok’, ‘Shiro’, ‘Zero’, ‘Bocey’, ‘Nabil’, ‘Sepahtu’, ‘Dato’ AC Mizal’ dan kemunculan semula kumpulan lawak otai yang dirindui semua peminat tegar komedi di Malaysia iaitu ‘Senario’ yang dianggotai oleh Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yasin, Ilya dan Hamdan.

Setiap daripada mereka turut mengundang selebriti pilihan mereka sendiri bagi memeriahkan lagi episod masing-masing. Antara selebriti undangan yang memeriahkan program ini adalah Erra Fazira, Ella, Stacy, Siti Nordiana, Indah Ruhaila, Misha Omar dan ramai lagi. Beberapa nama yang sudah lama berada dalam industri seni turut turun padang menyokong program ini seperti kumpulan yang popular dengan lagu Fiona; 4U2C, Datuk Zainal Abidin, Datuk Chef Wan dan Ramlah Ram.

Ayuh kita saksikan program hiburan komedi terbaharu, ‘Konsert Komedi’ yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat mulai 12 Mei 2017 pada jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Warna HD (saluran 124). Siaran ini juga boleh dinikmati melalui platform Astro Go dan Astro On Demand. Selamat menonton!

Lawak Ke Der 2015

IBC_2935 copy‘Lawak Ke Der’ merupakan persembahan komedi yang telah diperkenalkan sejak tahun 2012 lagi. Lawak Ke Der 2015 adalah produksi keempat susulan daripada ‘Lawak Ke Der?’, ‘Lawak Ke Der 2’ dan ‘Lawak Ke Der 3’.

 

Seperti setiap siri Lawak Ke Der yang lalu, Lawak Ke Der 2015 juga akan mengekalkan mutu persembahan setiap pelawak yang ditampilkan. Ini akan dipastikan oleh pengarah persembahan iaitu pengarah dan pelakon terkenal, Hans Isaac.

Lawak Ke Der sememangnya dikenali sebagai persembahan komedi yang berkualiti. Antara pelawak yang pernah membuat persembahan dengan Lawak Ke Der setakat ini adalah Johan, Zizan, Kumpulan Osbon, Harun Salim Bachik, Ahmad Nabil, Kumpulan Jambu dan Kuah Jenhan.

Tahun ini, penonton pasti akan terhibur dengan persembahan yang akan disajikan oleh pelawak-pelawak terbaik negara :

Harith Iskander – Bakatnya dalam bidang komedi tidak dapat disangkal lagi, sehingga dia digelar sebagai The Godfather of Malaysian Stand-Up Comedy. Jika selalunya Harith dilihat membuat persembahan dalam Bahasa Inggeris, dengan Lawak Ke Der penonton akan dihiburkan dengan cerita-cerita lucunya yang disampaikan dalam Bahasa Malaysia.

Afdlin Shauki – Sebelum terkenal dengan persembahan komedi secara berkumpulan, Afdlin merupakan seorang stand-up comedian. Ramai yang mengenali Afdlin sebagai seorang pengarah, pelakon, penyanyi dan pemuzik. Lawak Ke Der 2015 menjemput anda semua untuk mengenali Afdlin Shauki sebagai seorang pelawak solo.

Douglas Lim – Ramai yang sering lupa bahawa Douglas Lim sudah mewarnai industri hiburan tanahair sejak tahun 1998 lagi menerusi sitkom ‘Kopitiam’. Sejak dari itu, Douglas membuktikan bakatnya yang pelbagai. Kini, Douglas bergelar pengarah, pelakon, pelakon muzikal, penyanyi, pencipta lagu, penulis dan pelawak sepenuh masa. Ini kali ke-3 Douglas akan menjayakan persembahan Lawak Ke Der.

Bocey – Kumpulan ini dianggotai Acey (Juara Bintang Mencari Bintang 2013) serta Fard & Abam (Naib Juara Bintang Mencari Bintang 2013). Walaupun mula berkecimpung dalam bidang komedi secara berasingan, mereka berjaya disatukan menjadi sebuah kumpulan komedi yang baik. Ini terbukti apabila mereka memenangi tempat ketiga dalam Maharaja Lawak Mega 2013 dan tempat kelima dalam Maharaja Lawak Mega 2014.

Selain daripada nama-nama besar di atas, Lawak Ke Der 2015 akan memperkenalkan seorang bakat baru yang bernama Rayza Mukmin. Namanya mungkin tidak anda kenali, namun selepas menonton Lawak Ke Der 2015, perhatian anda pasti akan beralih ke pelawak muda yang kaya dengan ide segar ini.

LAWAK KE DER 2015 akan bertemu anda di Istana Budaya pada 16 April sehingga 19 April(persembahan pada jam 8.30 malam pada setiap hari/persembahan jam 3 khusus untuk hari Sabtu dan Ahad sahaja). Harga tiket adalah RM56, RM86, RM126, RM156 dan RM176.

Sila layari www.ticket2u.biz untuk pembelian tiket atau hubungi 03 4253 2241.

Maharaja Lawak Mega 2014

maharaja-lawak-mega

10 Layak Secara Automatik, 16 Perlu Lalu Kerusi Panas. Diakui sebagai pentas terulung yang mengangkat kehebatan pemain komedi terbaik di rantau ini, Maharaja Lawak Mega 2014 kembali dengan menampilkan barisan peserta dan kolaborasi terbaru untuk edisi kali ini. Program yang bersiaran pada setiap hari Jumaat, 10.00 malam bermula 14 November 2014 diAstro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika juga Mustika HD (Saluran 134) dan Astro on-the-go (Warna).

Maharaja Lawak Mega 2014 bakal menyaksikan persaingan yang amat sengit di kalangan pemain komedi profesional terbaik yang masing-masing mempunyai portfolio seni yang mengagumkan dalam bidang ini.

Seramai 10 barisan pelawak telah berjaya menempah tiket awal untuk beraksi secara automatik di Maharaja Lawak Mega 2014. Mereka terdiri daripada kumpulan yang menggelarkan diri mereka SEPAHTU, SHIRO, BOCEY, VIRUS, NABIL, COMEY, JALOR, SAYOT, KEPOH dan SYJ.

Manakala bagi 16 buah kumpulan lain, mereka perlu menggandakan usaha sebelum mampu menempatkan diri dalam persaingan Maharaja Lawak Mega 2014. Mereka perlu melalui satu ujian di Kerusi Panas MLM yang akan disiarkan pada hari Jumaat, 31 Oktober & 7 November 2014 jam 10.00 malam. Hanya empat peserta akan dipilih oleh juri profesional untuk melengkapkan seramai 14 peserta Maharaja Lawak Mega 2014.

Mereka adalah kumpulan yang menggelarkan diri mereka EKZOS, MAMU, SAKAN, SAMURAI, CAK, SPARK, QTARO, TOKEN, CHILOK, BADBOY, ZERO, GLORY, SHAKE, GAP2, JBOND dan WALA.

Nizam menambah, “Sama seperti penganjuran sebelum ini, barisan peserta Maharaja Lawak Mega 2014 merupakan yang terbaik pernah dihimpunkan dalam sebuah pertandingan komedi di saluran ini. Kami juga yakin bahawa para peserta yang terlibat pada musim ini bukan sekadar mengejar hadiah kemenangan semata-mata, namun penglibatan mereka adalah demi memartabatkan bidang komedi ke satu lagi tingkat yang dihormati”.

Pihak Astro Warna turut mengumumkan bahawa Juara Maharaja Lawak Mega 2014 bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000. Manakala sistem pemarkahan dikekalkan 70% markah oleh juri tetap dan 30% daripada undian penonton. Selain itu, Dato’ AC Mizal juga diumumkan kekal sebagai pengacara untuk Maharaja Lawak Mega 2014.

Para peminat boleh mengikut perkembangan terkini menerusi laman sosial Facebook dan Twitter (@maharajalawakmega) serta akaun Instagram @AstroGempak atau terus melayari laman web rasmi di www.maharajalawakmega.com.my untuk segala maklumat dan eksklusif Maharaja Lawak Mega 2014.

Astro turut meneruskan aplikasi permainan percuma kepada pengguna telefon pintar Android dan IoS iaitu ‘Mana Naga?’ dengan kemaskini terbaru fasa ketiga yang menawarkan permainan yang lebih menarik sempena Maharaja Lawak Mega 2014 pada bulan Disember nanti. Melalui aplikasi ini, pengguna berpeluang menyertai peraduan yang dianjurkan dan merebut pelbagai hadiah yang disediakan.

“Kami turut berbesar hati mengumumkan kehadiran buat julung kalinya kehadiran Oppo Smartphone yang akan membawakan Maharaja Lawak Mega 2014. Kami juga turut mengalu-alukan Kit Kat sebagai Penaja Utama serta Adabi sebagai Penaja Bersama. Selain itu, Radio ERA fm menerusi JoHaRa Pagi ERA dan SINAR fm menerusi Santai Sinar akan terus menyokong Maharaja Lawak Mega 2014,” ujar Nizam.

Barisan EMPAT (4) juri tetap untuk musim ini hanya akan dapat diketahui pada hari Jumaat, 14 November 2014 jam 10.00 malam di Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika juga Mustika HD (Saluran 134) dan Astro on-the-go (Warna).