Tag Archives: Bunga Citra Lestari

BCL, Ghea Indrawari dan Elly Mazlein Bakal Gegar Pentas Konsert Farmasi Soundzation

Konsert Farmasi Soundzation yang bakal berlangsung pada 30 November ini dijangka akan menjadi satu malam yang penuh bermakna apabila menggabungkan tiga bintang hebat dari Indonesia dan Malaysia di atas satu pentas.

Bunga Citra Lestari (BCL), penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia yang menggemparkan industri hiburan dengan lagu hits seperti “Cinta Sejati”, akan mengetuai persembahan istimewa ini. Beliau akan ditemani oleh bintang muda Indonesia, Ghea Indrawari, yang terkenal dengan lagu “Jiwa Yang Bersedih”, serta artis serba boleh Malaysia, Elly Mazlein.

Konsert yang akan berlangsung di Megastar Arena ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi merupakan platform istimewa yang menggabungkan elemen muzik dan kecantikan. Ia turut menandakan kemunculan jenama kosmetik antarabangsa, Farmasi, di pasaran Asia dengan Malaysia dipilih sebagai destinasi pertama.

Menurut Pengarah Projek dan Konsert, Ellie G, konsert ini akan berlangsung selama hampir tiga jam dan membawakan mesej pemerkasaan wanita. “BCL dipilih bukan sahaja kerana popularitinya, tetapi juga kerana beliau melambangkan kebangkitan wanita yang berkerjaya,” jelasnya.

Konsert ini turut mendapat sentuhan pakar dengan kehadiran Man Kidal selaku Pengarah Konsert dan Muzik, manakala Jerry Hend bertindak sebagai Pengarah Kreatif.

Yang istimewanya, setiap pemegang tiket berpeluang memenangi sebuah kereta Bezza melalui cabutan bertuah. Selain itu, semua penonton akan menerima hadiah sampingan berupa produk Farmasi yang berkualiti tinggi.

Presiden Farmasi, Emre Tuna, menyatakan keyakinannya terhadap pasaran Malaysia. “Malaysia amat istimewa bagi Farmasi kerana ia adalah pasaran Asia pertama kami. Kami yakin akan mencapai kejayaan besar di sini,” katanya.

Tiket konsert boleh didapati dalam lima kategori berbeza:

  • VIP: RM1,088
  • Diamond: RM888
  • Platinum: RM688
  • Gold: RM488
  • Silver: RM288

Orang ramai yang berminat boleh membeli tiket secara dalam talian di www.ilassotickets.com. Untuk maklumat lanjut, layari platform media sosial rasmi Soundzation.

Filem My Stupid Boss

Filem My Stupid Boss terbitan syarikat perfileman prolifik dari seberang, Falcon Pictures menjadi produk wajib tonton penggemar filem di negara ini apatah lagi ia menjalani penggambaran 100 peratus di Kuala Lumpur.

Tempoh 25 hari penggambaran dilakukan di negara ini bermula Oktober tahun lalu sudah pasti tidak terlepas menggunakan khidmat pelakon tempatan yang dipilih berdasarkan bakat dan populariti mereka.Antaranya seperti Atikah Suhaimie, Bront Palarae, Chew Kinwah dan Iskandar Zulkarnain.

https://www.youtube.com/watch?v=-sCQfI1DLlQ

Mengisahkan Diana lakonan Bunga Citra Lestari yang harus mengikuti suaminya, (Alex Abbad) berpindah dan bekerja di negera jiran iaitu Malaysia. Di sana, Diana terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka dan bekerja di sebuah pejabat yang memiliki pekerja dari pelbagai negara. Konflik berlaku apabila Diana terpaksa berhadapan dengan majikannya, Bossman yang juga berasal dari Indonesia (Reza Rahadian). Bossman  memiliki tingkah laku yang pelik tetapi karakternya melucukan.

Bossman memiliki prinsip yang luar biasa, berbeza dengan majikan lain. Di pejabatnya, tiada peraturan dan sistem yang jelas dalam pengurusan syarikat membuatkan urusan harian menjadi huru-hara. Bossman mempertahankan prinsip tersendiri iaitu ‘Bossman Always Right’.

Setiap keinginannya harus dituruti semua pekerjanya. Di situ, Diana mula mengenali rakan setugasnya iaitu Norahsikin lakonan Atikah Suhaimie, Adrian (Bront Palarae), Azhari (Iskandar Zulkarnain) dan Mr.Kho (Kinwah Chew) yang banyak memberi nasihat untuk berhadapan dengan Bossman.

Falcon Pictures pernah menerbitkan beberapa filem pecah panggung seperti Comic 8, Comic 8; Casino King, Haji Backpacker, Coboy Junior The Movie, Sejadah Ka’bah dan banyak lagi.

Filem ini juga akan ditayangkan serentak di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei bermula ‪19 Mei ini.